Entah apa di fikiran seorang isteri dan ibu ini apabila tergamak meninggalkan suami dan anak hanya kerana permainan video atas talian.
Selama ini seringkali kita mendengar keluhan isteri apabila suaminya banyak menghabiskan masa bermain permainan video hingga mengabaikan rumah tangga, ini terbalik sudah. Semoga isteri ini kembali ke pangkuan suami dan anaknya.
Gara-gara kerana permainan atas talian PUBG yang popular dalam kalangan remaja, seorang wanita yang juga berstatus isteri orang dikatakan sanggup meninggalkan suami dan anaknya yang masih kecil berusia tiga tahun.
Wanita dari Penarik, Setiu itu dikatakan menghilangkan diri sejak 31 Mei lalu dan gagal dikesan sehingga kini.
Baca Di Sini:
Video Game Memang Permainan Anak, Tak Boleh Drastik Sekat Sebab Zaman Berubah
Bila Ada 8 Tanda Ini, Suami Sebenarnya Lebihkan GAME Dari Anak Isteri
Menurut suaminya yang hanya mahu dikenali sebagai Apis, 24, dari Kampung Pantai Merang, Permaisuri, Setiu, isterinya yang berusia 22 tahun itu gagal dikesan dan dikatakan telah keluar menggunakan sebuah motosikal.
“Ini adalah kali kedua dia telah menghilangkan diri macam ni. Yang pertama hujung tahun lepas. Memang kami ada bertengkar sebelum hari dia menghilangkan diri.
“Ini kerana dia asyik dengan permainan atas talian PUBG dan berkenalan dengan seorang lelaki yang mungkin mempengaruhinya sehingga bertindak sedemikian,” jelas suaminya lagi.
Dia yang hanya membuat kerja-kerja di kampung kesal dengan kejadian itu memandangkan anak mereka masih kecil dan memerlukan kasih sayang seorang ibu.
Jelasnya kali terakhir isterinya itu dikesan adalah di sekitar Manir apabila motosikal tersebut ditinggalkan di sebuah pasaraya di kawasan terbabit.
Dia dan keluarga juga telah membuat laporan polis di Balai Polis Penarik, Setiu tentang kehilangan isterinya itu pada Selasa (semalam) dan berharap agar mana-mana pihak dapat membantu mengesan isterinya itu dengan segera.
“Saya dan keluarga turut risau dengan keselamatannya kerana telah beberapa hari tidak pulang dan tidak tahu di mana dia berada. Harap pihak polis dan orang ramai dapat membantu mencari dia dengan segera,” katanya lagi.
MW: Kebiasaanya lelaki yang sanggup lakukan apa sahaja demi video games, kali ini isteri atau ibu pula hingga bertindak di luar batasan. Semoga wanita ini menyedari kesilapannya dan kembali semula ke pangkuan keluarga dalam masa terdekat.
Sumber/Foto: Astro Awani