Wanita diganggu ketika solat, dapat pampasan RM331,000. Tiga mahasiswi beragama Islam di Amerika Syarikat menerima bayaran pampasan sebanyak AS$75,000 (kira-kira RM331,000) selepas menjadi mangsa gangguan semasa menunaikan solat, menurut laporan Fox News baru-baru ini.
Insiden itu berlaku di luar sebuah pusat beli-belah di Alpharetta, Georgia, apabila seorang lelaki menyuruh mereka “kembali ke negara asal” ketika mereka sedang bersolat.
Individu yang terlibat dikenali sebagai Perry Greene, bekas suami kepada Ahli Kongres dari Georgia, Marjorie Taylor Greene. Kes tersebut akhirnya diselesaikan di luar mahkamah apabila ketiga-tiga wanita tersebut mencapai persetujuan dengan Perry.
Menurut sidang akhbar yang diadakan oleh peguam ketiga-tiga wanita terbabit serta wakil Majlis Hubungan Islam-Amerika (CAIR) cawangan Georgia, mereka mendedahkan maklumat lanjut mengenai kejadian dan penyelesaiannya.
Ketiga-tiga pelajar itu memaklumkan bahawa Perry telah menghubungi mereka melalui peguamnya selepas video insiden tersebut tular dalam talian. Dia kemudian memohon maaf secara peribadi dan turut mengeluarkan kenyataan permohonan maaf secara terbuka pada awal bulan ini.
Keseluruhan jumlah pampasan tersebut telah disalurkan sebagai sumbangan kepada sebuah masjid tempatan.