DanWanita ini, Siti Suryani Yaakop berkongsi kisah. Macam mana dia terkesan dengan pesanan yang diberikan pelakon Lisa Surihani tentang penghijrahannya.
Katanya, berbeza daripada apa yang pernah dibaca dalam memotivasikan dirinya. Jika sebelumnya dia dimotivasikan agar tinggalkan circle yang lama-lama. Tetapi tidak begitu pesan Lisa.
Pelakon yang juga ibu anak tiga ini mengingatkan agar menjaga hubungan dengan rakan-rakan lama, biarpun penampilannya sudah berbeza. Dan ada sebab mengapa Lisa mahu kekal bersama mereka.
Tadi ada lalu video Lisa Surihani cakap pasal puji-pujian. Kena hati-hati kalau orang puji. Sebab kita ni manusia. Sikit banyak mesti ada jugak rasa seronok yang akhirnya membawa kepada sum’ah.
Dan hari tu dengar dia cakap pasal penghijrahan dia. Dia kata dia bersyukur ada ramai kawan-kawan yang bagi sokongan. Antaranya Heliza Helmi. Neelofa. Diana Amir.
Dia kata kalau nak berubah ni memang seronok ada kawan yang faham dan berada di aliran yang sama. Kenalah follow rapat-rapat kawan macam ni.
Tapi dia juga pesan. Dan jarang saya dengar orang pesan macam ni. Biasa orang pesan suruh duduk di circle dia saja. Tinggalkan circle yang lama-lama.
Dia kata macam ni. Walaupun kita dah berubah. Dah jumpa teman-teman seangkatan dari jalan yang sama. Jangan tinggalkan kawan-kawan kita yang lain. Doakan dia. Baik juga dengan dia macam biasa. Yang kita tinggalkan, yang kita jauhkan ialah aktivitinya. Tapi kawan tu tidak. Jangan kita tinggal dia.
Mana tahu satu hari nanti asbab kita terus berbuat baik dengan dia, dia lembut hati. Dia mengikut juga. Bukan kita tinggal dia sebab kita rasa kita dah berubah lebih baik dari dia.
Biasa kadang saya baca orang bagi motivasi tulis.
Kawan dengan orang yang macam kita saja. Tinggalkan kawan-kawan lama. Yang tak sama macam kita.
Dengan itu saya faham.
Selain dari ilmu dan iman kena ada satu lagi. Kena ada hati yang baik. Yang bersih. Dan yang memandang orang lain baik. Yang faham orang lain akan sampai masanya akan berubah juga. Orang lain pun dulu tu pernah jadi kita. Dan kita pun pernah jadi dia.
Menambah ilmu senang.
Dan menambah iman jangan kurang.
Menambah hati yang baik kena selalu berperang.
Tidak dengan sesiapa.
Melainkan dengan diri sendiri juga.
Dan itulah yang paling susah sekali adanya…
Mingguan Wanita : Memiliki sekeping hati yang baik itu amatlah mahal harganya.
Sumber/Foto : Siti Suryani Yaakop (kaknis)