Wanita 25 Tahun Ke Atas Dibenar Masuk Arab Saudi Tanpa Mahram

Share

Berita baik buat wanita yang ingin berkunjung ke Arab untuk melakukan ibadah umrah mahupun haji, namun sering ‘terhalang’ sebab tiada mahram.. Alhamdulillah, kini tiada lagi halangan berkunjung ke Tanah Suci.Memetik laporan Agensi (Arab News), kini wanita berusia 25 tahun dan ke atas kini dibenarkan masuk ke Arab Saudi tanpa mahram menggunakan visa pelancong, kata jurucakap Suruhanjaya Pelancongan dan Warisan Kebangsaan Arab Saudi (SCTH).

Hanya 25 Tahun Ke Atas

Namun, kebenaran itu tidak membabitkan wanita berusia 25 tahun ke bawah, dan mereka perlu ditemani ahli keluarga atau mahram untuk masuk ke negara itu. Ketua Pengarah, Jabatan Pelesenan SCTH, Omar Al-Mubarak, berkata: “Visa pelancong akan berfungsi sebagai visa masuk tunggal dan ia sah selama 30 hari.

“Visa ini turut merangkumi mereka yang sudah berada di Arab Saudi, termasuk bagi mereka yang bekerja, melancong, menunaikan haji dan umrah”.

Baru-baru SCTH berkata, peraturan membabitkan pengeluaran visa pelancong itu akan diumumkan dalam tempoh suku pertama tahun ini.

“Peraturan eksekutif membabitkan pengeluaran visa itu sedang dimuktamadkan.

“Jabatan Teknologi Maklumat SCTH juga sedang membangunkan sistem elektronik bagi mengendalikan pengeluaran visa pelancong ini, dengan kerjasama wakil Pusat Maklumat Kebangsaan dan Kementerian Luar,” kata Omar kepada Arab News.

Sistem Visa Pelancong

Sementara itu, pelaksanaan sistem visa pelancong sepanjang 2008 hingga 2010, berjaya menarik lebih 32,000 pelancong mengunjungi Arab Saudi.

Ketika ini, prosedur pengeluaran visa itu dikendalikan beberapa syarikat pengendali pelancongan yang diberikan lesen oleh SCTH.

Inisiatif visa pelancong ini bertujuan menaik taraf sistem visa pelancong sedia ada bagi membolehkan orang ramai meneroka destinasi baharu pelancongan di Arab Saudi. Ia sekali gus bertujuan menjana sektor pelancongan dan membangunkan perkhidmatan pelancongan serta warisan di negara itu.

Dalam pada itu, ia juga sebahagian daripada inisiatif Program Transformasi Kebangsaan 2020 untuk mencapai Wawasan 2030 yang memberi tumpuan kepada industri pelancongan.

Dengan pengumuman ini, semoga lebih ramai wanita dapat merasai peluang kemanisan beribadah di Tanah Suci.

Sumber:bharian- Agensi (Arab News)

Foto: AlHijazTravel

Published by
Suhaidah Abd Wahab