Wanita bila dah sayang sampai jadi ‘buta’ tetap setia! Ada benarnya kenyataan ini. Diakui ada sesetengah wanita yang terleka bila diulit bahagia. Walaupun sesetengahnya jiwa mereka derita dalam melayari perkahwinan.
Wanita Bila Dah Sayang Sampai Jadi ‘Buta’ Tetap Setia!
Seperti mana coretan dalam perkongsian menerusi personaliti media sosial, penulis motivasi yang juga seorang ibu tunggal Dzuriasikim Dzulkefli memberi nasihat buat kaum wanita yang terbelenggu derita dalam perkahwinan.
10 CARA UNTUK KELUAR DARI ‘SAYANG’ YANG MEMBUNUH BAHAGIA
“Saya mahu semua wanita membaca ini dan tahu membezakan apabila anda benar-benar dihargai atau tidak. Terlalu banyak wanita yang menderita dalam perkahwinan kerana sangat menyayangi pasangan biarpun terpaksa berdepan dengan banyak kesakitan.
“Wanita sanggup disakiti, dipukul atau dibuli secara fizikal dan mental demi sayang. Dan sering tidak sampai hati untuk membuat aduan kepada pihak berkuasa kerana masih “sayang”.
Ads
“Sukar untuk difahami. Orang yang tak pernah lalu tak akan faham kenapa wanita bila dah sayang sampai jadi “buta” dan “tuli” begini.
“Wanita juga tetap setia meskipun pasangan mereka ada yang menjadi penagih dadah, kaki botol atau kaki pukul.
“Sayang begini boleh membunuh bahagia. Saya mahu wanita bangkit dan belajar untuk menyayangi diri. Bacalah ini…
Ads
Anda mungkin berasa takut untuk keluar dari perkahwinan. Tak berani sebab takut tak dapat survive. Sebenarnya percayalah jika anda berada dalam keadaan begini, di luar ada kehidupan yang jauh lebih sihat dan selamat.
Jangan bimbang akan rezeki. Ingat satu perkara bahwa Tuhan tidak pernah zalim terhadap kita. Rezeki itu luas. Mintalah kepada Tuhan agar dimurahkan rezeki, bukan kepada manusia.
Tidak ada siapapun yang akan dapat mengubah nasib kita, bantu kita, angkat kita… Melainkan diri kita sendiri. You need to wake up. Berkasih sayang itu lumrah, namun biarlah berpada.
Yang dinamakan sayang itu adalah apabila pasangan menunjukkan dengan perbuatan, tanggungjawab, penghargaan, pengorbanan. Bukan jadikan anda sebagai korban kasih sayang. Dan bukan sekadar kata-kata. Sayang pada bibir sahaja tidak cukup jika siang malam anda dijadikan “punch bag” mereka untuk melepaskan geram. Hargailah diri kita.
Usah gunakan alasan kasihankan anak-anak untuk keluar dari perkahwinan. Sebenarnya anak-anak akan membesar dengan lebih sihat tanpa melihat ibu mereka didera berterusan, dicerca dengan kata-kata yang memberikan tekanan mental serta penuh dengan keganasan dan kezaliman.
Mintalah kepada Tuhan agar diberikan kekuatan dan ketetapan hati. Untuk itu, usah pernah putus asa untuk berdoa agar anda menjadi kuat dan diberikan keberanian untuk membuat keputusan. Demi untuk diri dan anak-anak.
Kadang-kadang penghidupan yang gelap akan membawa kepada sesuatu yang baik. Hidup memerlukan pengorbanan. Pengorbanan memerlukan perjuangan. Perjuangan memerlukan ketabahan. Ketabahan memerlukan keyakinan. Keyakinan menentukan kejayaan. Kejayaan akan memberikan kebahagiaan. Usah pernah takut untuk melangkah.
Wanita perlu tahu bahawa dipukul dan disakiti berterusan itu bukanlah cara untuk menunjukkan cinta dan sayang. Ianya adalah kezaliman. You deserve a better life ok.
Ada wanita yang tetap merasakan bahawa pasangan mereka adalah yang paling baik walaupun terpaksa menderita. “Saya sayang sangat pada dia….cuma kadang dia tak dapat mengawal tangannya ketika marah. Tapi lepas tu dia ok. Dan malam kami tidur bersama seperti biasa…”.
Sungguh hati wanita itu seperti kerak nasi. Tetapi ingatlah kadang kita berasa dia yang terbaik, namun InsyaAllah ada yang lebih baik dan bertanggungjawab darinya di luar sana. Apalah gunanya hidup berpasangan jika sering berendam airmata. Cinta itu bersifat bahagia dan bukan derita.
Bila ada orang berkata bahwa dia mencintai kamu, simpan sedikit ruang dalam hati untuk diri. Dan sematkan dalam jiwa bahawa biar sebesar manapun cinta si dia, ianya hanyalah cinta dari manusia. Cinta sejati yang tiada bersyarat adalah dari Tuhan,” kongsi Puan Dzuriasikim yang sememangnya memberi banyak motivasi kepada golongan wanita.
Kisah pergolakan antara menantu dan ibu mentua sangat sulit untuk diselesaikan. Isu ibu mentua dengan menantu perempuan lagi-lagi yang bukan pilihan memang tidak akan habis sampai bila-bila pun. Jika tidak ditangani secara bijak maka akan rosaklah rumah tangga yang dibina.
Hubungan ibu mentua dan menantu perempuan terlalu rumit. Sikap sesetengah ibu mentua yang suka mempertikaikan perkara remeh menjadikan hubungan keduanya sentiasa panas. Pendek kata ada sahaja yang tidak kena.
Menantu pula jenis tidak sabar jadi bila sama-sama ‘keras’ maka makin buruklah jadinya. Namun semua itu harus ditangani dengan baik, ibarat menarik rambut dari dalam tepung, rambut jangan putus, tepung pula tidak berselerak.
Aku cintakan kamu, kamu cintakan aku. Hari ini, kita bergelar suami isteri. Kita akan bersatu dan hidup bahagia hingga ke akhirnya.
Ringkas dan mudah bukan? Ini perkara yang berada di dalam kepala pasangan yang baru sahaja bernikah.
Tapi ianya sering tidak semudah itu. Kerana ada anasir luar (baca : dalam) yang mempengaruhi kehidupan suami isteri. Anasir luar yang dimaksudkan ialah ibu-bapa mentua. Ibu dan bapa pasangan itu sendiri.
Apabila anak sudah meningkat dewasa dan bersedia untuk berkahwin, sudah pastinya anak itu sudah cukup matang untuk membuat keputusan. Betul, ibu dan bapa mempunyai pendapat dan boleh memberi pendapat tentang pilihan hati anak. Ini dipanggil menjadi ibu-bapa. Pastinya ibu dan bapa mahukan yang terbaik untuk anaknya.
Menantu Bukan Pilihan Jadi ‘Mangsa’ Ibu Mentua
Tidak salah sebenarnya, kadang-kala kerana cinta, mata yang celik pun boleh menjadi buta. Ada yang jatuh cinta dengan penagih yang tidak berniat untuk berhenti. Ada juga yang jatuh cinta dengan wanita liar yang tidak mahu berubah. Di sini, ibu-bapa memang patut memainkan peranan membawa kembali pandangan mata anak kepada realiti dan akibatnya nanti.
Masalah tiba apabila bila ibu-bapa pula yang terlebih melindungi anak hanya kerana hatinya tidak berkenan dengan bakal menantunya. Di sini bermulalah segala jenis masalah yang dikaitkan dengan menantu bukan pilihan.
“Kalau kau aku tak suka, dengan keturunan kau pun aku tak suka”. Ya, memang ada yang sampai ke tahap itu. Benci, menyampah, buruk, huduh, tak layak, murahan dan macam-macam lagi perasaan yang bermain di minda mentua apabila anaknya berkahwin dengan yang bukan pilihan hatinya.
Bermacam alasan diberi, pilihan anak itu tak cantik, belajar tak pandai, kerja tak bagus atau tidak bekerja, keturunan tak kaya dan tak sama taraf. Kadang-kala sehingga kehabisan sebab, tetapi masih lagi tidak boleh terima. Di carinya lagi sebab lain yang boleh teruskan kebencian di hati.
Biasa dengar mentua yang tak suka negeri itu ini?
“Jangan kahwin dengan orang Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Terengganu dan Kuala Lumpur”
Habis semua negeri tak boleh kahwin, itu tak boleh, ini tak boleh.
Masakan menantu sentiasa tidak kena dengan selera. Asam pedas tak cukup masam, kari tak cukup pekat, masak lemak tak cukup pedas, ikan goreng tak garing, nasi lembik, sambal belacan tak pedas, rendang tak sedap, ayam goreng tak garing, masakan terlalu manis, masin, pahit, tawar sampai air kosong pun tak cukup sejuk.
Hidangan pula tak menarik, pinggan tak tersusun rapi, mangkuk tak guna yang sama tema, sumbing sikit tak boleh, pinggan basah pun kena lap bagi sempurna semua.
Pakaian menantu bukan pilihan sentiasa tidak kena. Terlalu singkat, terlalu labuh, tidak menarik, tak cantik, warna kelam, tudung senget dan macam-macam lagi.
Alasan untuk tidak menyukai dah habis. Walapun menantu dah ikut semuanya tetapi sangat susah mulut untuk memuji apa yang menantu buat. Seperti satu kesalahan yang besar jika mentua memuji menantu yang tidak disukainya itu.
JADI BAHAN UMPATAN
Menantu bukan pilihan juga sering jadi mangsa umpatan mentua dengan orang lain. Sama ada dengan ipar atau orang terdekat. Kadang-kala dengan sengaja membiarkan menantu itu dengar.
Antara yang menyakitkan hati, mentua sentiasa berkias-kias apabila bercakap dengan menantu bukan pilihannya. “Kedutnya baju anak aku, kenapa la tak bergosok?”, “Makin kurus anak aku ni sejak kahwin, tak cukup makan la tu”, “cucu aku semua putih, yang ini sahaja hitam legam”.
Menantu bukan pilihan juga akan sentiasa dipantau. Paling mentua tak suka apabila anaknya melebihkan isteri sendiri. Memang tak senang duduk dia. Sentiasa ingatkan anak yang Ibu lebih penting dari isteri. Tengok isteri berpakaian baru, diperli-perlinya, tengok isteri ada cincin baru, cepat sungguh kena tegur, membazir la, tak cantik la.
Ada juga yang membanding-bandingkan menantu. Yang disukai sentiasa disebut-sebut, diangkat tinggi, dipuji selalu. Menantu yang itu kerjanya bagus, bukan suri rumah. Menantu yang ini belajar sampai PhD, bukan takat SPM je. “Bodoh tu nanti berjangkit kat anak” katanya.
Bila ada menantu yang selalu beri duit, dicanangnya satu kampung. Saudara mara yang datang pun habis dicerita semua. Menantu ini bagi gelang, menantu itu bagi duit, menantu yang ini tak pernah bagi apa pun. Setakat bagi tudung, apalah sangat. Tak penting pun untuk diceritakan.
Yang menyedihkan, anak kepada menantu bukan pilihan menjadi mangsa diskriminasi. Cucu yang itu la yang selalu dimarahi. Cucu yang itu la yang tidak dilayan berbanding cucu menantu yang disukainya.
Tidak cukup dengan itu, anak akan dihasut dengan pelbagai perkara yang tak elok. Kadang-kala sehingga mereka-reka cerita, diburuk-burukkan dan difitnah. Tujuannya supaya anaknya itu membenci isteri sendiri.
Seperti tidak masuk akal juga apabila perkara yang di luar kawalan dan kemampuan disentuh. Menantu yang masih tidak mempunyai anak akan sering diperli dan diperlekehkan kononnya itu semua salah menantu.
Yang pastinya, menantu bukan pilihan ini jika mahu mengambil hati, perlulah patuh dan mengikut 100% seperti apa yang dimahukan, barulah hatinya puas.
Itulah serba sedikit apa yang dilalui menantu bukan pilihan dan perangai ibu mentua yang merosakkan. Memang sangat menyedihkan.
Kadang-kala orang tua ini memang tidak boleh berubah. Anak perlulah memainkan peranan yang teramat penting untuk seimbangkan kembali situasi yang sentiasa tegang ini.
DENGAR RAYUAN DAN ADUAN PASANGAN
Anak perlu sedar mengenai perangai ibu atau bapanya sendiri. Dengarlah rayuan dan aduan pasangan. Jika perlu bertegas, bertegaslah. Pasangan andalah yang akan bersama dengan anda, membesarkan anak anda dan melayan anda hingga ke akhirnya. Hati mereka amat penting untuk dijaga.
Janganlah menjadi anak emak yang membutakan mata serta memekakkan telinga apabila ada ketidakadilan berlaku dari ibu-bapa sendiri terhadap pasangan. Pasangan perlu dibela, pasangan perlu dipujuk. Mereka amat tertekan. Nak marah tak boleh, nak menangis pun tidak dilayan. Jadilah suami atau isteri yang bertanggungjawab. Jangan biarkan anasir luar mempengaruhi kegembiraan hidup berkeluarga.
Hargai pasangan anda, itu pilihan hati anda. Jangan biarkan mereka menghadapi semua ini seorang diri. Berdiri di hadapan mereka. Bela mereka bila diperlukan, jangan biarkan pasangan dilukai sewenang-wenangnya.
Ini adalah situasi yang benar. Terlalu ramai menantu bukan pilihan yang sedang menderita. Bukalah mata dan lihat serta dengar sendiri. Jangan abaikan masalah ini.
Kepada mentua, insaflah. Berhenti merosakkan keluarga anak anda sendiri. Buang ego itu ke tepi, pilihan anak perlu dihormati selagi ianya tidak memudharatkan. Berhenti cuba mengawal semua benda. Janganlah memaksa anak dan menantu menjadi seperti yang anda mahukan dan menjadi keluarga yang sama seperti keluarga anda. Setiap manusia itu unik dan ada keperluan dan minat masing-masing. Biarlah anak dan pasangan mereka menentukan arah tuju keluarga mereka. Itu hak mereka sendiri, bukan anda.
Kepada menantu bukan pilihan, bersabarlah. Jangan berhenti berkongsi masalah ini dengan pasangan. Mereka patut tahu apa yang ibu atau bapa mereka sendiri sedang buat. Teruskan tabah, dan buatlah sebaik mungkin. Fokus kepada keluarga sendiiri, jangan biarkan orang yang tidak menyukai kita menentukan kebahagiaan rumah tangga kita.
Anak perempuan meningkat remaja. Nana Mahzan akui agak risau. Namun punya cara tersendiri didik anak. Paling penting kata Nana perlu banyak berbicara dengan anak perempuan. Berkongsi cerita sangat penting dan pastikan anak menghormati dan mendengar kata ibu ayah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bila isteri tidak minta izin sebelum keluar rumah, boleh dikatakan isteri nusyuz. Tapi sebaliknya bagi suami, tiada apa-apa kesalahan pun.
Mengikut penjelasan yang telah diberikan oleh Mufti Wilayah dan jumhur ulama yang lain, hukum asal seorang isteri keluar dari rumah tanpa izin suami adalah haram. Bahkan, isteri ini dianggap sebagai nusyuz dan berdosa besar.
Namun begitu, janganlah suami sengaja ambil kesempatan. Mentang-mentanglah isteri kena minta izin sebelum keluar, dia pula sesuaka hati keluar tanpa beritahu isteri.
Jangan anggap isteri tunggul, keluar sesuka hati dan balik tak tentu masa. Apa salahnya kalau beritahu isteri sekali pun. Tak adalah isteri tertunggu-tunggu dan plaing penting risau dengan kesalamatan suami.
Selalu kita diajar, isteri kena minta izin suami sebelum buat apa-apa. Keluar rumah pun kena minta izin suami. Inilah contoh isteri mithali.
Tapi kalau suami minta izin isteri, orang Melayu kata takut bini. Bila kawan kata takut bini, ego suami tercalar. Jadi suami paham buat apa-apa tak perlu minta izin isteri.
Keluar malam balik pagi. Hanya beritahu, abang nak keluar ni.
Pergi mesyuarat waktu cuti, hanya wasap abang ada urusan ni.
Pergi lepak dengan kawan, hanya cakap abang nak jumpa orang ni.
Pergi kerja luar kawasan, hanya tunjuk tiket kapal terbang yang dah dibeli awal sebulan lagi.
Isteri kat rumah terpinga-pinga. Tertunggu-tunggu. Balik bila pun tak bagitahu. Makan malam yang disimpan pun dah basi tak dijamah.
Isteri Bukan Tunggul
Para suami, isteri bukan tunggul. Bukan patung. Bukan orang gaji kat rumah.
Masa kita kahwin kita setuju nak hidup mati sama-sama. Nak tempuh sama-sama. Nak buat semua benda sama-sama.
Jadi, semua keputusan perlu dibincang bersama. Jangan membelakangkan isteri. Sebab tempat isteri bukan di belakang tapi di sisi.
Perkahwinan menuntut mutual understanding, mutual responsibility. Peranan suami isteri adalah sama penting. Bukan macam majikan dan kuli. Bukan sorang di depan sorang di belakang. Bukan sorang diperintah dan sorang lagi yang menurut perintah.
Rendahkan Ego
Cuba minta izin isteri, rendahkan ego. Isteri akan lapang dada walaupun suami sibuk tahap Perdana Menteri.
Cuba bagitahu awal nak pergi mana. Nak pergi program apa. Nak jumpa siapa. Mungkin suami rasa tak penting untuk beritahu, tapi penting bagi isteri.
Tapi BAGITAHU je tak cukup. Sekadar bagitahu, lepas tu pergi. Bagi saya menyakitkan hati. Cubalah ‘minta izin’.
“Yang, boleh tak abang nak pergi..”
Isteri akan rasa dihargai, rasa dihormati.
Minta izin bukan sebab suami perlu keizinan isteri. Tak. Suami boleh pergi je tanpa minta izin. Isteri tak ada hak nak halang.
Tapi minta izin sebagai isyarat suami hargai dan hormat isteri sebagai teman hidup. Sebagaimana suami nak dihargai dan dihormati.
Pentingkan isteri, isteri akan pentingkan anda. Utamakan isteri, isteri akan utamakan anda. Hormat isteri, isteri akan hormat anda. Hargai isteri, isteri akan hargai anda
Insya Allah rumahtangga ada sakinah.
Kredit : Masturah Abu Bakar
Mingguan Wanita : Minta izin sekurangnya isteri tahu dan tidaklah tertanya-tanya.
Baru berkahwin 10 bulan, suami sanggup simbah asid pada isteri hingga meninggal dunia. Bukan saja isteri menjadi mangsa amarahnya, anak tirinya turut menerima nasib yang sama.
Bila amarah menguasai diri, perkara tidak masuk akal pun mampu dilakukan. Tak dapat bayangkan keadaan isteri yang terseksa disimbah asid sebelum meninggal dunia.
Baru Berkahwin 10 Bulan
Polis Jeddah, Arab Saudi, menahan seorang lelaki kerana menyimbah asid pada isterinya sehingga menyebabkan kematian wanita itu dan mencederakan anak perempuan mangsa, lapor akhbar Saudi Gazette kelmarin.
Pusat talian kecemasan polis Jeddah sebelum itu menerima laporan mengenai seorang wanita dan anaknya yang disimbah asid di kediaman mereka di daerah Al-Samir, timur Jeddah.
Sebaik sahaja anggota-anggota polis tiba di lokasi, mereka menemui wanita tersebut dan anaknya dalam keadaan parah akibat melecur disimbah asid.
Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital King Fahd, namun wanita berkenaan meninggal dunia sementara anaknya daripada perkahwinan terdahulu cedera parah dan ditempatkan di unit rawatan rapi.
Polis berkata, suspek melarikan diri selepas menyerang kedua-dua mangsa. Dia bagaimanapun berjaya diberkas tidak lama selepas itu.
Menurut sumber polis, suspek memukul isterinya dan menyimbah asid ke atas mangsa dan anaknya selepas bertelagah mengenai hal keluarga.
Kedua-dua mereka dikatakan berkahwin 10 bulan lalu. – AGENSI
Mingguan Wanita : Emosi jika tidak dikawal dengan baik , buruk padahnya. Nyawa seorang isteri seolah-olah tiada nilai sehingga dia sanggup bertindak sedemikian rupa.
Gula-gula gummy bebas dijual di pasaran, jelly berisiko tercekik bagi kanak-kanak. Kejadian tragis melibatkan adik Mohamad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin, seorang kanak-kanak berusia 10...