Pernahkah anda berada dalam situasi ini. Pulang dari kerja, terkejar-kejar nak memasak hidangan makan malam. Bila anak-anak nak bercakap dan berkongsi sesuatu, akan diabaikan saja. Lagi teruk jika anak itu dimarahi kerana menganggu fokus anda yang tak menang tangan nak buat itu dan ini. Tanpa sedar, ia memberi kesan tidak elok untuk perkembangan diri anak-anak. Ayuh hayati perkongsian daripada Dr. Nurul Asiah Fasehah Muhammad, pensyarah di Universiti Sains Islam Malaysia yang juga penulis tetap ruangan Permata Hati di dalam majalah Mingguan Wanita.
Dalam mengharungi kehidupan sehari-hari, tidak dapat dinafikan kita letih dan amat penat. Keberadaan kita di rumah terkadang hanya tinggal jasad yang longlai dan tidak ada tenaga. Sedangkan pada ketika itulah anak-anak ingin mendapatkan perhatian kita bagi mengubat rindu setelah seharian tidak bertemu. Suara manja mereka sentiasa kedengaran inginkan perhatian, pelbagai persoalan yang diajukan, pelbagai cerita ingin diberitahu.
Begitulah hakikat kehidupan yang kita jalani sehari-harian. Hanya pada Allah tempat mengadu kelelahan dan tempat memohon bantuan. Ya benar, sememangnya kita keletihan namun, usah lupa ada Allah bersama kita yang mampu meringankan bebanan yang kita tanggung. Justeru, bermunajatlah dan mengadulah segala kesukaran itu kepada-Nya yang Maha mendengar. Usah dilemparkan rasa letih dan penat itu kepada anak-anak yang tidak bersalah pasti kita lebih sakit melihatnya menangis kesayuan akibat herdikan kasar ibu yang dinanti sedari pagi. Pasti itu memeritkan.
Tulus
Usah kita lupa bahawa anak-anak kita memiliki hati yang tulus. Kasih sayangnya juga tulus tiada berselindung. Panggillah dia dengan namanya dengan penuh kasih sayang pasti itu amat menggembirakannya. Hadiahkan dia sekuntum senyuman yang manis walaupun kita sudah tidak berdaya untuk memberikan respons kepada ceritanya yang panjang. Ketahuilah juga anak-anak kita amat memahami. Dia juga tidak mahu kita kelelahan cuma berikan dia sedikit masa untuk memberitahu kita tentang perkara itu.
Ayah dan ibu yang dihormati, respons bukan sekadar dengan perkataan, boleh terjadi dalam pelbagai bentuk seperti sentuhan dan senyuman. Malah respons seperti ini memiliki auranya yang tersendiri. Apabila anak memanggil kita, jawablah panggilannya dan jika dia sedang memandang kita angguk dan senyumlah kepadanya. Ini menunjukkan kita amat mengalu-alukan dirinya.
Dalam banyak hal, kita harus terlebih dahulu membuat komitmen untuk tampil sebagai contoh kepada anak. Jika kita gagal menjawab panggilan anak dengan baik, maka contoh tersebut yang kita tunjukkan kepada mereka. Maka tidak hairanlah jika mereka juga menggunakan cara yang kasar atau lambat menyahut sapaan dan panggilan kita.
Jadi Contoh
Tambahan pula di zaman ledakan teknologi. Di mana aktiviti di dalam telefon bimbit tidak pernah berhenti. Ada sahaja mesej yang masuk, ada sahaja kerja baru yang sedang menanti. Ketika ini lebih lagi kita harus menunjukkan contoh yang baik kepada mereka. Dengan apa yang kita praktikkan, pastikan anak boleh belajar bagaimana untuk menguruskan teknologi dalam kehidupan mereka. Hal ini kerana mereka adalah generasi high-techonology. Jika tidak diberikan panduan sudah tentu mereka akan hanyut di dalam arus derasnya yang deras.
Dalam pada itu, mereka masih lagi sedang belajar untuk membina perisai diri dengan agama. Maka bantulah mereka dengan menunjukkan contoh teladan yang terbaik. Agar mereka dapat menyeimbangkannya dengan tanggungjawab sebagai hamba Allah.
Ayah dan ibu sekalian, bagi meneguhkan hal itu, kita harus berperanan sebagai pemandu arah dengan menggunakan sentuhan insaniah yang baik bagi menyentuh rohani mereka. Antaranya ialah dengan mengusik emosi mereka dan merantai sanubari mereka dengan agama. Mereka harus didedahkan dengan perkara-perkara yang perlu diutamakan sebagai umat Islam. Maka keperluan emosi mereka harus disantuni dengan baik. Mereka perlu rasa diri mereka disayangi dan dihargai kemudian, insya-Allah pendidikan dan nasihat kita mudah untuk menyelinap di dalam hati.
Akhirnya, sebagai orang kepercayaan dan kesayangan mereka, penuhilah impian mereka untuk berbual mesra, bergelak ketawa dan bergurau senda sementara kita diberikan peluang dan ruang itu. Ketepikanlah sebentar keletihan kerana apa yang sedang kita lakukan dalam menyantuni mereka hakikatnya ada Rahmat dan Kasih sayang Allah di dalamnya. Jadi, jawablah panggilannya dengan baik dan penuh kasih sayang, insya-Allah kita juga bakal menerima keadaan yang sama di waktu kita memerlukannya kelak. Wallahualam.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI