“ Mengingatkan awal pengislaman dulu, sungguh indah saat itu bila dikenang kembali. Mungkin itulah yang dinamakan nikmat kemanisan hidayah-Nya.Tiada siapa yang mengajak dan menerangkan kepada saya apa itu Islam sebelum itu apatah lagi menawarkan wang ringgit untuk memeluk Islam. Alhamdulillah, selepas 10 tahun saya menganut Islam, saya rasa hidup lengkap dan tenang.
“Ibadah dan kehidupan yang dicari sudah saya nikmati, walau bukan seorang muslim yang baik apatah lagi yang solehah. Ada kalanya hati rapuh, iman goyah sukarnya untuk istiqomah. Saya juga pernah terkhilaf dan tersasar untuk berkhlak baik seperti yang dituntut dalam Islam.
“Kerana rahmat Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang lagi Maha Pengampun, walau apa pun dugaan, sujud dan mengadu padaNya sudah membuat rasa bebanan hilang.” Ujar Flora Bermas Kedayan memulakan perbualan.
.
Luah wanita berbangsa Iban dari Limbang, Sarawak ini lagi, dia memeluk Islam pada akhir tahun 2010 di Pejabat Perkim Melaka.
“Pada awalnya, hanya adik perempuan yang tahu hasrat saya yang berminat kepada Islam. Ini kerana sebelum Islam dan sebelum memutuskan untuk mengucap syahadah, saya sudah mula mempelajari serba sedikit tentang Islam dan belajar menutup aurat (bertudung) secara perlahan-lahan.
“Kemudiannya pada hari saya ingin mengucap syahadah, saya ada memaklumkan kepada kesemua adik saya dan berpesan agar merahsiakan pengislaman saya dahulu daripada pengetahuan emak. Bapa saya sudah tiga tahun meninggal dunia ketika itu.
“Entah macam mana, tidak lama selepas itu emak saya telefon dari Sarawak. Pada ketika itu saya bekerja di Melaka. Emak bertanyakan pengislaman saya. Maka saya tidak ada pilihan selain untuk berterus-terang.
“Saya beritahu emak yang saya memang sudah nekad untuk memeluk Islam ketika itu tanpa dipengaruhi atau disuruh sesiapa. Saya juga mengatakannya ia datang daripada kerelaan saya sendiri. Malah saya sedar dan waras dengan pilihan yang saya buat.” Tambah Flora.
Ibunya membantah niat Flora kerana bagi ibunya apabila Flora sudah Islam maka Flora bukan lagi anak berbapakan nama bapanya.
“Emak juga risau saya sudah tidak dapat lagi balik dan duduk bersama dia di kampung. Saya jelaskan kepada emak bahawa walau apa yang berlaku, saya tetap anak emak dan bapa. Saya masih berbapakan bapa ‘Kedayan’. Saya masih juga berdarah dan berketurunan Iban. Saya juga jelaskan kepada emak hanya akidah dan pegangan agama saya yang tidak sama.” Jelasnya lagi.
Jelas Flora lagi pada ketika itu dia sudah rasa diri cukup matang untuk memilih dan memutuskan sesuatu keputusan walaupun ia bukan keputusan yang tidak dipersetujui oleh sesetengah pihak.
Perjalanan hidup Flora selepas bergelar saudara baru banyak cabaran. Cerita Flora cabaran di awal keislamannya dahulu adalah ketika cuba untuk menjalani kehidupan yang bersederhana dan bukannya berlebihan dan mementingkan perihal duniawi.
“Antara cabaran yang saya hadapi adalah pandangan sesama muslim. Apabila kita asyik berbicara perihal Islam, ia mengundang pandangan yang kurang senang baiknya daripada rakan Islam apatah lagi rakan yang bukan Islam.
“Malah ada juga yang menjauhkan diri hanya kerana saya sudah Islam. Tetapi semua itu bukan masalah untuk saya hadapi kerana akhirnya saya sendiri yang menjalani kehidupan dalam Islam ini.” Imbaunya.
Setiap cabaran dihadapinya dengan hati yang tenang. Dan cabaran yang dihadapi itu bukan alasan baginya untuk mencari dan mendalami ilmu agama Islam.
Flora masih ingat lagi sesudah dia mengucap dua kalimah syahadah dan balik ke rumah, antara perkara yang pertama dilakukannya adalah menunaikan solat.
“Saya terus ambil telekung dan sejadah serta buku panduan solat dan berwuduk. Sudah pastinya saya tidak tahu solat ketika itu. Tapi keinginan untuk beribadah itu kuat. Maka saya hanya duduk saja di sejadah, sambil membelek-belak buku panduan solat yang diberi oleh pihak Perkim. Saya hanya mampu berdoa saja.
“Sesudah Islam, saya juga memutuskan untuk berhenti bekerja dan berhasrat untuk mendalami ilmu Islam kerana bagi saya apa gunanya pengorbanan saya memilih Islam ini jika saya tidak tahu apa-apa tentang Islam. Lebih-lebih lagi ibadah dalam Islam seperti menunaikan solat.” Cerita Flora.
Keputusan untuk mempelajari agama Islam dengan lebih mendalam juga telah membuatkan Flora mengambil keputusan untuk mengikuti kelas agama di Perkim pada akhir tahun 2010.
Dia juga juga telah mengikuti pengajian pendek / asas keislaman di IDIP Pengkalan Chepa. Selepas itu Flora memutuskan untuk berhenti dan balik ke kampungnya Limbang, Sarawak.
“ Saya bersyukur kurang dari 4 bulan sesudah Islam, saya sudah dapat mendirikan solat sendiri besertakan bacaannya sendiri. Sehingga kini saya masih lagi belajar apa sahaja tentang Islam.
“ Saya juga sering menghadirkan diri ke majlis-majlis ilmu, dan masih menghadiri kelas mengaji yang diuruskan oleh pihak HIKMAH cawangan Limbang, Sarawak.Selain itu saya juga banyak membaca apa sahaja bahan bacaan berkenaan agama Islam. Saya juga sering melihat ceramah di You Tube.” Ujarnya.
.
Hidup Flora berubah ke arah yang lebih baik. Dia kini mula menceburi bidang perniagaan. Dia mahu menaikkan martabat diri melalui perniagaan kerana dengan cara itu dia juga boleh membantu (berzakat) kepada ummah.
Selain itu dia juga aktif sebagai sukarela dan ahli persatuan Dayak Muslim. Dia akan mengikut program ziarah dan dakwah di sekitar kawasannya dengan harapan dapat berkongsi dan memberi kepada ummah, golongan kaum dan bangsanya sendiri.