Bulan puasa sememangnya bulan yang cukup istimewa dan dinanti-nantikan oleh umat islam di seluruh dunia. Setelah seharian berpuasa, saat yang paling ditunggu pastinya waktu untuk berbuka. Ada negara mempunyai tempoh berpuasa yang panjang dan pendek bergantung pada faktor geografi berbeza.
Dikenali sebagai menara tertinggi di dunia, Burj Khalifa yang terletak di Dubai mempunyai waktu berbuka puasa yang berbeza walaupun pada bangunan yang sama.
Jabatan Hal Ehwal Islam dan Aktiviti Amal di Emiriah Arab Bersatu (UAE) meminta semua penduduk di Burj Khalifa setinggi 163 tingkat dan bangunan pencakar langit lain untuk mengambil perhatian terhadap perbezaan waktu berbuka puasa yang bergantung kepada tingkat kediaman mereka.
Sejak beberapa tahun lalu, penduduk yang tinggal di bangunan pencakar langit di Dubai perlu menunggu enam minit lebih lama untuk berbuka berbanding mereka yang menetap di kawasan lain.
Jabatan tersebut mengeluarkan pekeliling menetapkan tempoh berpuasa penduduk yang tinggal antara tingkat 60 dan aras 120 adalah empat minit lebih lama berbanding kawasan lain di Dubai.
“Mereka yang tinggal di tingkat 121 dan ke atas pula perlu berpuasa enam minit lebih lama manakala waktu solat subuh adalah tiga minit lebih awal,” jelas jabatan itu lagi.
Perbezaan masa berdasarkan ketinggian itu turut menyebabkan penduduk di Burj Khalifa menunaikan solat subuh dua minit lebih awal berbanding kawasan lain di Dubai.
Menurut ahli astrofizik terkenal, Neil deGrasse Tyson menerusi thenational.ae yang dikeluarkan kelmarin, waktu berbuka puasa unik di Burj Khalifa adalah kerana matahari terbenam agak lambat di tingkat paling atas menara yang menjadi kebanggaan di Dubai itu.
Sementara itu, kajian dilakukan portal beli belah dalam talian, CupoNation mendapati tempoh berpuasa paling lama di dunia adalah di Greenland. Data dikeluarkan menunjukkan waktu puasa terpanjang adalah 21 jam 42 minit di wilayah autonomi Denmark itu yang terletak antara Atlantik Utara dan Lautan Artik.
Penduduk Islam di negara pulau itu hanya mempunyai tempoh 2 jam 18 minit untuk berbuka dan kembali berpuasa.Hari pertama berpuasa di negara itu adalah selama 19 jam 35 minit dan hari terakhir adalah selama 21 jam 42 minit.
Manakala, tempoh berpuasa paling pendek di dunia pula adalah di New Zealand iaitu selama 11 jam 10 minit.
MW: Lokasi dan geografi setempat memainkan peranan dalam menentukan tempoh berpuasa. Semoga umat islam di seluruh dunia dapat menunaikan ibadah rukun islam ketiga ini dengan sempurna.
Sumber:Sinar Harian