Ajal maut di tangan tuhan. Allahu, beratnya ujian yang terpaksa ditanggung bagi seorang ibu yang masih sedang dalam tempoh berpantang apabila kehilangan anak yang baru sahaja berusia 25 hari, disamping suami dan ibu tersayang sekelip mata. Lebih menyayat hati, kemalangan tersebut berlaku dalam perjalanan pulang selepas melakukan pemeriksaan kesihatan bayi di hospital.
Sinar Harian melaporkan tiga sekeluarga termasuk seorang bayi lelaki berusia 25 hari maut dalam kemalangan di Kilometer 47 Jalan Ipoh-Lumut berhampiran Bota di sini, kira-kira jam 4 petang semalam.
Mereka yang maut adalah pemandu Proton Wira, Zamzainal Ahmad Kusharay, 49; ibu mentuanya, Salmah Abdul Manap, 65, dan anaknya, Mior Muhammad Qalish Zamzainal yang berusia 25 hari.
Isteri mangsa, Nor Iashah Abd Rani, 32, dan anaknya, Mior Mohamad Harraz Zamzainal, 3, dilaporkan masih menerima rawatan di Hospital Changkat Melintang di sini.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, kemalangan itu berpunca apabila kereta yang dinaiki lima sekeluarga itu terbabas sendiri di lokasi kejadian.
“Kesemua mangsa dalam perjalanan dari Lumut menuju ke Ipoh.
“Apabila sampai di tempat kejadian, kereta yang berada di laluan kanan dipercayai hilang kawalan lalu terlanggar pengadang besi jalan sebelah kanan,” katanya dalam satu kenyataan hari.
Beliau berkata, kesemua mayat dan mangsa dibawa ke Hospital Changkat Melintang.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sementara itu menurut adik mangsa yang kebetulan melalui kawasan kejadian terkejut apabila mengenali kereta jenis Proton Wira biru itu adalah milik mangsa, Zamzainal Ahmad Kusharay, 49.
“Chor… bangun chor,” jerit Ismawati Ahmad Khusaray, 41, apabila melihat jenazah abangnya dibawa keluar oleh pasukan bomba dari kenderaan yang remuk akibat terbabas di Kilometer 47, Jalan Ipoh – Lumut di sini hari ini.
“Dari jauh saya dan suami nampak pasukan penyelamat menjalankan operasi. Terdetik dalam hati teruk kemalangan ini tetapi, apabila lihat kereta warna biru, saya tahu itu kereta abang saya.
“Kami berhenti dan luluh hati lihat sekujur tubuh yang tersepit itu abang saya. Saya tahu dia dah tiada tapi saya jerit panggil dia berulang kali,”
katanya ketika ditemui di perkarangan Unit Forensik, Hospital Changkat Melintang d sini.Nahas itu turut mengorbankan ibu mentua Zamzainal, Salmah Abdul Manap, 65, dan bayi lelakinya, Mior Muhammad Qalish Zamzainal yang baru berusia 25 hari.Isteri mangsa, Nor Iashah Abd Rani, 32, dan anaknya, Mior Mohamad Harraz Zamzainal, 3, dilaporkan masih menerima rawatan di hospital sama.
Ismawati berkata, walaupun jarang bertemu, abang sulungnya yang dipanggil Chor itu sangat baik terhadap 12 adiknya.
“Mereka difahamkan baru pulang dari Hospital Seri Manjung untuk pemeriksaan kesihatan bayi mereka sebab kakak ipar masih dalam pantang.
“Setiap kali pemeriksaan, mereka akan bawa bersama ibu mentuanya sekali. Kali ini, mereka tidak bawa dua anak mereka yang berusia lapan dan enam tahun kerana bersekolah,” katanya.
Katanya, kakak iparnya menerima rawatan di wad kecemasan reda dengan pemergian suami dan ibunya dalam kejadian itu.
“Ketika mula sedar dia mencari suaminya dan kami memaklumkan keadaan sebenar. Mulanya dia menangis tapi lama-lama dia mula reda,” katanya.
Jenazah kedua-dua beranak itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pisang, Bota Kiri, pagi esok.
Sementara itu, anak sulung kepada arwah Salmah, Rosli Abd Rani, 41, tidak menyangka ibunya turut terbabit dalam kejadian itu.
“Adik telefon beritahu mak dah tiada tetapi saya tidak percaya tapi saya tetap bergegas pulang dari Bidor.
“Saya sempat melihat adik, Nor Iashah di wad kecemasan dan dia menerima jahitan di lidah dan anaknya berusia tiga tahun akan dirujuk ke Hospital Seri Manjung kerana penyakit asma,” katanya.
Katanya, jenazah ibunya dibawa pulang ke kampung halaman dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Dedalu, Parit.
MW: Salam Takziah buat keluarga mangsa. Semoga wanita ini diberi kekuatan dan reda dalam menghadapi ujian yang ditakdirkan. Al Fatihah.
Sumber: Sinar Harian