“Walaupun Bestfriend, Bawah Umur Daripada Kita, Kena Hormat Dia Sebagai Suami”

Share

Jodoh sesuatu yang istimewa. Tak dapat dijangka dengan siapa kita dijodohkan tanpa mengira usia. Baik sahabat rapat sendiri mahupun usia yang lebih muda daripada kita. Namun perlu ingat, walaupun bergelar kawan rapat atau BFF dan usia pasangan jauh lebih muda, isteri tetap kena hormat sebagai suami.Ini kerana status telah berbeza dan darjat suami suami mempunyai tempat lebih tinggi dan selayaknya diangkat menjadi syurga buat isteri.

Setelah lapan tahun bergelar kawan rapat dan berbeza usia, jodoh akhirnya menyatukan pasangan pelakon, Ardell Aryana, 29, dengan Nadzmi Adhwa,27 menjadi suami isteri pada 1 September lalu.Sah dengan sekali lafaz, Nadzmi atau nama penuhnya, Nadzmi Adhwa Nor Adzmi menyerahkan mas kahwin RM300 dan hantaran senaskah al-Quran.

Perubahan Setelah Menjadi Suami Isteri

Berkongsi perubahan yang dialami sebagai pasangan yang baru sahaja 7 hari menjadi suami isteri, pengantin baru ini menjelaskan paling ketara adalah dari segi panggilan diantara satu sama lain serta perlu lebih menjaga hati berbanding dahulu. Ardell atau pemilik nama sebenar Nurul Hidayah Mohd Amin menjelaskan;

“Kalau dulu boleh cakap kau aku, kadang-kadang terlepas juga perkataan kau aku tu.. tapi sekarang cuba biasakan diri ‘awak saya. Kekok sebenarnya perkara ini. Kalau dulu banyak cakap kasar-kasar, tak jaga hati sekarang kena banyak jaga hati, sebab ‘syurga baru’,” ujar Ardell.

Usia Suami Lebih Muda

Bagi Ardell, dirinya tak pernah terfikir untuk ada pasangan atau suami, usia yang lebih muda.Malah tak pernah suka orang lebih muda daripada dirinya. Sejak dahulu, dia lebih suka orang yang lebih tua.

Malah selama lapan tahun berkawan rapat, masing-masing pernah menjalin hubungan dengan pasangan lain-lain. Namun ketentuan takdir, keserasian dan jodoh yang kuat menyatukan Ardell dan Ardhwa.

“Selama 8 tahun berkawan rapat, masing-masing pernah ada pasangan sendiri, malah saya sendiri pernah bertunang dengan lelaki lain. Kita orang kawan baik, sampailah selepas masing-masing ‘frust’, kami saling ambil berat, kongsi masalah dan bertukar cerita,” ujar Ardell.

Sikap dan keperibadian berbeza melengkapkan pasangan ini. Menurut Ardell, Adhwa ada sikap wanita sikit. Suka menangis, kuat merajuk malah merasakan terbalik sikap dengan Ardell yang mempunya sikap lebih kasar, seperti lelaki.

Bagi Adhwa pula Ardell lebih kasar dan jenis berterus terang.

“Ardell ni macam kasar-kasar sikit. Dia jenis direct je. Kalau tak suka cakap tak suka. Dia tegur direct je.Saya banyak belajar untuk menjadi lelaki dari dia. Sebab saya, kadang-kadang orang tak berani nak tegur,” ujar Adhwa.

Terbuka Hati Terima Lamaran

8 tahun mengambil masa lama untuk Ardell terbuka hati menerima lamaran Adhwa.Namun ada perkara yang membuatkan Ardell tersedar dan paling terkesan bahawa Adhwa lah yang boleh menerima dirinya seadanya, tiada lelaki lain.

“Masing-masing single dah lama. Saya jenis tak ramai sangat kawan-kawan.Kawan-kawan lelaki pun ramai yang dah berumahtangga. Daripada saya sihat, sampai saya jatuh sakit dan sampailah saya sihat balik. Dia lah ‘the one’ yang ada untuk saya. Tak pernah bagi saya putus harap untuk teruskan hidup, untuk saya boleh berjalan, boleh kerja sampai sekarang. Sebab tu lah saya rasa ‘He’s The One’,”

“Saya adalah penghidap Anxiety dan depression yang teruk. Saya rasa tak semua orang akan faham saya. Sebelum ni pun macam-macam dugaan yang Allah bagi. Sakit tak boleh berjalan semua, menyebabkan depression attack saya menjadi lebih teruk. Saya boleh mengamuk bila-bila masa. Dalam masa tu, saya rasa saya pernah terpukul kepala Adhwa dengan besi sampai berdarah.

“Selepas itu baru saya tersedar, siapa yang boleh terima kita.. Iyalah sebelum tu Adhwa ada ajak kahwin.”Jomlah kahwin aku boleh jaga kau, at least kalau kau sakit aku boleh angkat kau, sekarang ni aku tak boleh sentuh kau pun”.

“Saya rasa dia lah lelaki yang memang takkan ada lelaki lain yang boleh menerima saya seadanya.” ujar Ardell panjang lebar.

Cara Bangkitkan Semangat Kembali Rasa Kesedihan Dan Down

Memang tak mudah untuk bangkit dan meneruskan kehidupan secara positif apabila diri mengalami depresi dan diuji dengan pelbagai ujian serta dugaan yang melanda.Namun ardell ada caranya tersendiri untuk bangkit kembali dengan mendekatkan diri pada Allah.

“Secara jujurnya, saya nak bangkit dari kesedihan atau rasa down tu sangat-sangat lama. Saya ambil masa lama. Sebab masa saya down, saya tak keluar bilik, saya mengamuk kat dalam bilik.Saya persoalkan kenapa satu-satu dugaan yang kau berikan, Ya Allah. Tapi lama-lama saya dapat satu jawapan, kerana Allah tu, lagi dia uji lagi dia sayang. Kalau dia jentik hati kita, maksudnya dia rindukan kita. Apa yang saya belajar, kita kena selalu fikir positif pada Allah. Sebab Allah selalu positif pada kita”

“Jadi saya start diri saya dengan menyertai misi kemanusiaan, saya dah tak fikir pasal sakit saya. Bagi saya, kalau aku sakit tengok orang lain kat luar sana yang hidup lagi teruk, lagi sakit, lagi diduga dengan macam-macam yang lebih berat”

“Bila saya buat misi kemanusiaan, saya rasa macam inilah kehidupan. Maksudnya kau jangan rasa Allah duga kau sebab Allah tak suka kau. Tapi Allah duga kau sebab Allah sayang kat kau.Malah Allah tak bagi kita lalai dengan dia pun, untuk lupakan dia.”

Kalau Allah tak tegur tak jentik hati kita, maksudnya Allah tu dah jauh tinggalkan kita.Adalah benda yang dibuat sampai Allah tu jauh darinya. Kalau boleh jangan sampai Allah tu jauh dengan kita tinggalkan kita.Kalau boleh kita nak dekat dengan Allah.Biarlah Allah nak duga kita banyak mana,”

ujar Ardell panjang lebar.

Sebagai kawan rapat dan kini bergelar suami, peranan Adhwa dalam menghadapi situasi begini pula adalah terus memberi sokongan, tidak tambah pressure yang dialamai, bantu apa yang diperlukan dan buat diri isterinya rasa gembira.

Pesanan Mak Ayah Setelah Berkahwin

Menjadi lumrah mak ayah pasti akan menitipkan pesanan dan nasihat bagi anak-anak yang bakal berkahwin. Bagi Ardell, antara pesanan mak yang disimpan kemas dalam ingatan apabila melayari rumahtangga adalah menghormati suami walaupun usianya lebih muda.

“Pesanan biasa sebagai mak dan ayah, macam mak saya banyak cakap hormati Adhwa, jangan kasar dengan dia dan cakap elok-elok, sebab sekarang ni dah jadi suami isteri.Kena banyak lebih cakap lembut dengan suami. Jangan anggap walaupun dia bestfriend dan bawah umur daripada kita jangan tak hormati dia. Walaupun kita lebih tua tapi kena hormat dia sebagai suami, sebab darjat dia sebagai suami dah lain dan lebih tinggi untuk isteri,” ujar Ardell.

Mingguan Wanita mendoakan kebahagiaan pasangan ini semoga berkekalan hingga ke akhir hayat hendaknya. Semoga terus kuat dan kekal tabah dalam mengharungi segala ujian dan dugaan dalam melayari rumahtangga.

Baca Disini: Patutlah Tangan Ardell Menggigil Waktu Sarung Cincin, Itu Serangan Panic Attack

Published by
Suhaidah Abd Wahab