Pada usia perkahwinan menjangkau empat tahun, rumah tangga Amiza Binti Abdul Rahman, 32 diuji sehingga membawa kepada penceraian. Memisahkan ibu ini dengan 2 orang anaknya, yang ketika itu berusia 3 tahun dan 11 bulan (masih menyusu badan)
“Perpisahan yang bukan sahaja memisahkan saya dengan suami tapi juga memisahkan saya dengan anak-anak. Bekas suami sangat mahukan hak penjagaan anak-anak.
“Ketika itu saya hanya memikirkan kebajikan anak-anak di mana saya tiada pekerjaan tetap dan tiada simpanan jadi saya bersetuju menyerahkan hak penjagaan kepada bekas suami manakala saya diberikan hak lawatan.
“Saya juga tidak mahu emosi anak-anak terjejas lantaran perebutan hak jagaan mereka antara kami lalu saya mengalah dan redha melepaskan anak-anak kepada suami.
“Saya yakin ayah mereka sangat menyayangi mereka dan boleh menjaga anak-anak dengan baik.” Luah ibu kepada dua cahaya mata Adam Rizqi, 4 dan Ainul Mardiah, 2.
Pasangan ini berpisah pada bulan Januari 2017. Waktu itu anak-anak mereka masih kecil dan tak faham sepenuhnya pergolakan yang berlaku antara ayah dan ibu mereka.
“Anak-anak diambil dari saya sejak bulan Disember 2016, pada awalnya saya ibarat ibu kucing
kehilangan anak namun berbekalkan sokongan keluarga dan sahabat saya bangkit tak lama selepas itu.“Saya sibukkan diri demi mengalihkan fokus dari terlalu memikirkan dan merindui anak-anak. Saya menyambung tugas mengajar sebagai home tutor di bawah pengurusan agensi saya sendiri iaitu Rizqi Ilmu Home Learning.
“Dalam masa sama menawarkan diri menjadi cikgu sukarelawan di rumah anak-anak yatim selain menyibukkan diri ke kelas mengaji al-Quran dan majlis ilmu.
“Waktu berpisah Adam Rizqi berumur 3 tahun dan Ainul Mardiah berusia 11 bulan dan masih menyusu badan. Ketika itu, masa saya terisi namun ada sesuatu dalam hati yang masih saya genggam dan saya rasa menderita.
“Saya masih ada perasaan marah, dendam, benci dan sakit hati dengan takdir yang telah berlaku. Saya belum benar-benar move on.”
Sehinggalah kemudiannya pada Ogos 2017, Amiza menyertai Program Ehati Coach Mentoring (ECM) sebagai pelapis ehati coach di bawah bimbingan Puan Diyana Tahir sebagai salah satu usaha untuk bangkit berdamai dengan ujian hidup dan mencari ketenangan hati.
“Saya berlatih membangunkan hati agar penuh kesyukuran, kemaafan dan kasih sayang juga belajar menerima takdir hidup saya dengan berlapang dada dan bersangka baik dengan Allah SWT.
“Menerusi ECM saya menemui panggilan jiwa saya iaitu apa yang ingin saya lakukan dalam kehidupan singkat saya di dunia ini.
“Saya ingin hidup dengan memberi manfaat dan inspirasi kepada wanita yang diuji dengan penceraian melalui modul latihan hati yang komprehensif iaitu DVD 21 hari Ajari Hatiku dan Personal Coaching.
“Berazam agar semua hati yang lelah diuji dengan pelbagai masalah dan ujian kehidupan, merasai dan menikmati ujian sebagai hadiah dari Allah SWT yang penuh hikmah dan nikmat.
”Sebab itu, Amiza percaya penceraian bukanlah suatu penamat kepada kehidupan, melainkan suatu permulaan kepada kehidupan yang lebih baik, bahagia dan bermakna.
Amiza melihat penceraian bukanlah satu musibah tapi hadiah yang terkandung 1001 hikmah yang wajib disyukuri. Allah SWT menguji dirinya kerana sayang dan ujian Nya adalah sangat sesuai dengan kemampuan diri menghadapinya dan Amiza juga bersyukurlah menjadi insan terpilih menerima ujian penceraian ini.
“Ketiadaan anak-anak bersama memberi ruang kepada saya memperbaiki diri, ekonomi dan kewangan saya. Saya mengali semula potensi diri yang ada dalam diri saya yang hilang kerana kurang keyakinan diri semasa dalam perkahwinan.
“Saya juga sibuk memenuhkan masa dengan mengajar tuisyen dan membantu memberi sokongan moral dan motivasi kepada wanita melalui online di media sosial dan personal coaching.
“Perkhidmatan home tuition ini telah saya usahakan semasa hidup bersama bekas suami dahulu, jadi sekarang saya cuma menambah baik dari segi pengurusan.
“Manakala perkhidmatan ehati coaching baru dimulakan sejak September tahun lalu dan masih di bawah pemantauan Ehati International Sdn Bhd selama dua tahun.
“Ketika ini saya masih bergerak sendiri menguruskan kedua-dua perkhidmatan saya. Perancangan terdekat saya ialah untuk memiliki pejabat dan beberapa staf sokongan untuk saya melebarkan sayap dengan lebih proaktif sebagai pelapis ehati coach.
“Semoga semua perancangan berjalan lancar dan berjaya. Alhamdulillah, saya beruntung kerana keluarga terutamanya ibu, Wan Zainab Wahab sangat membantu proses kebangkitan saya. Mereka sentiasa ada di sisi saya memberikan sokongan moral tanpa jemu.
“Malah berada dalam lingkungan sahabat terutamanya keluarga ehati yang sangat positif dan saling memberikan sokongan sangat menjadikan saya lebih kuat, terus kuat dan sentiasa kuat.
“Juga mentor saya iaitu Puan Diyana Tahir yang selalu menasihati dan membakar semangat saya untuk
terus berjuang demi anak-anak dan masa depan yang lebih baik.“Betapa bersyukurnya saya saat terpisah dengan insan tersayang, Allah menghadirkan dan menggantikan dengan lebih ramai insan-insan yang sangat baik untuk menemani saya.
“Cabaran saya mungkin tak sama dengan ibu tunggal yang lain, saya sangat bergelut dengan perasaan rindu terhadap Adam dan Ainul kerana susah mendapat kerjasama yang baik untuk melawat mereka.
“Namun ianya menjadi pemangkin untuk saya terus berjuang mengubah dan meningkatkan taraf hidup saya kerana saya yakin suatu masa yang tepat kami bertiga akan bersama semula,” kata Amiza.
“Apabila saya belajar membangunkan kesyukuran dan menjadi lebih positif, rasanya hidup saya kini dipenuhi pengalaman manis. Saya ada pelajar-pelajar tuisyen yang menyayangi saya.
“Saya boleh melakukan hobi seperti mendaki bukit dan menari bersama rakan-rakan. Walaupun kerinduan terhadap Adam dan Ainul sering bertandang, tapi saya mampu menangani emosi saya dengan lebih bijaksana dan matang.”
Foto : Amiza Abdul Rahman