Walau Cuma Beri Segelas Air, Suami Ucapkanlah Terima Kasih

Share

Ucapan terima kasih untuk segelas air itu hanyalah sekadar satu contoh untuk menghargai pemberian pasangan. Dan ini antara tip yang mengeratkan lagi hubungan suami isteri.

Ada banyak cara sebenarnya dalam mencari bahagia hidup berumah tangga. Baik suami mahupun isteri, keduanya perlu memberikan komitmen bersama, agar kasih sayang tidak hanya bertepuk di sebelah pihak.

Bagus sekali perkongsian Jaja Isa ini. Pesanan ibu dan mak mentua yang boleh diterima pakai untuk pasangan suami isteri melayari alam perkahwinan dengan aman dan tenang.

Ini Pesanan Ibu & Mak Mentua

Dulu, arwah ibu selalu pesan. Esok-esok bila dah kahwin kena banyak-banyak bersabar. Kena dekatkan diri dan kuatkan kebergantungan dengan Allah. Perkahwinan adalah gudang pahala. Apa yang kita buat, semuanya dikira sedekah. Sebab itu syaitan akan usaha buat macam-macam, bisik yang bukan-bukan untuk porak perandakan rumah tangga kita.

Mak mentua pula pesan. Dalam rumah tangga kita kena banyak tolak ansur. Cintai pasangan tanpa syarat, diselimuti syukur. Serta sabar sebagai penguatnya.

Guru saya, Bonda Nor kata kalau merajuk, jangan lama-lama. Rugi! Bila dah kahwin, kita kena bersedia terima sikap pasangan yang adakala tak seperti yang kita inginkan. Kena sentiasa berlapang dada.

Alhamdulillah, untungkan dapat banyak nasihat daripada orang-orang berpengalaman. Yang dah merasa masam manis hidup berumah tangga.

Baca sini :Berterima kasih kepada pasangan beri ketenangan, kebahagiaan dalam perkahwinan.

Tip Kekal Bahagia Dalam Rumah Tanggga

Syukur, hari ini genap setahun usia perkahwinan kami. Setahun yang penuh warna. Banyak perkara yang saya belajar. Baru tahu, rupanya seronok kahwin. Haha.. Antara perkara penting yang saya belajar untuk kekal bahagia dalam rumah tangga.

1. Komunikasi. Yang ini sangat penting dalam melayari rumahtangga. Perlu adanya perbincangan dua hala. Kalau tak puas hati, tak suka apa yang pasangan buat atau apa sekalipun, duduk berbincang. Bukan diam membisu dengan harapan pasangan boleh baca apa yang terpendam dalam hati kita. Pasangan kita bukan ahli silap mata. Yang penting, jangan suka bersangka-sangka atau buat andaian sendiri.

2. Sentiasa tolong menolong. Tak kira suami atau isteri kena sama-sama ringan tulang. Bila isteri memasak, suami basuh pinggan. Isteri menyapu, suami mop lantai. Kan seronok buat semua perkara bersama. Bak kata pepatah, berat sama dipikul ringan sama dijinjing. Tambahan, bila suami berusaha membahagiakan isteri, isteri pula akan membahagiakan seisi rumah sepenuh hatinya.

3. Tolak ansur. Sebagai pasangan, dua-dua tak boleh keras kepala. Salah seorang kena beralah bila ada perbalahan atau krisis. Tak perlu tunjuk ego masing-masing. Rugi!

Sentiasa Ucap Terima Kasih

4. Kena sentiasa ucap terima kasih tanda kita menghargai pemberian, pengorbanan, keprihatinan atau bantuan yang diberikan pasangan. Tak kiralah sekecil apapun bantuan yang diberikan. Even ambilkan segelas air pun, ucaplah terima kasih. Kan berbunga hati pasangan kita.

5. Sentiasa minta maaf. Tak kisah suami yang salah atau isteri yang salah atau dua-dua tak salah. Minta maaflah selalu. Dr Fadhilah Kamsah pesan, nak eratkan lagi hubungan suami isteri, kena sama-sama saling bermaafan sebelum tidur. Maklumlah dalam seharian, kita tak sedar mungkin ada percakapan dan perbuatan kita yang mengores hati pasangan.

6. Sentiasa bergurau senda. Tak kisahlah nak main cakcak ke berlari dalam rumah ke. Apa saja yang boleh menghadirkan gelak ketawa pasangan, buatlah. Bukan ada yang tahu. Bila ada gurauan barulah happening. Lagi-lagi bila dapat pasangan yang seorang suka mengusik, yang seorang lagi mudah terhibur. Memang meriah rumah.

Lagi satu, suami saya sentiasa ingatkan, cinta bukan tentang perasaan saja tapi juga tentang komitmen. How 2 person commits to give their best, whatever it’s takes. Dalam rumahtangga kena sentiasa berebut-rebut buat kebaikan. Bukan mempertikaikan siapa yang paling banyak berkorban, siapa yang paling buat kerja etc.

Apa yang pasti, selepas berkahwin tiada lagi aku, yang ada hanyalah kita. Semoga Allah memelihara rumahtangga kita semua dengan mawaddah dan sakinah hingga akhir usia.

Selamat hari kita cinta hati

Mingguan Wanita : Perkahwinan bukan semata penyatuan dua hati, tetapi melunaskan setiap tanggungjawab yang bakal terpikul oleh keduanya.

Sumber/Foto : Jaja Isa

Untuk dapatkan info berkaitan kursus keusahawanan anjuran Mingguan Wanita, join telegram BANGKIT Wanita : https://t.me/bangkitwanitaMW

Published by
Netty Ah Hiyer