Minyak wangi sememangnya aksesori penting untuk lelaki mahupun wanita untuk tampil berkeyakinan di khalayak ramai. Wangian yang mempersona mampu membangkitkan rasa dan memberi keselesaan buat si pemakai.
Komited untuk meneroka pasaran minyak wangi tempatan termasuk di peringkat antarabangsa, jenama Ameer Safone baru-baru ini melancarkan tiga rangkaian wangian eksklusif sebagai tanda pengenalan kepada semua penggemar wangian.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Ameer Safone Ventures , Amirul Safuan Mohd Ishak berkata, tiga wangian tersebut iaitu Baiduri, Srikandi dan Mahkota dihasilkan khusus bagi melengkapi personaliti si pemakai mengikut selera masing-masing.
Menurut Amirul, jenama Ameer Safone diyakini mampu menjadi sebahagian daripada kejayaan integral Malaysia dalam usaha mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjelang 2023.
Dalam berkongsi mengenai motivasi diri dan sumber inspirasi, Amirul menjelaskan bahawa beliau tidak pernah menganggap ketidakupayaan atau statusnya sebagai orang kurang upaya (OKU) sebagai batu penghalang dalam membina empayar perniagaan. Mengekalkan pemikiran yang positif, Amirul yakin bahawa tiada yang mustahil, dan kejayaan boleh digapai dengan semangat dan tekad yang kuat.
‘‘Terlibat dalam kemalangan pada tahun 2020 secara drastik telah mengubah hidup saya. Daripada menjalani kehidupan biasa, saya terlantar di katil hampir dua (2) tahun. Walau bagaimanapun, saya enggan membiarkan kekurangan fizikal saya menjadi penghalang untuk saya berjaya.
Sebagai seorang Muslim, saya berpandukan kepada kepercayaan bahawa Allah SWT telah menjadikan kita manusia berakal dan secara lahiriah, kita mempunyai daya tahan untuk berkembang maju. Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), bantuan zakat, institusi korporat serta keluarga dan rakan-rakan atas sokongan mereka yang tidak berbelah bahagi sepanjang perjalanan saya dalam pemulihan,’’ katanya.
Amirul percaya bahawa terdapat banyak lagi pengalaman dan pencapaian yang masih belum diraih. Justeru, beliau berazam untuk terus bangkit dan cuba mengejar kejayaan walaupun di sebalik kekurangan dirinya kini. Beliau mendapat inspirasi daripada ramai individu kurang upaya yang berjaya dalam pelbagai bidang.
Percaya Diri
‘‘Satu perkara yang saya percaya adalah, kita harus kreatif dalam kehidupan ini. Kini terdapat pelbagai pelbagai kemudahan teknologi yang boleh membantu daya kreativiti kita walaupun dengan batasan fizikal, dan saya menggunakan kesemuanya.
Ads
Ramai berkata, bidang keusahawanan mempunyai banyak risiko yang bakal dihadapi, tetapi hakikatnya semua perkara ada risiko dalam hidup ini. Perkara yang menarik dalam dunia keusahawanan ini adalah anda boleh mengawal dan melakar perjalanan anda sendiri,’’ katanya.
Amirul juga tidak menafikan kekuatan dan keberanian yang dimiliki selama ini diwarisi daripada Allahyarhamah ibunya yang turut berkecimpung dalam dunia perniagaan dan banyak mencurahkan ilmu pengetahuan yang kini dimanfaatkan dengan sebaiknya.
Kekurangan Satu Kelebihan
‘‘Bagi saya, Allahyarhamah ibu memang seorang pejuang. Mesikipun beliau diuji dengan kanser tahap empat (4), beliau masih boleh kekal tenang dan positif, manakala ayah saya sentiasa menjadi penyokong utama. Atas sebab itu, saya dedikasikan jenama Ameer Safone sebagai sebuah epitome keberanian dan daya tahan yang turut melambangkan semangat saya,’’ tambahnya.
Ameer Safone memperkenalkan tiga (3) haruman minyak wangi dalam koleksi sulung iaitu ‘‘Srikandi’’, ‘‘Bahaduri’’, dan ‘‘Mahkota’’. Setiap haruman unik dihasilkan khusus bagi melengkapi personaliti si pemakai mengikut citarasa masing-masing, menggunakan bahan semula jadi.
‘‘Srikandi’’ menampilkan aroma manis yang melambangkan keanggunan, keyakinan dan feminin. ‘‘Bahaduri’’ bercirikan lelaki moden yang tampan bergaya, melambangkan kekuatan, keberanian, serta ketenangan. ‘‘Mahkota’’ menawarkan haruman yang diilhamkan oleh budaya Timur Tengah, membangkitkan unsur kemewahan dan misteri.
Pembangunan Malaysia Madani
Malah, Amirul berkata, jenama Ameer Safone juga diyakini mampu menjadi sebahagian daripada teras pembangunan Malaysia Madani iaitu Kesejahteraan ekonomi, sosial dan kelestarian alam melalui budaya ilmu dan kepelbagaian pandangan.
Berkongsi mengenai cetusan perniagaan, Amirul yang memulakan langkah dalam bidang keusahawanan sejak setahun lalu mengakui bahawa dunia wangian tidak asing bagi dirinya memandangkan sejak sekian lama merupakan penggemar dan pengumpul koleksi minyak wangi dari seluruh dunia.
Ads
Peminat Minyak Wangi
“Idea ini datang kerana saya sendiri sebenarnya adalah peminat minyak wangi. Saya mempunyai banyak koleksi wangian daripada pelbagai jenama terkemuka dunia. Malah, minyak wangi juga membuatkan saya sentiasa teringat akan Allahyarham ibu tersayang.
“Saya percaya bahawa wangian juga mampu menjadi ‘mesin masa’ yang membawa kita kepada memori atau nostalgia lalu,”katanya.
Menurut Amirul, meskipun sedar bahawa wujud persaingan sengit dalam dunia perniagaan minyak wangi khususnya bagi produk tempatan, ia bagaimanapun bukan satu halangan untuknya mengambil peluang untuk meneroka potensi dalam bidang keusahawanan.
“Memang pada awalnya ramai yang skeptikal sebab saya tak pernah menjalankan perniagaan minyak wangi. Bagaimanapun, saya memiliki latar belakang dalam bidang perbankan dan pengurusan kewangan sebelum ini.
“Jadi, kepakaran dan ilmu dalam bidang itu saya suntik dalam dunia baharu yang saya cuba terokai kini. Saya sedar, ada banyak persaingan sebab ramai sahaja pengeluar minyak wangi yang menguasai pasaran tempatan.
“Bagi saya, mengapa tidak? Saya juga mendapat banyak sokongan daripada pelbagai agensi termasuk usahawan lain. Ini memberikan saya semangat untuk meneruskan cita-cita,”katanya.
Jelas Amirul, menerusi kempen keutamaan dan pembelian barangan lokal yang sedang rancak dilakukan oleh pengguna juga dilihat sebagai satu bonus buat usahawan tempatan sepertinya sekali gus diyakini mampu menjadikan rangkaian minyak wangi Ameer Safone sebagai pilihan ramai.
Malah, kata Amirul, menerusi pengenalan tiga rangkaian wangian ini, ia sejajar dengan hasratnya untuk mengangkat nilai produk jenama tempatan setanding dengan jenama terkemuka antarabangsa.
“Antara inspirasi saya adalah untuk membuktikan kepada semua bahawa produk tempatan juga mampu berada setanding dengan produk luar negara terutama dari sudut kualiti. Persaingan bagi saya adalah normal untuk mana-mana produk.
“Permintaan pasaran untuk minyak wangi berjenama mewah pun sentiasa sahaja ada. Tetapi saya yakin jenama tempatan seperti Ameer Safone ini juga mampu mendapat tempat di hati penggemar wangian kerana kita juga menjaga kualiti dan eksklusiviti.
“Tiga rangkaian wangian kita juga unik dengan notasi haruman berbeza yang mampu memikat jiwa sesuai dengan personaliti masing-masing. Kita juga menggunakan bahan semula jadi untuk membangkitkan haruman segar dan istimewa tiga wangian ini,”katanya.
Amirul berkata demikian semasa ditemui pada Majlis Pelancaran Wangian Ameer Safone; ‘Celebrating Resilience, the New Beginning’ di Worq KL Sentral, di sini, baru-baru ini. Majlis telah dirasmikan oleh mantan pengerusi kumpulan CIMB, Tan Sri Nazir Razak.Turut hadir ialah Pengasas dan Presiden Persatuan OKU Sentral, Datuk Dr Ras Adiba Radzi dan Ketua Pegawai Eksekutif WORQ, Stephanie Ping.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Biasanya setiap kali ada majlis harijadi, anak-anak lah yang paling seronok dan teruja nak tiup lilin yang ada pada kek. Baru-baru ini, viral video menunjukkan dua beradik di Brazil yang bergaduh sampai tarik rambut ketika majlis hari jadi kerana berebut mahu meniup sebatang lilin yang ada pada kek tersebut. Momen tersebut sempat dirakam dan mendapat perhatian dunia.
Video berkenaan menunjukkan kakak, Maria Antonia, meniup lilin pada kek hari jadi adiknya, Angered, hingga mencetuskan perbalahan sesama mereka.
Selepas video mereka menjadi viral, mereka telah dijemput oleh sebuah program televisyen, dimana pihak produksi telah menyediakan 500 batang lilin pada kek untuk ditiup dua beradik itu sepuas hati.
Ibu dan bapa kepada dua beradik itu bagaimanapun menyatakan bahawa ia adalah satu perkara normal untuk adik beradik bergaduh sesama sendiri, sambil dikongsikan foto mereka sedang berpelukkan.
MW: Adik beradik bergaduh lumrah semasa anak masih kecil. Menjadi tanggungjawab mak ayah, menyemai rasa sayang dalam diri mereka, agar hubungan menjadi rapat bila dah besar nanti.
Lufya bertuah sebagai ibu tunggal mampu didik anak dengan baik & mudah dengan sokongan keluarga. Bergelar ibu tunggal bukanlah satu perkara mudah. Apatah lagi perlu menjaga dan mendidik anak sendirian.
Terbaru untuk rekod, kemelut tuntutan nafkah Lufya terhadap bekas suami, Dr Che Muhammad Hafiz untuk anaknya seakan tiada kesudahan apabila kes sudah ditutup pihak Mahkamah Syariah sejak Mac lalu. Malah Lufya juga menyatakan perkara tersebut berlaku akibat kesilapan peguam yang mewakilinya apabila tidak muncul di mahkamah untuk perbicaraan.
Walaupun berlakunya kekecohan namun Lufya mampu berkongsi kisahnya sebagai ibu tunggal yang mendapat sokongan padu dari keluarga.
Lufya Bertuah Sebagai Ibu Tunggal Mampu Didik Anak Dengan Baik
Malah Lufya juga akui dirinya bertuah kerana keluarga berganding bahu membantu dirinya menjaga anak tunggal kesayangan Haura.
Malah Lufya juga menasihati masyarakat di luar sana sokonglah ibu tunggal di luar sana agar mereka terus tabah dalam harungi kehidupan seharian. Paling penting jangan persendakan ibu tunggal ya!
“Haura sudah ada 6 emak. Saya, mama dan 4 adik perempuan saya telah sama-sama berganding tangan menjaga Haura sepenuh hati kami sejak dari lahir lagi. Saya terhutang budi dan hormati mereka kerana sanggup korbankan masa, duit, berkongsi tekanan dan susah senang bersama. Kakak tak pernah cakap ni. Tapi harini akak bersyukur mama didik kita semua adik beradik bersatu hati dan ikhlas menjaga satu sama lain.
“Alhamdulillah she’s a happy kid and blessed with love 💖 #laanahaura
“Kami usaha dari dia ada trauma masa kecik (selalu pukul muka) , speech delay, dan hyperactive dan sekarang Haura berubah menjadi anak yang suka senyum, positif, baik dan strong. Perubahan yang sangat banyak. Lufya bawak pergi terapi untuk bantu Haura. Alhamdulillah dah lancar bercakap. Fya tak pernah share ini kepada umum. Tapi apa fya nak share ni sebenarnya walaupun kita ini Ibu Tunggal kita pasti boleh mendidik anak dengan baik dan lebih mudah dengan sokongan keluarga.
Jangan Persenda & Menekan Ibu Tunggal
“Bantulah ahli keluarga atau sahabat handai yang mengalami masalah seperti saya. Jangan dipersalahkan dan menekan mereka. Wanita ini nampak zahirnya lemah tetapi jika diberikan dorongan yang positif mereka akan “bangkit” lebih baik dari yang dulu.
“Berikan kata-kata hikmah dan positif bagi mereka yg mengalami penceraian sama ada diceraikan atau memohon cerai. Pasti ada yang tidak benar berlaku dalam perhubungan dalam rumah tangga.
“Sokongan keluarga dan sahabat sangatlah penting. Jika tidak dibantu, itulah yang berlaku sampai ibu buang anak,kes bunuh anak dan kejadian yang mengerikan berlaku. Kita tak nak tengok masyarakat kita jadi begini kan?.. berikanlah sokongan kepada ibu2 ini untuk bangkit meneruskan kehidupan. Mendoakan lebih baik dari mencela kerana kita masing-masing tidak tahu ujian apa yang Allah siapkan untuk kita di masa hadapan. Wallahuaklam,” kongsi Lufya.
“Anak Mahukan Ibu Yang Mentally & Physically Sihat” Farah Asyikin
Menerusi ruangan komen rakan artis dan peminat memberikan kata-kata semangat buat Lufya.
‘Ya, aku letak semua emas ku di Ar-Rahnu untuk umrah pertama’ demikian perkongsian Norazlina Harun. Wanita ini akui sukar baginya untuk memenuhi komitmen membuat simpanan setiap bulan.
Jika, dia tidak menyelesaikan masalah utamanya ini. Tentu sukar untuknya menunaikan impian mengerjakan umrah pertamanya. Akhirnya, dia berusaha dengan jalan membuat simpanan emas.
Kongsinya,
Dengan Emas Dapat Tunai Umrah Pertama
Kisah ini tak pernah aku cerita, tapi aku rasa perlu berkongsi cerita.
NOV 2019, aku, suami, tokma dan adik aku berangkat mengerjakan umrah. Kami antara jemaah terakhir yang pergi umrah sebelum covid melanda dunia.
Yang pernah baca kisah umrah pertama aku, masih ingat kah struggle aku kumpul duit untuk tunaikan umrah dalam masa yang singkat?
Dan sebenarnya, aku jenis susah nak simpan duit. Asal Simpan jer, ada bisikan daripada shoope lah.. Lazada lah.. Tu tak termasuk lagi yang beli direct daripada seller Fb.
Lagi satu aku species pantang tengok duit lebih dalam akaun. Ada jer aku nak beli. Tak kisah lah kedai ECO RM2 pun boleh habis ratus ringgit bila masuk. Allahuakhbar , boros. (doakan aku, tengah pose shopping barang yang merapu-rapu nih)
Jadi bila aku sedar diri, yang betapa struggle nak kumpul duit bila diri ni jenis rapuh dengan duit, aku start beli barang kemas.
Dan satu-satu cara yang berjaya untuk aku kumpul duit pergi umrah.
Yes, aku plan.. Once dah ready aku akan letak barang kemas aku di Ar-Rahnu. Dan ALHAMDULILLAH ALLAH IZIN KAN AKU MENUNAIKAN UMRAH bersama suami. Tokma dan adik nov 2019.
Plan aku berjaya. Allahuakhbar. Indahnya bila dapat melihat kaabah dengan mata sendiri.
(banyak sangat yang ALLAH berikan masa berada di sana.. Indah yang tak boleh nak cerita)
Tak pernah terfikir, dengan emas aku mengerjakan umrah pertamaku.
Mesti korang fikir ruginya, gadai emas… Bagi aku tak rugi, sebab emas pun aku ambil balik dah.
Dan paling mahal, rezeki mengerjakan umrah.
Jadi aku nasihatkan dekat korang yang species macam aku, yang susah nak simpan duit, cubalah cara ini. Kita habiskan duit kita pada emas dan bila tiba waktunya, kita boleh gunakannya
Akhir kata, RINDU PADA KAABAH, SUNGGUH IA PASTI.
DOAKAN AKU DAPAT BAWA TOKMA MENGERJAKAN HAJI. AAMIIN.AAMIIN.YAMUJIB
Sumber/Foto : Norazlina Harun
Pengemar barang kemas dan jongkong emas