Walau sudah lama berkahwin, suami isteri tetap perlu semarakkan cinta. Dr. Norsimah Binti Dasan (KB.PA), Pensyarah Kanan, Fakulti Psikologi Dan Pendidikan, Universiti Malaysia Sabah mengesyorkan agar suami isteri perlu kembali segar, panas dan semarakkan cinta serta hubungan rumahtangga setelah sekian lama berkahwin.
Walau Sudah Lama Berkahwin, Suami Isteri Tetap Perlu Semarakkan Cinta
“Malah, sebenarnya suami isteri perlu sentiasa mengambil inisiatif mewujudkan suasana mesra dan hubungan yang romantis pada sepanjang tempoh masa perkahwinan.
“Adalah dicadangkan agar suami isteri tidak meletakkan jumlah tahun sebagai indikator untuk memanaskan semula hubungan yang dingin tetapi meletakkan peluang hidup yang diberikan oleh Allah SWT setiap kali memulakan hari agar semak dan perbaiki hubungan suami isteri.
“Adalah normal dua tahun dalam tempoh perkahwinan selalunya dirasai oleh pasangan yang berkahwin sebagai tempoh bulan madu.
“Di ketika ini suami dan isteri rela mengenepikan kekurangan pasangan masing-masing agar bahagia yang dinikmati tidak terjejas.
“Hubungan suami isteri yang romantis, bicara yang mendamaikan, layanan mesra adalah di antara variasi bahagia sepanjang tempoh bulan madu dijalani.
Ads
“ Namun sesuai dengan peredaran masa, komitmen keluarga bertambah, faktor biologi dan fisiologi semakin menurun tentunya memberi kesan kepada hubungan suami isteri dalam rumahtangga.
“Cabaran tiba, tekanan meningkat , emosi bercelaru adalah variasi rumah tangga apabila sudah lama berkahwin. Hampir semua pasangan hidup akan menghadapi ujian ini.
“ Walau bagaimanapun ujian ini dianugerahkan Allah adalah untuk meningkatkan kesepakatan suami isteri dalam melayari bahtera rumah tangga, sebagaimana firman Allah SWT:
“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” (Surah Ar-Rum, ayat 21)
Ads
Cara Eratkan Hubungan Suami Isteri
Dr. Norsimah Binti Dasan (KB.PA), Pensyarah Kanan, Fakulti Psikologi Dan Pendidikan, Universiti Malaysia Sabah
Assalamualaikum Puan. Saya berusia 34 tahun dan sudah lapan tahun berkahwin. Terus terang, wanita mana yang tak nak bergelar ibu, mengandung dan melahirkan zuriat sendiri. Namun, rezeki belum memihak pada saya. Walau pun ramai yang tuduh saya mandul tapi saya tak kisah asal bukan suami yang kata begitu.
Pelbagai usaha dah saya buat. Pergi berurut, makan jamu itu ini, bahkan jumpa doktor pun sudah. Itu semua saya lakukan selepas dua tahun berkahwin. Mengikut perubatan moden, doktor cakap saya tak ada apa-apa masalah. Jadi, saya anggap Allah belum nak bagi rezeki.
Dalam masa yang sama, suami tak pernah ikut saya menjalani apa-apa perubatan sama ada tradisional atau moden. Katanya, saya yang patut pergi berubat kerana saya yang akan mengandung, bukan dia. Lagi pula katanya, dia yakin dirinya subur kerana adik beradiknya ramai, lapan orang. Bahkan adik beradiknya yang dah berkahwin juga anak ramai. Hanya dia yang belum ada anak. Walau pun terkilan, tapi saya tak boleh buat apa.
Tahun berganti tahun, saya semakin reda dan serahkan pada rezeki kerana saya dah buat yang termampu. Namun dalam hati terkilan masih menebal kerana suami tak nak berusaha. Ajak buat IVF pun dia tak mahu. Jadi, apa lagi yang saya patut buat? Kenalah reda.
Keluarga Mentua Pandang Serong
Masuk tahun kelima, saya makin tertekan, bukan sebab suami saja, malah keluarganya juga. Mak mentua saya terutamanya, sering menyindir. Katanya saya yang tak boleh mengandung, bukan anaknya yang bermasalah!
Bayangkan perasaan saya ketika itu. Saya dah jumpa doktor dan doktor cakap saya memang tak ada masalah. Siapa kita nak menidakkan takdir? Saya mula kurang balik ke rumah keluarga suami kerana tak tahan asyik disindir lebih-lebih lagi kalau ada adik-beradik suami yang beranak baru.
Berubah Sikap
Saya tinggal berjiran dengan seorang ibu tunggal yang memiliki dua orang anak. Orangnya memang peramah dan sekejap saja kami rapat. Anak-anaknya juga rapat dengan saya dan suami. Kalau hari cuti, sering kali juga mereka ke rumah kami.
Saya tak tahu sebenarnya macam mana ia bermula. Tapi saya dapat rasakan perubahan pada suami. Kata orang, naluri isteri. Memang saya pun melayan anak-anak Z dengan baik tapi saya lihat suami melayan mereka teramat baik hinggakan pernah bawa budak berdua itu ke rumah ibu bapanya. Malah dia yang meminta dirinya dipanggil ‘papa’.
Mulanya saya tak kisah sangat kerana memikirkan mungkin dia ingin rasa seperti anak sendiri. Tapi saya dapat rasakan sesuatu di sebalik jelingan Z dan suami tiap kali bersua. Saya tak sedap hati.
.
Berpindah
Hinggalah Z tiba-tiba berpindah dan saya tak tahu. Balik kerja, tengok rumahnya sudah kosong. Bila tanya pada suami, dia hanya cakap tak tahu. Hairan juga kerana hubungan saya dan Z rapat juga, takkan soal pindah pun tak diberitahu? Saya cuba telefon pun tak dijawab.
Seminggu kemudian suami bekerja di luar kawasan dan saya tak syak apa-apa sehinggalah saya terlihat bil telefon suami. Biasanya saya tak ambil peduli tapi entah mengapa saya terlintas hati nak tengok? Banyak telefon ke satu nombor dan bila saya semak, itu nombor Z.
Berhari-hari saya tak boleh tidur memikirkan perkara itu, akhirnya saya tekad untuk berterus terang dengan suami. Walau pun pada mulanya suami menafikan, akhirnya dia mengaku yang dia sebenarnya sudah pun menikah dengan Z. Puan, Tuhan saja yang tahu hati saya ketika itu. Rasa marah, kecewa, tertipu, sedih – macam-macam berbaur di hati.
Kata suami, dia jatuh cinta dalam diam dan sepakat untuk berkahwin. Dia yakin akan mendapat zuriat bersama Z kerana yakin dirinya subur. Kata-kata terakhirnya mencabar ego saya sebagai wanita. Bermakna suami anggap saya mandul dan tak boleh berikan dia zuriat, sebab itu saya dimadukan dalam diam.
Minta Cerai
Puan, saya tak dapat terima dan minta cerai. Saya tak kisah orang kata saya mandul, tapi bila suami sendiri yang kata begitu, saya sangat sedih. Betul ke saya mandul atau dia yang mandul? Saya sudah pun membuat permohonan cerai dan akan naik mahkamah tak lama lagi. Suami masih memujuk saya untuk menarik balik permohonan. Puan, walau pun saya tekad cerai tapi saya masih sayangkan suami. Namun, hati saya sudah cukup terluka untuk terus bergelar isterinya. Saya juga rasa tertipu kerana suami sanggup bermain cinta dengan wanita yang saya anggap rakan di belakang saya.
Ida, KL
Jawapan Kaunselor:
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.
Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah. Perkahwinan adalah alam perkongsian suami isteri. Ada pasangan yang boleh kongsikan kesemua aspek dalam kehidupan, seperti kewangan, minda, perasaan dan emosi, kasih sayang, saling memahami, setia, hormat, tidak menyakiti hati pasangan, menerima kekurangan pasangan, menghargai kelebihan pasangan dan sebagainya. Jika ini tercapai, ia merupakan tahap kebahagiaan yang ideal yang didambakan oleh pasangan, khusus buat isteri.
Namun perjalanan dalam perkahwinan tidak semudah yang diimpikan. Ada pasangan yang hanya boleh berkongsi sebahagian, ada yang hanya sedikit, ada yang sukar untuk berkongsi kerana ego yang tinggi dan sukar menerima pasangan seadanya.
Saya memahami perasaan puan tentang keinginan memiliki anak sendiri, namun Allah belum kurniakan. Ada pasangan yang saya lihat, telah berkahwin hampir 15 tahun, namun tidak dikurniakan anak. Suaminya ada wanita lain yang ingin dikahwini. Isterinya mohon untuk dilepaskan. Dia bersetuju untuk menceraikannya. Setelah idah, isterinya berkahwin lain dan setahun lepas itu dia dikurniakan anak dalam usia 35 tahun. Manakala bekas suaminya setelah usia kini hampir empat tahun berkahwin lain tetapi masih belum dikurniakan anak.
Perancangan Allah Yang Terbaik
Kadang-kadang perancangan Allah kita tidak tahu, yang mana perancangan-Nya adalah lebih baik daripada yang kita rancang. Memang sukar untuk puan menerima tuduhan suami setelah pemeriksaan dijalankan bahawa puan adalah sempurna.
Kini, puan telah pun mengambil keputusan untuk berpisah dengan suami. Jika puan sudah bertekad, adakah puan telah bersedia ke arah itu? Pun begitu, proses menunggu keputusan perceraian di mahkamah bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi jika suami enggan turun atau enggan melafazkan cerai di hadapan hakim.
Ego Lelaki
Apa yang suami lakukan tidak mustahil dilakukan oleh lelaki lain. Alasan itu boleh pelbagai. Keegoan suami juga adalah sesuatu yang normal kepada seorang lelaki yang bergelar suami. Sukarnya seorang lelaki menerima kenyataan bahawa dia adalah mandul, samalah seperti wanita tidak dapat menerima hakikat berpoligami, mungkin lebih lagi kerana keegoan seorang lelaki sememangnya begitu.
Sebab itulah jarang suami yang mahu membuat pemeriksaan sama ada dia normal atau tidak. Justeru, tidak perlu kita mempertikaikan siapa yang normal atau tidak. Reda dengan ketentuan Allah. Jika ditakdirkan puan berpisah dengannya, dan dia dikurniakan zuriat dengan wanita lain, Alhamdulillah, doakan yang terbaik untuk suami.
Jika ditakdirkan dia tidak mahu menceraikan puan dan dia memiliki anak dengan wanita lain, puan berdoalah agar puan juga dikurniakan anak seperti madu puan. Jika puan berjaya dalam proses tuntutan cerai, maka jalanilah kehidupan dengan lebih bermakna. Masa bercerai mungkin masing-masing boleh memikirkan apakah masing-masing mampu untuk hidup berasingan? Dan puan pula bersendirian?
Kahwin Lain
Pada masa ini tidak dinafikan puan mahu berpisah dengan suami kerana dia telah ada wanita lain dan suami pula menganggap puan yang tidak mampu melahirkan anak. Namun apabila bercerai belum tentu puan dapat meneruskan kehidupan tanpa suami, melainkan puan bertemu dengan lelaki lain dan berkahwin serta mempunyai anak.
Masing-masing boleh membina kehidupan sendiri. Yang penting bersangka baik dan positif terhadap ketentuan tuhan. Puan tidak tahu dalam keadaan mana yang terbaik kan? Kerana ia belum berlaku dan tidak pasti adakah ianya bakal berlaku, melainkan hasrat suami yang mahu berkahwin lagi yang jelas akan berlaku.
Justeru, pertama sekali, berlapang dada. Jika puan teruskan hasrat itu, puan tetap berlapang dada dan berbaik sangka dengan suami. Sama jua berbaik sangka dengan keluarga suami. Anak hanya anugerah Allah yang merupakan amanah, perantara hubungan suami isteri untuk lebih bermakna. Namun, jika Allah tidak anugerah pun kita boleh mencipta keadaan itu dengan mengambil anak angkat.
Walau apapun yang bakal berlaku, senantiasalah berlapang dada, reda dan berbaik sangka. Untuk mendapatkan ini, pastinya hubungan puan dengan Allah perlu rapat. Solat malam, berdoa, solat awal waktu, solat sunat dan solat hajat agar Allah makbulkan hajat puan dan jika Allah tidak makbul pun, ada hikmah yang kita sendiri tidak tahu. Pelbagai aktiviti dalam kehidupan, kerana bahagia dalam hidup bukan hanya bergantung kepada bahagia dengan seorang lelaki. Saya mendoakan agar puan diberi kekuatan menghadapi ujian ini.
** Persoalan hati ini telah dijawab oleh Puan Hajah Maimunah Mohamad, Kaunselor dan penulis tetap ruangan Ya Tuhan dalam majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Dalam dunia perbidanan, nama Dato’ Dr Hamid Arshat tak perlu diperkenalkan. Kepakaran, prinsip kerja malah kelembutannya melayan pesakit terutama pasangan suami isteri yang mengharap kehadiran cahaya mata amat profesional sekali.
Bagi sesiapa yang pernah menemuinya, pasti tidak akan pernah melupakan nasihat yang dititipkan setiap kali kaunseling. Nasihat beliau bukan sekadar dalam bilik konsultasi, di laman fanpage Facebooknya, Dr Hamid Arshat beliau juga mencurah kata. Sarat nasihat yang membuatkan kita akur, inilah nasihat terbaik bukan saja daripada seorang doktor malah bapa kepada anaknya.
“Setelah lama saya bertugas sebagai doktor dan telah merawat berbagai jenis penyakit, saya dapat merumuskan bahawa stress, (tekanan mental, emosi dan fizikal) merupakan penyebab dan pencetus utama bagi berbagai jenis penyakit.”
“Ini termasuk penyakit-penyakit yang menyebabkam kematian mengejut, iaitu serangan jantung dan angin akhmar (stroke).”
Tip Dr Hamid Arshat Awet Sihat, Kawal Stress
Perkongsi saya cara-cara tangani stress:
1. TAWAKAL
Saya sentiasa berdoa kepada Allah agar terus dikurniakan kesihatan kekuatan tubuh. Jadi, saya tawakal kepada Allah sambil berusaha menangani stress. Dan saya redha dengan ketentuan Allah.
2. REDHA
Ketika ditimpa musibah, saya anggap sebagai ujian Allah ke atas keimanan saya. Kita datang dari Allah dan akhirnya akan kembali kepadaNya. Saya cuba sabar dan melakukan solat serta mohon pertolongan Allah.
3. SABAR
Apabila kehilangan duit sebab ditipu, dicuri, diperas ugut, atau tercicir sebab lalai, saya cuba tahan sedih dan marah. Saya anggap duit itu sudah bukan rezeki atau milik saya. Mungkin saya telah melakukan sesuatu kesalahan dan ini kifarah atau balasannya.
4. TAHAN MARAH
Bila memandu kereta, sering berlaku pemandu-pemandu lain mencetuskan provokasi, saperti menghimpit, bunyikan hon dan lain-lain, saya ambil langkah mengalah sahaja dan tahan marah. Begitu juga dalam situasi lain yang mencetus kemarahan, khususnya di rumah di kalangan keluarga dan di tempat kerja.
Tahan marah, tinggalkan dan beredar jauh untuk sejukkan hati. Ustaz nasihat ambil wuduk, tapi Alhamdulillah saya sering dapat kawal tanpa wuduk.
5. MEMAAFKAN
Sebab itu, saya selalu memaafkan orang yang buat salah dan silap, sama ada sengaja atau tidak. Dan terus lupakan peristiwa tersebut tanpa mengukit-ungkit.
Keluarga besar Dato’ Dr Hamid Arshat
6. TIDAK DENDAM
Walau pun difitnah dan dizalimi, saya tidak simpan DENDAM. Dan kawal perasaan untuk membalas.
7. BILA SAKIT
Atau Pening kepala sebab penat atau stress lepas kerja, saya makan panadol 2 biji (1gm), biasanya ia ia akan reda dan rasa tenang. Panadol bertindak membuka saluran-saluran darah yang kuncup dalam jantung, otak dan organ-organ lain akibat stress.
Ramai takut nak makan panadol atau lain-lain pain killers. Nasihat saya, makan ubat tersebut. Ada kajian yang menunjukkan panadol meningkatkan kesihatan dan melanjutkan umur.
8. SAYA SUKA BERKEBUN
Mencangkul, tanam sayur-sayur, herba dan pokok buahan di sekitar kawasan rumah. Kesannya memang relaxing.
9. ZIKIR DALAM KERETA
Memang jadi amalan saya bila memandu kereta saya terus menerus berzikir dan berselawat. Kesannya memang relaxing dan tenang fikiran.
10. DEEP BREATHING
Amalan menarik nafas dengan mendalam dan melepaskan nafas perlahan-lahan. Ulang-ulang untuk 5 minit. Saya lakukan bila-bila masa dan dimana-mana tempat bila rasa stress dan tidak selesai.
11. SIMPLE LIFE TANPA BERLUMBA-LUMBA
Penting amalkan gaya hidup yang sederhana tanpa membazir wang, tidak pentingkan brand name pada pakaian, kereta, hiasan dan lain-lain. Saya pentingkan substance dari rupa bentuk luaran.
Cuba amalkan panduan-panduan tersebut. Insha’Allah, kita boleh kawal stress, terus awet sihat dan dengan izin Allah lanjut usia dan boleh terus berkhidmat kepada agama dan bangsa. Aamin.
Sumber/Foto : Facebook Dr Hamid Arshat
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Suami memang tugas utama keluar mencari rezeki. Namun, sesuai dengan peredaran zaman dan keperluan semasa, ramai isteri yang bekerja demi untuk membantu isteri.
Ada dua situasi iaitu isteri yang bekerja dan isteri yang bergelar suri rumah tangga. Selalunya suami lebih mudah membantu isteri membuat kerja-kerja rumah sekiranya isteri sama-sama bekerja. Ini kerana mereka sedar isteri juga penat bekerja. Jadi, bila balik masing-masing akan sama-sama buat kerja rumah. Alahai, bertuahlah isteri yang memiliki suami yang macam tu. Sebabnya, ramai juga isteri yang merungut, sama-sama penat kerja. Tapi balik kerja, isteri yang terkejar-kejar buat kerja rumah sedangkan suami syok je rehat..ops!
Bagi isteri yang tak bekerja, sudah pasti 24 jam masa mereka di rumah, uruskan anak-anak dan urusan rumah tangga. Habis, tak penatkah mereka? Aduhai, penat mengalahkan orang yang kerja di pejabat tau! Tak percaya, tanyalah suri rumah.
Atas Pilihan
Bergelar suri rumah bukan sesuatu yang memalukan bahkan patut dibanggakan. Sebabnya, mereka diberikan kesempatan untuk mengasuh anak dengan tangan sendiri. Mak yang bekerja, perlu berkorban perasaan menghantar anak-anak ke rumah pengasuh atau nurseri. Atau kalau mampu, ambil orang gaji.
Ramai suri rumah yang berhenti kerja atas pilihan sedangkan mereka berpendidikan tinggi. Ya, masing-masing ada alasan sendiri.
Mesti ramai suri rumah yang marah bila baca kenyataan begitu kan? Ada suami yang susah benar nak tolong isteri buat kerja rumah bila isteri tak kerja. Alasan mereka, dah penat kerja dan balik nak rehat. Lainlah isteri, duduk rumah mesti ada masa nak rehat.
Kalau ini tanggapan suami, itu menandakan suami tak prihatin pada isteri. Cuba sehari suami duduk di rumah dan buat semua perkara tanpa pertolongan isteri. Agak-agak, mampukah buat?
Ya, memang isteri hanya duduk di rumah saja. Tapi apakah suami tahu, bila duduk rumah, macam-macam benda nak diuruskan. Belum lagi kalau perlu uruskan ambil dan hantar anak ke sekolah. Terkejar-kejar nak masak pula. Jadi, suami jangan ingat isteri terlalu banyak masa duduk bersenang lenang. Lebih-lebih lagi kalau ada anak-anak yang masih kecil, perlukan pemantauan sepanjang masa. Jangan ingat isteri syok tengok sinetron je ye.
Bantu Mana Yang Patut
Apa salahnya suami bantu isteri mana yang patut. Tak banyak, sikit pun dah boleh buat isteri seronok. Terasa dirinya dihargai susah payahnya. Kalau tengok isteri penat sangat, mungkin ambil alih uruskan anak dan biar isteri rehat seketika.
Kalau lihat isteri tak sempat nak cuci pinggan, apa salahnya tolong cuci. Tak susah pun. Bukan zaman dulu, perlu angkut air dari perigi! Itu namanya timbang rasa.
Satu lagi, ajaklah isteri pergi beli barang dapur. itulah waktu untuk luangkan masa bersama. Minta dia beli barang keperluan peribadinya sendiri juga. Pasti isteri rasa bahagia…
Suami Jangan Tau Mengarah Je
Tolong! Jangan bila balik rumah, nak segalanya teratur dan kemas saja. Mainan anak bersepah salahkan isteri sedangkan isteri dah banyak kali kemas tapi disepahkan lagi. Tengok situasilah ye. Kalau betul rumah bersepah dan kotor sebab isteri tak mengemas, itu lain cerita.
Pendek kata, suami jangan sampai ada perasaan yang isteri tak bekerja hanya duduk bersenang lenang di rumah. Tak percaya, sahut cabaran jadi ‘suri rumah’ selama sehari. Tahan tak tahan agaknya ye?
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pengetua wanita pulas telinga pelajar didenda RM2000, gara-gara tersalah tulis huruf G. Padah buat seorang pengetua wanita yang gagal mengawal perasaan apabila bertindak memulas...