Gara-gara kesunyian selepas dua kali menjanda, seorang wanita berusia 65 tahun sanggup meletakkan iklan di pintu pagar dihadapan rumahnya bagi mencari seorang teman lelaki yang boleh dijadikan suami yang sesuai buat dirinya.
“Seorang wanita berusia 65 tahun, mencari teman lelaki berusia 60 hingga 70 tahun. Keutamaan duda berpencen. Saya seorang yang baik, jujur dan sihat. Sekiranya berminat hubungi di sini,”
Sompong Chomphuprapet yang tinggal di Ubon Ratchathani, Thailand memberitahu, dia pernah berkahwin sebanyak dua kali tetapi kedua-dua perkahwinannya berakhir dengan perceraian.
Kata Sompong, dia berkahwin dengan seorang lelaki Thailand tetapi bercerai kerana suaminya itu seorang kaki botol.
Dia kemudian bekerja di Jerman dan berkahwin dengan lelaki tempatan, namun perkahwinannya itu hanya mampu bertahan selama 13 tahun.
Sompong berkata, selepas kembali semula ke Thailand dia mula berasa kesunyian dan kini dia mahu mencari lelaki jujur yang menyayanginya dan mampu menjaganya hingga akhir hayat.
“Saya mahu seorang lelaki yang baik kerana hidup seorang diri rasa sungguh sunyi dan menyedihkan. Saya mahu seorang pesara yang berpencen,” jelasnya.
Iklan itu dipasang kira-kira seminggu yang lalu dan dua lelaki sudah menawarkan diri tetapi kedua-duanya ditolak Sompong.
Seorang calon itu ditolak Sompong kerana dia tidak mempunyai skim pencen manakala seorang lagi lelaki berusia 59 tahun bekerja sebagai guru.
“Apabila lelaki itu bersara nanti dia bakal menerima pencen 20,000 baht (RM2,549) sebulan dan selepas ditolak semua hutangnya yang tinggal hanya 8,000 baht (RM1,019).
“Saya memberitahunya wang sebanyak itu tidak mampu menampung kehidupan kami berdua,” katanya.
Apa-apapun ‘keberanian’ berterus terang dan ‘kegigihan’ wanita ini untuk mencari teman lelaki sekaligus untuk dijadikan suami wajar dipuji.
Sumber: Coconut Bangkok