Sungguh ajal dan maut ketentuan tuhan. Bukan mudah untuk menerima kehilangan suami dan anak-anak tersayang yang ‘pergi’ serentak dalam kemalangan.
Seorang wanita yang sarat mengandung tujuh bulan menerima ujian berat apabila suami dan dua anak lelakinya maut dalam kemalangan di Kilometer 154, Jalan Jerangau-Jabor berhampiran persimpangan Cheneh-Mak Lagam di sini kelmarin.
Terbabas Akibat Kegagalan Brek
Dalam kemalangan pada pukul 2 petang itu, kenderaan pelbagai guna, Naza Citra dinaiki Norhafizah Sazwa Harun, 38, dan empat ahli keluarga dirempuh sebuah lori yang terbabas ekoran mengalami kegagalan brek.
Suaminya, Ammir Hussein Mohamad, 38, yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Dua anak mereka, Ammzar Husszair Al Hussein, 4, dan Ammzar Hussnayan Al Hussein, 1, menghembus nafas terakhir ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Kemaman
Ads
Tambah memilukan peniaga terbabit, anak angkat mereka, Ammzar Hussniah Ammir Hussein Abdul Azim, 8, kritikal dan sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
Trauma Kemalangan
Ibu mentua Norhafizah Sazwa, Noriah Ismail, 60, berkata, menantu perempuannya masih trauma dengan kemalangan itu.
Dia berkata, ujian kehilangan tiga insan tersayang sekaligus itu amat perit buat mereka apatah lagi Norhafizah Sazwa.
Ads
“Sewaktu menerima rawatan di Hospital Kemaman di sini, dia (Norhafizah Sazwa) sempat memeluk dan mencium jenazah ketiga-tiga arwah.
“Katanya, ujian ini amat berat, namun dia reda. Saya faham kerana hanya dua bulan lagi, dia mahu melahirkan zuriat ketiga,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jabur Kubur di sini semalam.
Jenazah Ammir Hussein dan dua anak lelakinya selamat dikebumikan di tanah perkuburan itu dalam suasana pilu pada pukul 1.30 pagi.
Kandungan Selamat
Noriah berkata, walaupun mengalami kecederaan pada bahagian perut, kandungan Norhafizah Sazwa disahkan selamat, namun masih memerlukan pemantauan doktor.
Tambahnya, sewaktu kejadian, Norhafizah Sazwa yang memandu kenderaan Naza Citra itu bersama empat ahli keluarga dalam perjalanan mahu menghantar sabun pakaian jualan langsung kepada pelanggan di Cheneh dari rumah mereka di Taman Suteramas, Mak Chili di sini.
“Sewaktu kejadian, saya berada di rumah seorang anak lain di Kuala Terengganu sebelum bergegas ke Hospital Kemaman selepas dimaklumkan kemalangan itu oleh Norhafizah Sazwa sendiri,” katanya.
Ads
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kenderaan Naza Citra dinaiki lima mangsa dirempuh sebuah lori membawa muatan pasir.
“Lori dipandu seorang lelaki berusia 44 tahun yang dalam perjalanan ke Ladang Perwira, Cheneh di sini, itu dikatakan tiba-tiba hilang kawalan kerana mengalami masalah brek.
“Pemandu lori yang berasal dari Simpang Ampat, Perlis itu ditahan reman selama empat hari sehingga Selasa ini (lusa) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Menurutnya, ujian urin mendapati lelaki itu bebas pengaruh dadah dan tiada rekod jenayah.
Mingguan Wanita: Salam takziah buat keluarga mangsa yang terlibat dalam kemalangan ini. Memang bukan mudah untuk menerima kenyataan kehilangan ahli keluarga tersayang. Namun segalanya adalah takdir ketentuan tuhan.
Semalam, dilaporkan Muhammad Adib Mohd Kassim, 24 anggota bomba yang cedera parah selepas diserang dalam insiden rusuhan kuil Sri Maha Mariamman USJ25 Subang Jaya, keadaannya semakin merosot dan membimbangkan.
Rentetan perkhabaran itu, pagi ini, isteri Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali meluangkan masa kira-kira 30 minit melawat Muhammad Adib di Institut Jantung Negara (IJN).
Menitis air mata bak seorang ibu yang pilu melihat keadaan anaknya yang sedang tenat. Beliau yang tiba kira-kira jam 9.50 pagi itu sempat mendengar sendiri penerangan daripada doktor pakar yang merawat Adib.
Dalam laporan IJN semalam Adib, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya ini dimaklumkan fungsi paru-parunya mengalami kemerosotan yang progresif.
“Selepas menjalani pemeriksaan, paru-paru Muhammad Adib menunjukkan tanda-tanda penyatuan dan pengerasa pada tisu paru-paru. Kondisi itu menyebabkan pertukaran gas tidak efektif.”
“Bukan itu saja, fungsi buah pinggangnya juga bertambah buruk sehingga menyebabkan dia memerlukan semula sokongan dialisis,” kata IJN.
Keadaan terkini Adib, membuatkan IJN dengan beberapa disiplin perubatan memutuskan untuk menggunakan semula mesin sokongan Veno-Venous Extracorporeal Membrane Oxygenation (vv-ECMO) bagi membantu paru-parunya berfungsi.
“Kami (IJN) sangat mengharapkan doa daripada rakyat Malaysia untuk mengembalikan kesihatan Muhammad Adib,” ujar IJN.
Tun Dr Siti Hasmah Doakan Adib Segera Sembuh, Minta Keluarga Bersabar
Menurut Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohamad Hamdan Wahid, “Tun Dr Siti Hasmah mendoakan Adib segera sembuh dan berharap pihak keluarga bersabar atas kejadian yang berlaku.”
“Pada masa yang sama, beliau sempat berpesan kepada semua anggota bomba supaya berhati-hati dalam menjalankan tugas untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini.”
Kejadian 27 November, jam 1 pagi lalu, Muhammad Adib ke lokasi bagi memadam kebakaran kereta di luar kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang Jaya dengan anggota pasukannya.
Malangnya, Adib yang duduk di bahagian penumpang hadapan unit EMRA dikatakan telah ditarik keluar oleh kumpulan perusuh sebelum dipukul.
Adib juga rupanya sedang menanti hari untuk melangsungkan perkahwinan pada 26 Disember ini dengan tunangnya, Nurul Najihah Mohd Radzi.
Semoga tunang Adib terus kuat dan cekal serta berdoa untuk Adib kembali pulih.
Begitu juga rakyat Malaysia, jangan berhenti berdoa.. teruslah mendoakan kesembuhan untuk Muhammad Adib, anggota bomba yang dikasihi rakyat Malaysia ini.
Sumber/Foto : Sinar Harian, Berita Harian
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Dibayar 10 juta rupiah mengasuh patung. “Tapi perlu bersiap sedia, tidur bakal terganggu! Tugasnya nampak mudah, mengasuh anak patung tak bernyawa, tetapi perlu berhati-hati.
Koleksi anak patung ini adalah anak patung puaka. Aduhai macam-macam hobi orang, sanggup peruntukkan wang untuk pengasuh anak patungnya.
Dibayar 10 Juta Rupiah Mengasuh Patung
Seorang selebriti YouTube dari Indonesia, Rizki Nasution, dilaporkan sedang mencari pengasuh untuk menjaga patung puaka miliknya dengan gaji sebanyak 10 juta rupiah (RM2,925) sebulan, lapor laman berita Suara.com semalam.
Berdasarkan sebuah video yang tular di TikTok, seorang wanita yang sedang mengendong sebuah patung bayi bernama Alejandro menawarkan pekerjaan sebagai pengasuh bagi menggantikan dirinya dengan tawaran gaji sebanyak itu.
Tapi Perlu Bersiap Sedia
“Ada sesiapa berminat untuk menjadi pengasuh Alejandro kerana saya ingin berhenti demi memberi perhatian kepada keluarga,” kata wanita tersebut.
“Gajinya amat berbaloi iaitu 10 juta rupiah (RM2,925) dan kerjanya amat mudah selain segala perbelanjaan termasuk pengangkutan akan ditanggung oleh Rizki Nasution,” kata wanita tersebut.
Tambah wanita berkenaan, Rizki sememangnya gemar mengumpul pelbagai koleksi patung puaka.
Tidur Bakal Terganggu!
“Mudah sahaja untuk menjaga patung ini kerana ia tidak pernah menangis, marah atau buang air.
“Bagaimanapun, anda perlu bersiap sedia dari segi mental kerana kadang-kadang ketika pukul 3 pagi, tidur anda akan terganggu. Anda tidak dapat tidur dengan nyenyak,” tambah wanita berkenaan.
Hantaran itu menjadi tular dengan ramai netizen memberikan pelbagai komen.
“Beri saya 100 juta rupiah (RM29,254) pun saya tidak mahu,” kata seorang netizen. – AGENSI
Wanita semangatnya kental, walaupun diduga kekecewaan untuk hamil berkali-kali, namun naluri untuk menjadi ibu, kesakitan dan putus asa ditolak tepi demi untuk melahirkan dan memiliki zuriat tersayang.
13 Kali Gugur, Tempoh 12 Tahun
Seorang wanita yang tidak pernah berputus asa berjaya melahirkan anak lelaki selepas 13 kali keguguran dalam tempoh 12 tahun. Wanita berusia 32 tahun yang dikenali sebagai Liu melahirkan anak pada Mac lalu, menerusi pembedahan di Hospital Universiti Zhongnan di Wuhan, lapor Mirror.
Liu berasal dari daerah Xinzhou dan berkahwin sejak 2010.
Mengandung Setiap Tahun
Dia mengandung setiap tahun, namun sering mengalami keguguran semasa peringkat awal kehamilan.Doktor mengesahkan Liu menghidap penyakit autoimun systemic lupus erythematosus (SLE), 2017.
Badan pesakit SLE akan menghasilkan protein darah dengan banyak. Protein darah yang dipanggil antibodi ini dengan sendirinya memberi tindak balas terhadap tisu seseorang. Sehingga kini, punca penyakit SLE tidak diketahui.
Disebabkan masalah itu, dia sering keguguran kerana penyakit itu menyerang setiap sistem dalam tubuh badan manusia.
Walaupun doktor menasihatkan dirinya supaya berhenti mengandung, dia hanya mengabaikan nasihat itu dan sebaliknya terus berusaha untuk hamil. Selepas 13 kali keguguran, doktor menyedari badan mangsa mula menjadi lemah dan dia mula menderita hipertiroid.
Pakar perubatan, Dr. Guo Juanjuan berkata, SLE menyebabkan pesakitnya sukar hamil dan jika mengandung, berdepan risiko keguguran. Jelasnya, proses kehamilan dapat dipastikan dalam keadaan selamat hanya menerusi penjagaan perubatan yang terbaik, namun masih terdapat risiko keguguran.
Mingguan Wanita: Tahniah buat wanita ini akhirnya berjaya timang cahaya mata pertama.Malah paling penting tak pernah berputus asa untuk menjadi ibu meskipun diuji 13 kali keguguran dalam tempoh 12 tahun.
Suami terpaksa 'mengemis' nak puaskan nafsu, dah merayu masih tak dapat. Dalam kehidupan berumah tangga, kebahagiaan dan keharmonian bukan sahaja bergantung kepada aspek kewangan, komunikasi, dan tanggungjawab harian, tetapi juga kepada keperluan batin pasangan.