Wanita Berharta, Kesunyian & Berdepan Masalah Keluarga Mudah Terjerat Cinta ‘Love Scam’!

Share

Pesanan buat para wanita, jangan mudah terpedaya dengan ayat-ayat cinta dan janji manis apatah lagi jika menjalin hubungan di alam maya. Ini kerana banyak kes yang berlaku wanita terjerat dengan cinta palsu, menjadi mangsa penipuan ‘love scam’ sehingga mengakibatkan kerugian berpuluh malah beratus ribu ringgit.

Wanita kesunyian, berdepan masalah keluarga atau kematian suami yang meninggalkan harta menjadi sasaran mudah sindiket untuk mengaut keuntungan dengan menggunakan identiti palsu.

Ketua Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Korporat/Kewangan), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner (SAC), Datuk S Sasikala Devi, berkata pihak berkuasa menerima sekurang-kurangnya dua kes setiap hari membabitkan wanita berusia 30-an ke atas menjadi mangsa penipuan itu.

Katanya, ramai wanita yang sudah bersuami juga mudah terpikat dengan pujukan romantik mereka sehingga sanggup melakukan apa saja diarahkan termasuk memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun diberikan sindiket selepas terperangkap terbabit.

Jadi Keldai Akaun

Malah, ada juga wanita dijadikan sebagai ‘keldai akaun’ kepada sindiket terbabit yang sebilangannya dikenali melalui media sosial terperangkap dengan ‘ayat cinta’ bagi mengumpan mangsa sehingga akhirnya terpaksa kerugian beratus ribu ringgit.

“Akaun berkenaan pula dipercayai milik keldai akaun terdiri daripada individu tempatan yang dijual atau disewa kepada sindiket serendah RM200 sebulan disebabkan kesempitan hidup.

Kes terbaru membabitkan seorang wanita dari Hong Kong, berusia 60 tahun mengalami kerugian sebanyak RM95 juta selepas memasukkan wang ke dalam satu akaun milik orang tempatan di negara ini yang dipercayai akaun keldai.

“Dalang sebenar tidak akan menggunakan akaun mereka sendiri untuk mengelak ditangkap, manakala keldai akaun pula tidak memegang kad bank berkenaan kerana sudah diberikan kepada sindiket.

“Apabila dalang ditahan, mangsa gagal mengenal pasti penjenayah semasa sesi pengecaman kerana gambar yang dilihat dalam internet sebelum ini berbeza daripada yang ada di depan mata,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab bertajuk ‘Krisis Digital Bagi Generasi Baharu, Menumpukan Wanita Sebagai Ibu’ sempena Forum Keseimbangan Kehidupan Kerja 2018 Antarabangsa (IWLBF 2018), di sini, baru-baru ini.

Dua ahli panel lain turut membincangkan tajuk berkenaan adalah Ketua Pegawai Operasi Talent Department, Prasana Sailanathan dan Pejuang Hak Asasi Kanak-Kanak, Nurul Eeman Mansor.Yang turut hadir, Pengasas ADLA Group, Datuk Hasnorliza Hassan.

Alam Maya Perangkap ‘Cinta’

Sasikala Devi percaya tumpuan sindiket adalah dalam kalangan wanita pelbagai lapisan usia yang menjadikan alam maya sebagai perangkap ‘cinta’.

“Penjenayah siber lazimnya akan menyamar menggunakan gambar berwajah ‘Mat Salleh’ yang kacak, tetapi sebenarnya ‘Pak Hitam’ yang menggunakan kata-kata romantik untuk memerangkap wanita sebagai sasaran,” katanya.

Justeru, bagi mengekang isu ini, anak juga perlu memainkan peranan dengan mengambil berat apa yang dilakukan ibu mereka sekiranya sering dilihat banyak menghabiskan masa melayari internet.

“Kalau ibu anda selalu bersendirian di dalam bilik dengan telefon atau komputer, pastikan dengan siapa dia bersosial kerana kita bimbang mereka mudah terpedaya dengan sindiket penipuan di dalam internet,” katanya.

Selalunya, ibu atau bapa yang kerap memantau anak kerana risau apabila anak obses melayari internet, sebaliknya peranan sama perlu dimainkan mereka untuk kebaikan bersama.

“Bukan saja ibu bapa yang perlu risau dengan jenayah siber membabitkan anak, tetapi anak juga perlu mengambil tahu aktiviti dilakukan orang tua mereka di internet,” katanya.

Tidak Mudah Terperangkap Janji Manis

Beliau menasihatkan wanita supaya tidak mudah terperangkap dengan janji manis atau terpedaya dengan helah sindiket yang memang licik menggunakan pelbagai kelemahan individu.Wanita juga seharusnya menyiasat latar belakang lelaki bagi mengelak sebarang penipuan sehingga merugikan diri sendiri dan wang ringgit.

Sementara itu, Nurul Eeman Mansor, berkata krisis digital lebih cenderung membabitkan remaja di bandar berbanding di luar bandar.

“Teknologi digital tidak dinafikan banyak membantu memudahkan kehidupan seharian, tetapi masyarakat tidak boleh membiarkan robot mengambil alih peranan manusia.

“Kanak-kanak dan remaja mudah dijadikan mangsa buli siber sehingga mengakibatkan mereka murung, tetapi masalah berterusan kerana tiada tindakan tegas daripada ibu bapa untuk mengawal penggunaan teknologi ini,” katanya.

Info: Kes Love Scam

• Januari hingga Ogos 2018 – 1,301 kes

* Kerugian RM83.6 juta di seluruh negara .

• Sepanjang 2017 – 1,652 kes

* Kerugian RM61.9 juta di seluruh negara.

MW: Semoga para wanita mengambil pengajaran dan iktibar daripada perkongsian ini. Jangan mudah terjebak ‘cinta’ di alam maya. Siasat dulu latar belakang serta tidak mudah percaya dengan kata-kata manis, apatah lagi apabila melibatkan wang ringgit!

Sumber: Bharian

Published by
Suhaidah Abd Wahab