Walau Isteri Ada Duit Gaji Sendiri, Suami Jangan Culas Bagi Nafkah

Share

 Nafkah adalah hak isteri yang wajib suami langsaikan. Jumlah? Ikut kemampuan suami dan atas perbincangan bersama.

Namun, ada j uga suami yang culas bagi nafkah dengan alasan isteri dah ada gaji sendiri!

 Ikuti perkongsian daripada Puan Suzana Ghazali, https://www.facebook.com/suzana.ghazali Perunding Psikologi Keluarga Dan Guaman Syarie, juga penulis ruangan RESIPI HIDUP di dalam Majalah Mingguan Wanita.

Ramai Isteri Tahu Hak Mereka Tentang Nafkah

Saya masih menerima aduan kes tentang para isteri yang tak tahu bahawa mereka berhak dibiayai segala keperluan oleh si suami disebabkan mereka sendiri bekerja. Malah ada para suami yang bertegang urat menegaskan mereka tidak perlu membiayai keperluan si isteri kerana suami telah memberikan izin untuk isterinya itu bekerja.

Sama ada gagal memahami hak sendiri atau keliru sebab semua orang yang ingin berkahwin perlu hadiri kursus pra perkahwinan dan setahu saya, perkara mengenai tanggungjawab nafkah ini, memang ada dinyatakan sepanjang kursus.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Kaum lelaki itu adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan kerana Allah telah melebihkan orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) berbanding kaum wanita dan juga kerana orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.” – surah al-Nisa’ ayat 34.

Semuanya Tanggungjawab Suami

Islam menetapkan bahawa suami adalah sebagai ketua keluarga. Apabila disebut sebagai ketua maka jelas sudah bahawa seorang suami bertanggungjawab atas segalanya. Makan minum, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan segala yang terangkum sebagai satu keperluan bagi isteri dan juga satu perkara sampingan tetapi menjadi perkara utama apabila dilakukan demi suami tercinta seperti rawatan kecantikan dan solekan.

Malahan, sekiranya suami seorang yang mampu tetapi masih mengizinkan isterinya bekerja, suami sewajarnya menanggung segala kos ulang alik si isteri ketika bekerja.

Hak Mutlak Isteri

Segala pendapatan isteri pula adalah hak mutlak si isteri dan suami, sekiranya berkehendakkan hasil pendapatan isteri bagi membantunya menanggung perbelanjaan rumah tangga, adalah dikira sebagai berhutang dengan si isteri.

Cuma, demi kerukunan rumah tangga malahan di dalam era globalisasi dan ketamadunan yang kian mencabar ini, memang satu bonus dan satu keperluan bagi sesetengah individu untuk si isteri bekerja bagi membantu meringankan tanggungan suami. Membantu meringankan bebanan dan tanggungan suami bukan bererti suami terlepas daripada tanggungjawab.

Isteri Bukan Tunggak Utama Cari Nafkah

Membantu juga bermaksud bukan isteri sebagai tunggak utama sebaliknya si suami. Hanya bila pendapatan suami tidak mencukupi selepas suami telah peruntukkan untuk keperluan, bukan untuk hobi atau perkara tak perlu dahulu, maka si isteri wajar membantu dengan menambah kadar yang tidak mencukupi sahaja.

Membantu bukan bermaksud segala perbelanjaan keperluan rumah tangga dibahagi sama banyak dan isteri diarah membiayai sebahagian daripadanya. Itu prinsip bantuan dan perkongsian yang salah.

Bagi seorang lelaki yang betul-betul ada harga diri, dia akan berusaha dengan sedaya upaya bagi memenuhi segala keperluan isteri, anak-anak dan keperluan rumah tangga tanpa mengharapkan hasil pendapatan isteri.

Jangan Biasakan

Menyebut tentang hasil pendapatan isteri, saya ingin mengingatkan para isteri yang bekerja, memang tak salah kita membantu meringankan beban suami tetapi jangan terlalu membiasakan suami kita dibantu sewenangnya.

Hasil pendapatan kita adalah hak kita yang mutlak. Kita bebas membelanjakannya sewenangnya hatta nak beli barang kemas selori pun adalah tidak salah. Cuma, secara logiknya, sudah tentulah kita ingin membantu suami kerana suami adalah insan yang kita cintai.

Mudah Lupa Diri

Tidak salah membantu tetapi ada batasan. Walaupun tidak semua tetapi kebanyakannya para suami yang sentiasa ditolong ini akan mudah lupa diri. Rasa bebas bernafas sikit, terus segala tugas yang patutnya dipikul oleh suami telah diserah bulat-bulat kepada isteri. Suami pula, mula pasang strategi nak tubuh ‘cawangan’ terkini.

Satu perkara lagi, ingin saya ingatkan kepada para isteri, jangan sekali-kali menyerahkan segala hasil pendapatan anda kepada suami. Pendapatan anda itu adalah hak anda sepenuhnya. Sekiranya ingin membantu, berikan sekadar yang perlu sahaja.

https://www.mingguanwanita.my/mahkamah-khas-sita-harta-lelaki-liat-bayar-nafkah-bekas-isteri-mula-operasi-mei-ini/

https://www.mingguanwanita.my/suami-tidak-tunaikan-nafkah-kepada-isteri-anak-umpama-zalimi-diri-sendiri/

Published by
Nurul Azwa