Setiap pagi dapat menikmati roti canai bersama teh tarik memang sedap. Tetapi jangan jadikan menu ini sebagai santapan setiap pagi kerana bimbang kalori yang tinggi akan membuatkan kesihatan anda terganggu.
Wanita ini dedahkan bagaimana suaminya boleh terkena strok tiba-tiba apabila mengambil roti canai setiap kali sarapan. Kini tanpa sengaja, dia menganggap roti canai sebagai musuh utama peragut kebahagiaan rumah tangganya.
Ikuti perkongsian, Jiha Shuib :
Roti canai bukan musuh ku, bukan juga kawan baik ku. Namun kalau diberi pilihan aku tak akan pilih roti canai. Kenapa?
Terpaksa lempar belakang kisah tahun 2016, kemuncak hidup dalam kesenangan dan kebahagian kami sekeluarga. Setiap pagi Saiful akan hantar aku ke sekolah awal pagi, paling lambat jam 7 aku sudah sampai sekolah.
Anak-anak berdua memang 100% Saiful uruskan, mereka diangkat dari katil masuk ke kereta. Lepas itu Saiful akan singgah sarapan setiap hari makan roti canai, di beberapa kedai kegemaran yang banyak di sepanjang jalan dari rumah kami ke Kedai Emas yang dia akan buka jam 11 pagi. Bersantai mereka tiga beranak sarapan roti canai, air teh ais lah, kopi ais lah. Makan kenyang-kenyang baru pergi bersiap dalam kedai sebelum anak-anak dihantar ke sekolah.
Tidak ada lagi istilah sarapan roti canai, aku memang tak akan beli untuk diberi makan keluarga aku sekarang ini.
Empat tahun berlalu, Saiful daripada terlantar sudah boleh memandu, dia sudah mula merayap meneroka mana roti canai yang sedap. Pindah ke Bangi ini banyak lokasi dia sudah cuba. Namun paling membimbangkan, dia berkenan dengan roti canai dekat kedai betul-betul bawah rumah ini. Keluar lif terus jumpa roti canai.
Dia sudah mula beli roti canai setiap hari. Ya! Setiap hari. Aku terpaksa bagi syarahan perdana untuk itu. Amaran dan peringatan bersilih-ganti.
Hari ini? Dia beli pula dua biji dan sorokkan dalam beg dia. Biasanya beli lima hingga 6 biji ya, hari ini insaf sikit sudah. Tapi kantoi sebab aku tak ke UKM hari ini, dia keluarkan dan suruh aku yang makan. Tak ada gunanya nak sorok lagi, aku pun tanpa belas kasihan capai bungkusan roti canai itu. Biar dia makan makanan lain, biasa dia!
Isunya sekarang aku dah makan sebiji, patut ke tak patut aku makan sebiji lagi dan habiskan kesemuanya?
Oh Roti Canai, I hate you. Why you so sedap but you calorie so much.
#catatanjihasaiful #saifulstrokejourney
Sumber: Jiha Shuib
MW: Semoga perkongsian ini menjadi iktibar kepada kita semua. Roti canai itu tak salah namun jangan makan terlalu kerap dan dalam kuantiti yang banyak. Sebaiknya amalkan pemakanan seimbang dan sentiasa kesihatan diri serta keluarga.