Dilahirkan tidak sempurna seperti bayi lain, seawal umur 4 tahun Nazirah Shamsudin, 27, sudah perlu menjalani pembedahan yang besar bagi membetulkan rahang mulut yang terbuka di luar negara. Tapi itu semua cerita lama, meskipun diri serba kekurangan, keadaan tersebut tidak menghalang wanita yang mesra dipanggil Nazirah ini untuk meneruskan kehidupan seperti insan lain yang sempurna.
Pengorbanan Ibu Dan Ayah
Bahkan walaupun dengan keadaan diri yang serba kekurangan tidak menghalang Nazirah untuk memajukan dirinya. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Permatang Pelandok, Perak, Nazirah bertuah mempunyai ibu dan ayah yang sanggup berkorban demi masa depan yang lebih baik.
“Saya mengalami kecacatan fizikal sejak lahir. Seawal umur empat tahun saya telah membuat pembedahan di Australia untuk membetulkan rahang mulut bagi terbuka. Sejak lahir lagi saya hanya boleh minum susu melalui tiub yang disalurkan ke hidung. Pembedahan yang saya jalankan itu amat penting untuk saya dan Alhamdulillah syukur kerana semuanya selesai dan saya dapat menjalani kehidupan yang lebih baik setelah pembedahan tersebut.
“Ya betul fizikal saya masih tidak sesempurna insan lain walaupun telah menjalani pembedahan tersebut, tapi itu semua tidak mematahkan semangat saya untuk terus bangkit menjalani kehidupan seperti orang lain. Saya bertuah kerana keluarga sentiasa ada di belakang saya, memberikan sokongan dan dorongan di dalam apa jua bidang dan kerja yang ingin saya lakukan. Dengan sokongan dan dorongan merekalah membuatkan saya lebih berani untuk terus berdikari.
“Saya mendapat pendidikan awal di SK Permatang Pelandok dan kemudian di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdullah juga di Chenderong Balai, Perak. Sepanjang saya bersekolah mak dan abah yang selalu ulang alik mengambil saya sehinggalah saya tamat SPM.
“Saya menjalani kehidupan zaman persekolahan bersama kawan-kawan yang sempurna. Alhamdulillah guru-guru serta kawan-kawan boleh terima saya. Malah kawan-kawan sekelas tidak pernah menghina atau mengejek saya, mereka sanggup membantu. Dari darjah 1 saya hanya menulis menggunakan tangan serta berkepit dengan kaki, menulis atas meja. Waktu itu ada seorang guru yang mengajar serta melatih saya menulis menggunakan kedua-dua belah tangan. Dengan izin Allah dan bantuan serta tunjuk ajar guru tersebut dapatlah saya boleh menulis dan melukis menggunakan kedua-dua belah tangan hingga kini,” ujarnya mengimbas kembali zaman persekolahan suatu masa dahulu.
Mewakili Malaysia ke Sukan ASEAN 2017
Meminati seni lukisan sejak kecil membuatkan Nazirah menyimpan impian untuk terus mendalami bidang tersebut. Lantas untuk tidak mengehadkan pembelajaran hanya pada peringkat SPM sahaja, Nazirah melanjutkan pelajaran dalam bidang seni lukis di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) yang terletak di Bangi.
Lebih menarik lagi ketika mengikuti pembelajaran di sana, bakat Nazirah dalam bidang catur dikenal pasti oleh seorang guru. Sejak itu Nazirah mula aktif dalam permainan tersebut sehingga melayakkan dirinya untuk mewakili negara bagi Sukan PARA ASEAN pada 2017 yang lalu.
“Sejak sekolah lagi saya amat meminati seni lukisan. Selepas tamat SPM saya melanjutkan pelajaran dalam bidang seni lukis di PLPP, Bangi. Selain itu, saya juga ada melibatkan diri dalam permainan catur. Semasa di sana ada seorang guru datang kepada saya dan menawarkan peluang untuk saya menyertai pertandingan catur Paralimpiad di antara Negeri. Jadi saya tidak lepaskan peluang itu dan cabar diri saya untuk buktikan saya juga boleh dan berani.
“Alhamdulillah sejak daripada itu, apa sahaja pertandingan catur tak kira untuk paralimpiad atau dengan orang normal saya akan sertai. Tujuannya untuk menambah pengalaman dan daripada situ saya dapat belajar ilmu baru daripada pihak lawan. Hasil usaha dan beberapa kejayaan yang pernah saya peroleh pada tahun 2017 saya terpilih untuk menjadi wakil Malaysia, pada temasya sukan Para ASEAN 2017. Ini adalah saat yang paling gembira dalam hidup saya, siapa sangka kan? Kalau dahulu saya hanya berdiam diri dan tidak melanjutkan pelajaran ke PLPP mungkin saja saya tak tahu bermain catur dan seterusnya dapat mewakili Malaysia ke acara sukan di peringkat yang lebih tinggi. Pada tahun lalu ketika SUKMA yang diadakan di Perak, saya bersama-sama pasukan Perak telah mendapat keseluruhan 1 emas, 2 perak dan 1 gangsa,” ujarnya penuh bangga.
Bukan itu sahaja yang dilakukan oleh Nazirah untuk kelangsungan hidupnya, malah wanita ini juga turut mencuba nasib untuk menyertai Don Management, iaitu bidang peragaan atau modeling yang menampilkan model-model dengan kelainan upaya dan juga fizikal yang unik untuk diketengahkan. Selain itu juga Nazirah juga mencuba bidang perniagaan dengan menjadi dropship dan menjual barangan secara online dan juga offline.
Apabila ditanya dari mana datangnya minat untuk melakukan apa yang telah dicapai pada hari ini, menurut Nazirah apabila melihat kejayaan orang lain dia seakan terinspirasi dan ingin mencuba sendiri bidang tersebut.
Pendorong Utama
Nazirah sememangnya bertuah mempunyai keluarga yang cukup menyokong dan banyak memberi dorongan serta kata-kata semangat untuknya. Walaupun dirinya tidak sempurna seperti orang lain, mempunyai keluarga bahagia yang amat memahami sudah cukup buat Nazirah merasakan diri seperti insan lain yang sempurna.
“Keluarga saya, mak dan abah selalu memberikan kata-kata semangat. Merekalah yang selalu menyokong apa saja yang saya impikan. Mak dan abah sanggup berkorban tenaga, wang ringgit untuk lihat saya seperti insan lain, mereka berdua tidak pernah bandingkan saya dengan adik-beradik yang lain. Abang dan kakak saya pula sangat-sangat membantu, membawa saya ke tempat pertandingan dan ke tempat modeling untuk berikan pengalaman baru buat saya. Saya sangat bersyukur mempunyai keluarga yang penuh kasih sayang.
“Saya juga bersyukur di kelilingi kawan-kawan yang sangat baik, dari sekolah mereka membantu saya, menolak kerusi roda saya untuk ke kelas yang lain. Sehingga sekarang saya tetap berkawan dengan mereka. Merekalah sahabat saya dunia akhirat. Mereka juga banyak memberikan semangat serta dorongan untuk saya terus bersemangat untuk menimba ilmu di sekolah suatu masa dahulu,” tambah anak bongsu daripada 10 orang adik-beradik ini.
Tahun 2019 baru sahaja memasuki bulan kedua, Nazirah juga seperti insan lain mempunyai azam yang tersendiri untuk digapai sebagai pencapaian peribadinya. Menurutnya dia akan berusaha untuk terpilih mewakili Malaysia ke Sukan ASEAN di Manila pada tahun ni. Dia juga berharap semoga akan terus berjaya dalam apa jua bidang yang saya ceburi.