Sungguh ajal dan maut ketentuan tuhan. Bukan mudah untuk menerima kehilangan suami dan anak-anak tersayang yang ‘pergi’ serentak dalam kemalangan.
Seorang wanita yang sarat mengandung tujuh bulan menerima ujian berat apabila suami dan dua anak lelakinya maut dalam kemalangan di Kilometer 154, Jalan Jerangau-Jabor berhampiran persimpangan Cheneh-Mak Lagam di sini kelmarin.
Dalam kemalangan pada pukul 2 petang itu, kenderaan pelbagai guna, Naza Citra dinaiki Norhafizah Sazwa Harun, 38, dan empat ahli keluarga dirempuh sebuah lori yang terbabas ekoran mengalami kegagalan brek.
Suaminya, Ammir Hussein Mohamad, 38, yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Dua anak mereka, Ammzar Husszair Al Hussein, 4, dan Ammzar Hussnayan Al Hussein, 1, menghembus nafas terakhir ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Kemaman
Tambah memilukan peniaga terbabit, anak angkat mereka, Ammzar Hussniah Ammir Hussein Abdul Azim, 8, kritikal dan sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
Ibu mentua Norhafizah Sazwa, Noriah Ismail, 60, berkata, menantu perempuannya masih trauma dengan kemalangan itu.
Dia berkata, ujian kehilangan tiga insan tersayang sekaligus itu amat perit buat mereka apatah lagi Norhafizah Sazwa.
“Sewaktu menerima rawatan di Hospital Kemaman di sini, dia (Norhafizah Sazwa) sempat memeluk dan mencium jenazah ketiga-tiga arwah.
“Katanya, ujian ini amat berat, namun dia reda. Saya faham kerana hanya dua bulan lagi, dia mahu melahirkan zuriat ketiga,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jabur Kubur di sini semalam.
Jenazah Ammir Hussein dan dua anak lelakinya selamat dikebumikan di tanah perkuburan itu dalam suasana pilu pada pukul 1.30 pagi.
Noriah berkata, walaupun mengalami kecederaan pada bahagian perut, kandungan Norhafizah Sazwa disahkan selamat, namun masih memerlukan pemantauan doktor.
Tambahnya, sewaktu kejadian, Norhafizah Sazwa yang memandu kenderaan Naza Citra itu bersama empat ahli keluarga dalam perjalanan mahu menghantar sabun pakaian jualan langsung kepada pelanggan di Cheneh dari rumah mereka di Taman Suteramas, Mak Chili di sini.
“Sewaktu kejadian, saya berada di rumah seorang anak lain di Kuala Terengganu sebelum bergegas ke Hospital Kemaman selepas dimaklumkan kemalangan itu oleh Norhafizah Sazwa sendiri,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kenderaan Naza Citra dinaiki lima mangsa dirempuh sebuah lori membawa muatan pasir.
“Lori dipandu seorang lelaki berusia 44 tahun yang dalam perjalanan ke Ladang Perwira, Cheneh di sini, itu dikatakan tiba-tiba hilang kawalan kerana mengalami masalah brek.
“Pemandu lori yang berasal dari Simpang Ampat, Perlis itu ditahan reman selama empat hari sehingga Selasa ini (lusa) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Menurutnya, ujian urin mendapati lelaki itu bebas pengaruh dadah dan tiada rekod jenayah.
Mingguan Wanita: Salam takziah buat keluarga mangsa yang terlibat dalam kemalangan ini. Memang bukan mudah untuk menerima kenyataan kehilangan ahli keluarga tersayang. Namun segalanya adalah takdir ketentuan tuhan.
Sumber: Kosmo