Ternyata virus korona tidak mengenal bangsa, pangkat dan agama. Pemaisuri Agong Tunku Azizah Maimunah Iskandariah yang disayangi semua juga mengambil langkah berjaga-jaga apabila tujuh kakitangan istana positif COVID-19.

Walaupun Tunku Azizah telah menjalani proses saringan dan disahkan negatif, namun Tunku selesa untuk mengambil jalan tengah untuk kuarantin diri sendiri sebagai langkah selamat.

Jika masih ada di luar sana masih teragak-agak untuk duduk diam di rumah dan mementingkan diri sendiri, renungkan sikap Raja Pemaisuri Agong yang sanggup mengasingkan diri demi menjaga kesihatan bersama.

Ikuti perkongsian Raja Pemaisuri Agong Tunku Azizah Maimunah Iskandariah :

Saya memohon kepada semua rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama, doakan lah saya sekeluarga selamat… Kami self-quarantine dalam bilik masing-masing dan tidak bertemu sama sendiri.

Dalam masa yang sama, menerusi laporan Astro Awani:

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, disahkan negatif COVID-19.

IKLAN

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata baginda berdua berkenan menjalani proses saringan selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan tujuh kakitangan Istana Negara dijangkiti COVID-19.

Katanya, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong kini menjalani proses kuarantin diri selama 14 hari bermula semalam.

“Tujuh kakitangan terbabit sedang mendapat rawatan di Hospital Kuala Lumpur sejak Selasa dan semua mereka berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

IKLAN

KKM Mengenal Pasti Punca

Katanya, KKM sedang mengenal pasti punca jangkitan semua kakitangan terbabit.

Beliau berkata, semua langkah yang perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) sudah dilaksanakan untuk mengenal pasti semua kontak rapat kakitangan terbabit termasuk mengarahkan mereka menjalani saringan COVID-19.

Untuk memastikan pendedahan virus ini dapat dikawal dan dicegah di Istana Negara, semua kontak rapat kakitangan tersebut diarahkan menjalani kuarantin selama 14 hari, bermula semalam,” katanya.

Beliau berkata, Al-Sultan Abdullah dinasihatkan tidak mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mesyuarat mingguan Pra-Kabinet yang dijadualkan semalam dan sesi-sesi berikutnya sehingga situasi pandemik COVID-19 pulih.

IKLAN

Seri Paduka Baginda menzahirkan sokongan kepada pengumuman awal keputusan perlanjutan Perintah Kawalan Pergerakan hingga 14 April ini.

“Seri Paduka Baginda turut berharap semua rakyat Malaysia tabah menghadapi dugaan dan terus memberi sokongan kepada petugas-petugas kesihatan dan keselamatan,” katanya.

Sumber: Astro Awani

MW: Semoga Allah melindungi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah daripada dijangkiti virus COVID-19.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI