Benarkah seorang isteri itu hanya dimanfaatkan suaminya untuk urusan di atas katil dan dapur saja? Apakah agama membenarkan suami mengongkong dan menyekat kebebasan isteri? Adat budaya atau agamakah yang memperakui bahawa suami tetap wajib ditaati tanpa syarat? Bagaimana pula dengan isteri yang terpaksa bekerja untuk membantu keluarga. Bagaimana mereka ingin mencari ‘lubuk pahala’?
“ Kalau dapat suami yang jenis suka goyang kaki, macam mana pula, kena bangun awal dan tidur akhir semata-mata untuk masak dan kemas dapur? Tak sempat lagilah nak buat semua hobi aku, kalau asyik jaga hati suami nanti siapa pula nak jaga hati aku? Nanti kerja rumah semua suruh aku buat, terpaksa berhenti kerja sebab nak jaga anak atau menjadi suri rumah sepenuh masa aku tak sanggup, mana boleh lepaskan pangkat dan gaji besar aku, tak adillah penat belajar tinggi-tinggi!”
Lelaki sekarang ramai yang nak menumpang hidup dengan calon isteri, bukan macam bapa kita dulu-dulu yang menganggap meminta kepada isteri itu menjatuhkan maruah suami. Sekarang ini, tak sedikit yang ambil kesempatan bahkan perah habis-habis apa yang isteri ada, harta, tenaga, emosinya semua jadi mangsa lelaki tak bertanggung jawab.
Begitulah antara keluhan dan ketakutan yang mendatangkan trauma bagi wanita yang mahu berkahwin. Tapi di sudut hati, mereka amat mendambakan hidup berpasangan hanya tak sanggup menanggung komitmen dalam perkahwinan. Ramai sebenarnya yang terkejut apabila mengharungi hidup baru selepas berkahwin, mereka tak bersedia menggalas tanggung jawab sebagai suami dan isteri.
Kesilapan para wanita dan lelaki bujang dalam memahami falsafah perkahwinan itu yang membuat mereka rasa kecewa, realiti perkahwinan tak seindah apa yang diimpikan. Kalaulah mereka mahu belajar memahami bahawa perkahwinan itu amanah daripada Allah SWT, sebagaimana rezeki, anak, harta, ilmu dan kehidupan ini semuanya nescaya bahagialah setiap perkahwinan. Amanah bermaksud tanggung jawab yang akan dipersoalkan di akhirat, kahwin bukan untuk ‘bersedap-sedapan’ saja tapi hakikatnya adalah satu ujian dan cabaran yang wajib digalas.
Bahkan ia adalah ibadah yang paling panjang dalam hidup muslim, bermula dilafazkan akad nikah sehinggalah keduanya bercerai hidup atau mati. Sungguh amatlah besar pahala ibadah dalam perkahwinan, cuba kita bayangkan seorang wanita yang duduk di rumah mengelap setiap debu yang melekat dan menyapu setiap sampah yang jatuh di atas lantai rumahnya, apakah kerja rumah sebegitu sia-sia saja kerana mengorbankan karier kerjaya dan pendapatan bulanannya hanya untuk urusan remeh? Tidak ingatkah kita tentang hadis Nabi s.a.w yang menyatakan sesiapa menyingkirkan duri atau kayu yang menghalangi jalan boleh menjadi sebab seseorang masuk syurga, inikan lagi menjaga kebersihan dan keselamatan rumahnya 24 jam?
Kadang-kadang seorang isteri mengeluh, “kenapa aku habiskan masa berjam-jam di dapur sedangkan teman-temanku mencapai cita-cita mereka dengan cemerlangnya?”. Padahal kalau wanita ini ikhlas dan percaya janji Allah nescaya khidmatnya itu menjadi tiket untuk dirinya mendapatkan syurga daripada mana-mana pintu yang dia mahu.
Bayangkanlah jika teman-teman anda yang gajinya berbelas ribu itu disuruh sedekahkan semuanya di jalan Allah, apakah mereka sanggup? Tetapi anda telah pun sedekahkan segala-gala yang anda miliki untuk Allah! Betapa hebatnya diri anda wahai ibu, wahai isteri yang serahkan seluruh jiwa raga demi perkahwinan yang diredai Allah. Walaupun anda tidak berduit tapi anda sanggup korbankan kerjaya kerana Allah!
Namun begitu, bukan bermakna wanita tak boleh mendapat pahala apabila dia bekerja menolong suami di luar rumah, bahkan dua kali ganda lagi dia dapatkan pahala. Pahala susah menjadi ibu dan susah mencari nafkah! Kalau kita mahu hidup selesa dan bahagia tanpa ujian dan tanggungjawab dalam perkahwinan, dengan apa kita boleh masuk syurga? Bukankah syarat mendapat syurga itu harus sabar melalui ujian kehidupan?
Allah SWT berfirman: “Apakah kamu menyangka kamu akan masuk syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah orang-orang yang bersungguh-sungguh berjuang dan belum nyata orang-orang yang sabar.” (Surah Ali Imran ayat 142)
Kesakitan, keletihan, kerisauan setiap wanita sebagai isteri dan ibu akan menjadi penghapus dosa-dosa sampai dia kembali menemui Allah dalam keadaan suci dan bersih. Rasulullah s.a.w bersabda: “Tidaklah seorang muslim ditimpa keletihan atau penyakit atau kerisauan atau kesedihan atau gangguan bahkan duri yang melukainya melainkan Allah akan menghapus dosa-dosa kerananya.” (Hadis al-Bukhari dan Muslim)
Masihkah kita mengeluh dan patah hati menghadapi ujian perkahwinan? Ya Allah tolonglah dan permudahkanlah!
** Artikel ini merupakan sumbangan Dato’ Dr. Haji Juanda Haji Jaya, Perunding Undang-undang Keluarga Islam, juga merupakan kolumnis ruangan Keluarga Sakinah dalam majalah Mingguan Wanita.