Wanita dominan sering kali dilabelkan akan menghadapi masalah dalam rumah tangga kerana sikap mereka itu sering kali menyebabkan suami rasa tercabar. Ikuti perkongsian daripada HM TUAH ISKANDAR al-Haj yang pernah dikeluarkan di dalam majalah Mingguan Wanita (www.drtuah.com)

Bermasalahkah Isteri Dominan?

Dalam salah satu rancangan tv, saya ditanya secara langsung tentang masalah isteri terlebih bagus, dalam kata lain, isteri dominan. Melalui promo yang disediakan oleh penerbit rancangan tersebut, majoriti orang ramai yang ditemu bual bersetuju untuk mengatakan isteri dominan itu bermasalah.

Mereka mengatakan wanita dominan cendurung untuk disabitkan dengan kederhakaan, kecurangan dan juga ego melampau. Mari kita lihat keadaan ini secara lebih rasional.

Berpendidikan Tinggi VS Dominan

Apabila seseorang perempuan itu belajar tinggi, biasanya akan memiliki kelulusan tinggi lantas berakhir berjawatan tinggi. Dalam keadaan begini dia dianggap dominan atau dia sendiri menganggap dirinya dominan. Dia biasanya susah hendak mendapat jodoh yang sama dominan kerana lelaki setaraf biasanya memilih wanita bawah sedikit kerana merasakan golongan itu lebih mudah dikuasai.

Pilihan yang ada ialah berkahwin dengan sebarang lelaki. Memang kelihatan janggal suami menerima arahan isteri kerana bekerja satu pejabat, lantas akan kelihatan dominanlah sikit.

IKLAN

Wanita Dominan Cenderung Jadi Isteri Curang Dan Derhaka?Perkahwinan Harus Sekufu

Benarkah begitu? Sememangnya dalam Islam perkahwinan harus sekufu. Maksud sekufu ialah sama taraf ataupun biarlah si wanita bawah sedikit daripada si lelaki, sebab si lelaki apabila menjadi suami kelak dia wajib menjadi pemimpin kepada isterinya itu tadi dan juga keluarga yang bakal terbentuk.

Memang itulah pilihan terbaik, tetapi kalau tak dapat bagaimana? Takkanlah kita hendak suruh si wanita terlebih dominan itu membujang hingga tua. Jika dia berkehendakkan seseorang lelaki yang dirasakannya cocok, apakah dia tidak boleh berkahwin dengannya atas masalah dominan itu tadi?

Sukar Cari Lelaki Dominan Zaman Sekarang…

Realitinya hari ini memang perempuan mengatasi lelaki terutama di IPT, bukan sahaja perempuan lebih ramai, kecemerlangan turut mencatatkan perempuan mengatasi lelaki. Jika dunia sudah menjadi sebegitu rupa, bagaimana lagi perempuan hendak mencari lelaki yang lebih dominan untuk dipersuamikan? Sudah tentu sukar, bukan?

IKLAN

Baiklah, kahwinlah dengan lelaki biasa itu tadi dengan syarat jangan lakukan tiga hal:

i. Peri laku menghala pada kederhakaan

Dek pangkat yang tinggi, terkadang wanita dominan terbuat beberapa perkara yang menyebabkan nusuz. Apabila tingkahlaku sewaktu di pejabat dibawa balik ke rumah, terkadang tertinggi suara, percakapan lebih berbentuk arahan serta payah hendak menerima pendapat orang lain, di situ datangnya kederhakaan.

Di rumah letakkan kembali kedudukan anda iaitu isteri. Seorang isteri wajib taatkan suami tidak boleh tidak. Berikan kuasa membuat keputusan kepada suami, anda tetap wajib mematuhinya biarpun di pejabat anda adalah ketua pengarah dan suami hanyalah seorang tukang kebun.

IKLAN

Semua perilaku yang boleh menyebabkan suami berkecil hati, terasa hati atau kecut hati boleh dikategorikan sebagai perilaku yang menghala pada kederhakaan, dan ingat semua kederhakaan boleh menyebabkan seseorang isteri itu tidak mencium bau syurga.

ii. Kecurangan

Terkadang oleh sebab kahwin semata-mata untuk tidak dikatakan tidak laku, hubungan terlarang boleh terjadi. Puncanya apabila ada orang merendah-rendahkan suami serta menusukkan jarum cinta. Apabila terasa diri rugi kerana berkahwin dengan lelaki yang kurang dapat dibanggakan, ia membuka ruang untuk hubungan sulit terjadi. Hubungan ini jika dibiarkan ia boleh menjadi jarum pada kebahagiaan sedia ada.

iii. Ego melampau

Penyakit ini mesti dibuang seawal perkahwinan lagi, sebab ia sentiasa datang sepanjang pasangan itu hidup bersama. Terdetik sahaja perkataan, ‘Bodoh betul laki aku ni, patut pun sekolah pun tahap SPM,’ ia cukup untuk hilang rasa hormat dan sebagainya.

Kena ingat selalu, suami mungkin tidak pandai akedemik tidak semestinya dia tiada ciri-ciri kepimpinan semulajadi. Jangan ingat anda bergaji besar, rumah anda yang beli, kereta anda yang bayar, perbelanjaan dapur anda yang keluarkan; itu semua bukan tiket untuk merendah-rendahkan suami. Tidak, sama sekali tidak.

Kepada semua pasangan yang begini, buatlah yang terbaik sebagai pasangan ideal, nanti mulut orang terkunci dengan sendiri, mereka akan respek dan jadikan anda berdua contoh. Matlamatkan begitu. Anda berdua pasti dikagumi, jadikan ia cemerlang jangan asyik nampak kecundang, nanti awak juga yang ditertawakan.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI