WAJIB Solat Walaupun Dalam KAPAL TERBANG, Jangan Ambil Ringan Begini Caranya! Solat merupakan satu kewajipan walau dimana sahaja kita berada. Namun apabila dalam keadaan bermusafir dan tempoh perjalanan yang jauh, ramai yang mengambil mudah tidak menunaikan solat pada waktunya atas pelbagai alasan. Tidak kurang yang tidak tahu cara untuk menunaikannya lebih-lebih lagi jika berada di dalam kapal terbang yang mempunyai ruang terhad dan pelbagai keterbatasannya.
Untuk faham lebih lanjut baca perkongsian daripada Ustazah Asma’ Harunini sebagai rujukan;
RAMAI YANG TAK TAHU ATAU TAK NAK AMBIL TAHU?
TATACARA SOLAT FARDHU ATAS KAPAL TERBANG YANG RAMAI ORANG TERLEPAS PANDANG
Sepanjang musafir dari Malaysia ke Turki, kami perlu transit di Jeddah dahulu sebelum sampai ke destinasi misi. Penerbangan yang mengambil masa sekitar 13 jam pastinya ada waktu solat yang perlu kami laksanakan di atas kapal terbang. Alhamdulillah, syukur di dalam penerbangan Saudia Airlines ini ada disediakan ruang solat yang sangat selesa.
Ramai yang saya perasan mengambil ringan tentang solat sewaktu bermusafir. Lagi-lagi ketika dalam perjalanan yang panjang menaiki kapal terbang. Malah, ada yang meninggalkan solat kerana tidak tahu cara sebenar untuk menunaikannya.
Sahabat, kita WAJIB menunaikan ibadah solat walau dimanapun kita berada. Tidak ada yang terkecuali daripada menyahut panggilan seruan illahi melainkan mereka yang mati sahaja, bahkan bagi mereka yang sakit terlantar di katil juga Islam ajar tatacara solat khusus agar tetap dapat mendirikan solat.
Lebih menyedihkan, ramai yang abaikan solat fardhu, ada yang tidak berwuduk sebelum solat sedangkan kemudahan air boleh didapati dengan mudah, ada yang solat duduk tanpa usaha mencari tempat-tempat kosong luas dibelakang bahagian kapal dan lebih menyedihkan ada yang tidak solat dengan alasan akan qadha’ sesudah sampai.
Firman Allah SWT :
Daripada Imran bin Husain, Rasulullah SAW bersabda:
صَلِّ قَائِمًا , فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا , فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ
Maksudnya: “Sembahyanglah dengan cara berdiri, jika engkau tidak berdaya maka dengan cara duduk, dan jika engkau tidak berdaya (dengan cara duduk) maka dengan cara berbaring (sembahyang merusuk).”
(HR Bukhari, hadis sahih)
Tatacara Solat Di atas Kapal Terbang
Di sini saya ingin kongsikan tatacara solat di atas kapal terbang, mudah-mudahan ia bermanfaat semasa kita sedang musafir dalam perjalanan yang panjang. Dalam hal ini, kita hendaklah melihat kepada dua keadaan:
1. Bagi kapal terbang yang besar, jika terdapat ruang untuk dirikan solat seperti biasa dan kawasan yang bersesuaian untuk melakukannya, maka pilihlah untuk melaksanakan solat secara berdiri supaya lebih banyak rukun fi’li yang dapat kita lakukan dengan lebih sempurna.
2. Sebaliknya, jika kapal terbang itu bersaiz kecil dengan bilangan penumpang yang padat serta seseorang itu tidak boleh berdiri bagi menunaikan solat, maka dibolehkan untuknya solat di tempat duduknya sahaja.
Imam Nawawi berkata dalam karyanya, Al Majmu’ Syarah Al Muhazzab:
أَمَّا الرَّاكِبُ فِي سَفِينَةٍ فَيَلْزَمُهُ الْإِسْتِقْبَالُ وَ اِتْمَامُ الْأَرْكَانِ سَوَاءٌ كَانَتْ وَاقِفَةً أَوْ سَائِرَةً لِأَنَّهُ لَا مَشَقَّةَ فِيهِ وَهٰذَا مُتَّفَقٌ عَلَيهِ
Maksudnya: “Ada pun orang yang sedang menaiki kapal maka wajib ke atas dirinya menghadap kiblat dan menyempurnakan segala rukun sama ada kapal tersebut berhenti atau sedang berlayar kerana sesungguhnya tiada kesukaran padanya dan ini telah disepakati para ulama.”
Tetapi, terdapat beberapa keadaan yang perlu diraikan. Antaranya:
Ads
Halakan tubuh badan ke arah kiblat dari awal solat hingga selesai.
Laksanakan rukun solat sekadar yang termampu.
Segala rukun qauli (bacaan yang wajib) hendaklah dilaksanakan dengan sempurna.
Syarat-syarat sah solat hendaklah dilakukan sebaik mungkin.
Seseorang yang mengerjakan solat di atas kapal (bot, kapal terbang dan seumpamanya) hukumnya adalah WAJIB menyempurnakan segala rukun dan syarat-syaratnya seperti solat di darat.
Maksud menyempurnakan segala rukun dan syaratnya ialah seperti qiyam (berdiri), ruku’, iktidal, sujud dan tahiyat. Namun, jika tidak dapat melakukan atas sebab kenderaan yang dinaiki beralih arah (terumbang-ambing) maka HARUS bagi dirinya melakukan dan menyempurnakan solat tersebut dalam keadaan duduk sambil menghadap ke arah kiblat dari awal solat hingga salam.
ADAKAH BOLEH SOLAT HORMAT WAKTU DALAM KAPAL TERBANG?
Maksudnya: “Seperti hal demikian solat di dalam kapal terbang, melakukannya dibolehkan pada solat sunat. Sedangkan pada solat fardhu, jika dia hanya mampu melakukan di tengah perjalanan kerana perjalanan jauh dan ia tidak mampu melaksanakan solat pada waktunya, sama ada sebelum atau selepas mendarat kapal terbang, meskipun dengan cara jama’ taqdim atau takkhir, maka dalam keadaan demikian wajib baginya untuk solat hormat waktu dengan tetap menghadap ke arah kiblat.”
Keadaan solatnya diperincikan dalam dua keadaan:
a) Jika seseorang dapat mendirikan solat dengan menyempurnakan gerakan ruku’ dan sujud, maka dalam hal ini dia tidak perlu qadha solatnya.
b) Manakala sebaliknya (tidak dapat menyempurnakan gerakan ruku’ dan sujud atau dia solat tidak menghadap ke arah kiblat) maka wajib baginya qadha solat menurut kesepakatan para ulama.”
Abu Bakar Al-Hishni menuturkan di dalam kitabnya Kifayatul Akhyar:
يَجُوزُ لِلْمُسَافِرِ التَنَقُّلُ رَاكِبًا وَمَاشِيًا إِلَى جِهَة مَقْصِدِهِ فِي السَّفَرِ الطَّوِيلِ وَالقَصِيرِ عَلَى الْمَذْهَبِ
Ads
Maksudnya: “Dibolehkan bagi seorang musafir sama ada dengan kenderaan atau berjalan kaki melakukan solat sunat dengan menghadap ke arah tempat tujuannya, di dalam perjalanan yang panjang (yang boleh mengqasar solat) dan di dalam perjalanan yang pendek (yang tidak dibolehkan mengqasar solat) menurut pendapat dalam mazhab (Syafi’e).”
Pendapat di atas bertepatan dengan satu hadis, daripada Jabir bin Abdillah r.a.:
كَانَ رَسُول اللَّهِ يُصَلِّي عَلَى رَاحِلَتِهِ حَيْثُ تَوَجَّهَتْ فَإِذَا أَرَادَ الْفَرِيضَةَ نَزَل فَاسْتَقْبَل الْقِبْلَةَ
Maksudnya: “Rasulullah SAW solat di atas kenderaannya menghadap ke mana pun kenderaannya itu menghadap. Namun bila Baginda hendak solat fardhu, maka baginda turun dan solat menghadap kiblat.”
(HR Bukhari, hadis sahih)
Kesimpulannya, walau apa jua keadaan sekalipun, solat tetap wajib dilaksanakan kerana ia merupakan tiang agama dan merupakan amalan pertama yang akan dihisab di akhirat kelak. Berdasarkan dalil di atas, WAJIB kita qadha solat semula bagi solat fardhu.
APAKAH HUKUM BAGI YANG MENINGGALKAN SOLAT DENGAN SENGAJA?
Solat merupakan satu pertalian antara hamba-Nya dengan Tuhan-Nya. Sesiapa yang memutuskan hubungan dengan penciptanya dikira berdosa besar. Apatah lagi mengingkari suruhan-Nya.
Firman Allah SWT:
فَوَيْلٌ لِّلْمُصَلِّينَ، الَّذِينَ هُمْ عَن صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ
Maksudnya: “(Kalau orang yang demikian dikira dari bilangan orang-orang yang mendustakan ugama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Sembahyang. (laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya.”
(Surah al-Ma’un: Ayat 4-5)
BAGAIMANA CARA MENGETAHUI WAKTU SOLAT KETIKA BERADA DI ATAS KAPAL TERBANG?
Antara cara yang boleh dilakukan untuk mengetahui waktu solat adalah melalui pengumuman oleh pramugara atau krew kapal terbang. Tuan puan boleh juga bertanya kepada mereka jika tiada pengumuman dilakukan, terutamanya berkaitan tentang waktu tempatan di kawasan yang sedang dilalui oleh kapal terbang. Namun ada juga saranan daripada hadis Rasulullah SAW untuk kita melihat sendiri.
Maksudnya: “Waktu solat zuhur adalah jika matahari telah tergelincir dan bayangan sesorang seperti panjangnya selagimana belum tibanya waktu solat Asar. Waktu solat Asar selagimana matahari belum menguning. Waktu solat maghrib selagimana warna merah (syafaq) belum menghilang. Waktu solat isya` sehingga tengah malam, dan waktu solat Subuh bermula terbitnya fajar selagimana matahari belum terbit, jika matahari terbit, maka tahanlah daripada melakukan solat, kerana ia terbit di antara dua tanduk syaitan.”
(HR Muslim, hadis sahih)
Oleh itu, jika perjalanan tersebut pada waktu malam sehingga melangkaui waktu siang, waktu untuk solat subuh boleh diketahui melalui terbitnya fajar dengan kemunculan cahaya semasa keberadaan seseorang itu di dalam kapal terbang, maka waktu untuk mendirikan solat subuh boleh diketahui melalui terbit fajar dengan kemunculan cahaya ketika seseorang itu di dalam kapal terbang.
Kemudian, bagi solat Zuhur dan Asar boleh dilakukan apabila bermulanya waktu Zuhur dan dijama’kan dengan waktu Asar dengan mengambil kira rukhsah (kemudahan) permusafiran yang terdapat dalam syarak. Waktu Zuhur bermula apabila tergelincirnya matahari.
Manakala, solat Maghrib dan Isyak, lebih mudah untuk mengetahuinya, iaitu apabila matahari telah terbenam, maka masuklah waktu solat maghrib.Ketika itu, boleh melaksanakan jama’ taqdim antara maghrib dan isya’, sebagaimana ditangguhkan solat maghrib boleh dijama’kan dengan solat isya’ sebagai jama’ ta’khir.
Tuan puan,
Perlu difahami tidak semua kapal terbang ada menyediakan ruang yang besar dan selesa. Jika ada maka kita bersyukur, jika tidak ada ambillah inisitif untuk tetap mendirikan solat walaupun ruang terhad, cukuplah apabila ruang tersebut memadai untuk kita menunaikan solat. Jika dilihat situasi sekarang, boleh saja jika kita solat dalam keadaan duduk di kerusi. Bukanlah ruang menjadi alasan untuk kita tidak mendirikan solat.
Semoga perkongsian ini bermanfaat buat semua, silakan share kepada yang lain juga ya.
Saudaramu,
Asma’ binti Harun
Rujukan:
1. Al Majmu’ Syarah Al Muhazzab, Imam Nawawi
2. Mughni al Muhtaj, Syeikh Khatib Syarbini
3. Taqrirat as-Sadidah, Syeikh Hasan bin Ahmad bin Muhammad bin Salim
4. Kifayatul Akhyar, Abu Bakar Al-Hishni
Mingguan Wanita: Semoga perkongsian ini bermanfaat terutamanya buat yang selalu ‘travel’ dalam perjalanan yang jauh. Menunaikan solat itu satu kewajipan, tak kiralah di mana sahaja kita berada.
Terdapat persepsi segelintir wanita mengganggap bahawa ketika berhadas besar dalam keadaan tidak suci, maka potong kuku dan rambut adalah tidak dibenarkan sama sekali. Sehinggakan jika dipotong perlu ‘dibawa’ mandi wajib sekali dan ditanam.
Rupanya tiada dalil yang melarang wanita daripada potong kuku dan rambut ketika sedang berhadas besar baik ketika haid, nifas atau junub. Hukum berkaitan perkara ini ada dijelaskan oleh PU Azman didalam laman instagramnya baru-baru ini.
Berikut perkongsian tersebut;
Tiada dalil yang melarang wanita yang haid, nifas atau hadas besar atau junub untuk mengerat kuku, rambut dan segala bulu yang ada.
Dan tak perlu untuk dibawa semua yang dah dipotong ketika mandi wajib. Kerana tiada dalil yang mewajibkannya.
Dan takder kaitan langsung kuku atau bulu yang tak dimandikan sekali akan memberi kesan buruk di akhirat kerana tiada dalil tentang itu.
Mungkin disebabkan inilah ada perempuan yang takut nak kerat kuku ketika haid sedangkan kuku yang sedia ada pun memang panjang bak kuntilanak dan waktu haid pun panjang lagi.
Bahkan ada hadis ketika Aisyah isteri Nabi menunaikan haji Wada’ bersama Nabi dan ketika itu Aisyah haid dan Nabi memintanya untuk mandi dan bersisir.
Maksud hadis :“Uraikan rambutmu dan bersikatlah. Serta berihlal (talbiyah) dengan haji dan tinggalkan umrah.”(Bukhari Muslim)
Daripada hadis ini, kita paham bahawa bersikat mengundang risiko menggugurkan rambut sedangkan Nabi takder langsung mengingatkan Aisyah tentang rambut gugur yang mesti dibawa mandi wajib nanti.
Hukum HARUS
Jadi kesimpulannya, BOLEH/HARUS potong rambut dan kuku ketika haid, nifas (segala macam hadas besar).
Tidak wajib tanam kuku atau bulu atau rambut yang sudah dipotong. Buang saja dengan baik di samping menjaga kebersihan. Kalau nak tanam, terpulang. Tapi kalau tanam dengan kepercayaan tertentu, maka khurafat.
Potong kuku dan rambut, tak wajib dibawa sekali mandi wajib, tapi kalau potong bekalan air, memang payah nak mandi wajib.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat dan memberi pencerahan buat para wanita yang keliru mengenai hukum ini. Tak salah dan diharuskan memotong kuku ketika berada dalam keadaan hadas besar.
Bila lama tak jumpa, mesti rindu bertaut. Lebih-lebih lagi nak ziarah rumah adik beradik, sanak saudara dan kawan-kawan. Inilah masa untuk bertanya khabar dan luangkan masa bersama orang-orang yang sudah lama tidak ketemu.
Apa pula perasan tuan rumah, tatkala ada yang datang ziarah secara mengejut. Kalau datang beritahu awal, bolehlah tuan rumah sediakan makanan istimewa sedikit. Tapi, kalau datang mengejut, bimbang hanya air saja yang mampu dihidangkan.
Walaupun itu tidak menjadi persoalan tapi sebagai tuan rumah tentu rasa tidak selesa, bila ada orang datang ziarah rumah kita. Kalau adik beradik munkin boleh pejamkan mata. Apa yang ada saja. Bila kawan atau sanak saudara boleh timbul rasa segan.
Itu bagi pihak tuan rumah, bagi pihak orang yang datang ziarah, walaupun ingin memberi kejutan tapi ia mungkin rasa tidak selesa pada tuan rumah. Mana tahu, keadaan rumah yang tidak bersedia, anak bersepah itu ini dan sebagainya.
Jadi, apa yang terbaik untuk kita nak datang ziarah, waima rumah adik beradik, sanak saudara atau kawan sekalipun, elak dari datang pada waktu yang dikongsikan oleh ustaz Firdaos Rawi. Boleh dijadikan ingatan nanti.
Memang satu amalan yang dianjurkan bila kita datang berkunjung ke rumah sanak saudara, kawan, jiran sekalipun. Apatah lagi lepas lama tak berjumpa.
Dalam amalan ziarah ini, ada beberapa perkara yang boleh kita buat.
3 Waktu Sebaiknya Dielakkan untuk berziarah.
a. Sebelum Subuh
b. Waktu tengah hari
c. Selepas isyak
Waktu ni biasanya waktu rehat. Kecuali kalau memang ada jemputan kan. Macam majlis kahwin dan sebagainya.
3 Perkara perlu dibuat ketika makan. a- Elakkan komen negatif. “Maaf, masin sikit mee ni.” Adalah lebih baik diam sahaja.
b- Ambil makanan yang lebih dekat terlebih dahulu. c- Makan dengan sopan.
5 Perkara perlu dijaga ketika ziarah
a- Pandangan mata. Masuk rumah sebaiknya mata jangan melilau. “Uiiii almari baru.”
b- Minta izin kalau nak balik. Jangan tiba-tiba hilang je. “Mana dia? Tadi ada elok duduk depan ni.”
c- Mohon maaf sebelum balik. Mana tahu ada tersalah kata masa berziarah.
d- Elakkan bermegah dengan apa yang kita ada. “Aku baru beli kereta Honda yang terbaru tu. Kau ada?”
e- Jangan ziarah terlalu lama.
Ziarah ini tujuannya adalah untuk mengeratkan hubungan. Dan kelebihan mengeratkan hubungan ini antaranya adalah rezeki diluaskan dan umur panjang.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang ingin diperluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah dia menghubungkan silaturahim.” (Riwayat Muslim)
Mingguan Wanita: Tak salah pun beritahu untuk datang pada waktu-waktu sekian, bukan nak minta tuan rumah sediakan makanan yang sedap-sedap, cukup hanya harap tuan rumah bersedia dengan kehadiran ini.
Pelbagai kisah pergolakan rumah tangga yang berlaku. Malah sejak kebelakangan ini sering meniti dari bibir suami perkataan nusyuz di mana pihak suami sendiri tidak mengerti akan makna mahupun implikasinya.
Adakah nusyuz yang diucapkan suami itu sabit keatas isteri?
Menerusi perkongsian Peguam Syarie, Muhammad Amirul Akmal Ismail mengulas lanjut mengenai isu nusyuz ini.
“Apabila isteri tidak mahu bersama akibat kepenatan mengurus rumah tangga, dilemparkannya perkataan nusyuz untuk menunjukkan kuasa. Jika isteri tidak masak kerana kepenatan baru balik dari pejabat dikatanya nusyuz untuk menunjukkan egonya. Oleh itu, adakah nusyuz yang diucapkan suami itu sabit keatas isteri, atau bagaimana?
“Untuk pengetahuan semua, nusyuz hanya sabit apabila suatu perintah dikeluarkan oleh mahkamah syariah yang menyatakan bahawa isteri telah nusyuz setelah melalui perbicaraan yang sewajarnya, bukanlah hanya sabit akibat pernyataan suami bahawa kamu telah nusyuz maka terjatuhnya nusyuz.
“Nusyuz sering dijadikan senjata yang ampuh bagi suami untuk membuli isteri yang menuntut hak hadhanah, mutaah, fasakh kerana penganiayaan serta harta sepencarian bagi menidakkan hak mereka. Persoalan yang wajar diketegahkan elemen apakah yang menyebabkan isteri disabitkan nusyuz?
“Secara asasnya elemen pensabitan nusyuz telah dinyatakan di dalam seksyen 60 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor telah menyatakan bahawa;
(2) Tertakluk kepada Hukum Syarak dan pengesahan Mahkamah, seseorang isteri tidaklah berhak mendapat nafkah apabila dia nusyuz atau enggan dengan tidak berpatutan menurut kemahuan atau perintah sah suaminya, iaitu, antara lain
(a) apabila dia menjauhkan dirinya dari suaminya;
(b) apabila dia meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suaminya; atau
(c) apabila dia enggan berpindah bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain,
tanpa apa-apa sebab yang sah mengikut Hukum Syarak.
“Seperti yang dinyatakan di dalam seksyen 60(2) tersebut, nusyuz sabit keatas isteri apabila ada pengesahan mahkamah dan tertakluk kepada hukum syara’. Rangkai kata “enggan dengan tidak berpatutan” “tanpa apa-apa sebab yang munasabah mengikut hukum syara'” itu menjadi elemen yang penting dalam pensabitan nusyuz. Dalam erti kata yang lain ketaatan isteri itu bukanlah suatu yang mutlak, namun ia bersifat sementara sehingga isteri bertaubat dan kembali taat kepada suami. Kedua rangkai kata tersebut merupakan elemen penting bagi YA Hakim membuat pertimbangan yang wajar dalam mensabitkan seorang isteri itu nusyuz atau tidak.
“Di samping apabila isteri melakukan mana-mana perbuatan di dalam kurungan (a), (b) atau (c) mahkamah akan meneliti dengan sewajarnya dakwaan suami di dalam pernyataan tuntutan beliau, sekiranya tiada pembelaan dan tuntutan balas oleh pihak isteri maka isteri boleh disabitkan nusyuz kerana tiada pembelaan yang dikemukakan kepada mahkamah. Kerana mahkamah bergantung kepada pembuktian yang dikemukakan oleh suami.
“Lantaran itu, sekali lagi ingin saya tegaskan kepada para isteri sekalian, sekiranya anda menerima saman dan pernyataan tuntutan dari suami anda mengenai permohonan sabitan nusyuz beliau terhadap anda, saya sarankan agar anda menjawab tuduhan beliau satu-persatu di mahkamah dan kemukakan pembelaan untuk membela diri anda. Jika anda kurang arif tentang perihal ini anda boleh melantik peguam untuk membantu dalam menjawab berhujah bagi pihak anda di mahkamah.
“Selain itu, timbul juga persoalan apabila isteri enggan pindah bersama suami ke rumah atau tempat yang lain, adakah perkara tersebut terus menjadikan isteri nusyuz atau bagaimana?.
“Tempat tinggal atau “Maskan Syarie” dalam bahasa arab yang bermaksud tempat tinggal atau rumah yang sesuai yang wajib disediakan oleh suami kepada isterinya berdasarkan kemampuan suami dan kedudukan isteri sebagaimana yang digariskan oleh hukum syara’. Seperti yang kita maklum menyediakan tempat tinggal atau rumah merupakan nafkah yang wajib disediakan oleh suami terhadap isterinya sebagaimana kewajipan untuk menyediakan peruntukan nafkah lain seperti: makan minum, pakaian, nafkah batin, keperluan kesihatan, pendidikan anak-anak dan sebagainya.
“Dalam perbahasan “maskan syarie” saya merujuk penghakiman YAA Tan Sri Sheikh Ghazali Bin Abdul Rahman di dalam Kes Abd. Hanif v. Robiah Jld. IX Bahagian 1 JH. Di dalam kes ini YAA hakim telah menggariskan beberapa ciri “maskan syarie” iaitu:
Tempat tinggal yang disediakan adalah berasingan dan sesuai dengan taraf kewangan suami. Tempat tinggal itu sesuai dengan keadaan kedua-dua suami isteri dan dapat memberi perlindungan cukup untuk menjaga diri dan harta benda.
“Cukup dengan keperluan sebagai tempat tinggal dengan hamparan dan perabot. Tempat itu lengkap dengan bahagian penting seperti bekalan air, tandas, dapur dan sebagainya.
“Tempat itu tidak mendatangkan gangguan kepada dia daripada sesiapa yang turut tinggal di situ. Tempat itu diduduki oleh jiran-jiran yang seagama.
“Setelah meneliti ciri-ciri “maskan syarie” yang digariskan YAA Hakim boleh difahami elemen yang penting yang mendesak ialah tempat tinggal tersebut tidak mendatangkan mudharat terhadap isteri dan mampu menjaga diri dan harta mereka. Jika elemen ini tidak dipenuhi dan isteri menolak untuk tidak mahu turut pindah bersama suami, maka ia tidak dikira nusyuz.
Nusyuz Hanya Sabit Apabila Ada Perintah Mahkamah
“Kesimpulannya, apabila isu nusyuz ini ditimbulkan oleh pihak suami di mahkamah syariah, ia akan melalui proses perbicaraan dan diteliti oleh YA Hakim dengan sewajarnya. Namun begitu, pihak isteri perlulah menggunakan ruang yang diberikan oleh mahkamah untuk menafikan dakwaan tersebut dan mengemukakan pembelaan agar dakwaan tersebut boleh disangkal. Oleh yang demikian para isteri sekalian, sekali lagi saya ingatkan nusyuz hanya sabit apabila ada perintah mahkamah bukan hanya dari kata-kata suami. Bak kata YA Hakim dalam Kes R V Sussex Justice “Not only must Justice be done; it must also be seen to be done.” yang bermaksud adalah menjadi keperluan asas bahawa keadilan
bukan sahaja dilaksanakan, tetapi perlu juga dipastikan yang ianya dilaksanakan. Semoga kita semua mendapat keadilan yang sewajarnya.
“Semoga penerangan ini dapat memberikan pencerahan kepada semua,” kongsi Amirul.
“Ida Selalu Cakap Dia Segan Saya Layan Dia Sangat Baik, Sayang Ida” itulah antara luahan daripada Bonda Rozita terhadap menantunya Datin Seri Shahida Mohd...