Sekarang orang buat majlis kahwin bukan macam dulu, tak payah tunggu cuti panjang. Hari biasa pun orang kahwin. Seronok kan bila dengar kawan-kawan dan ahli keluarga mendirikan masjid. Kita tumpang gembira.
Tapi yang tak seronok perangai orang kita bila ke majlis kahwin. Mulut memang tak reti diam. Bukan sahaja tak berhenti mengunyah makanan tapi dok mengumpat tuan rumah dan complaint pasal makanan.
Kalau tengok pengantin tak berkelip mata, bukan sebab nak puji tapi nak cari cacat cela supaya senang nak keji. Pengantin lelaki gelaplah, pendeklah, pengantin perempuan gemuk, muka banyak jerawat dan macam-macam lagi umpatan. Sebelum mengata orang, cerminlah diri kita dulu. Kita ni sempurna ke?
Patutnya bila dapat makan free, bersyukur dan ucap terima kasih pada tuan rumah. Ini tidak asyik mengomel. Ada je yang tak kena, makanan masin, lauk tak cukup, menu tak sedap, tak variasi. Adoi! Dalam-dalam complaint tu sebenarnya habis juga sepinggan makanan kan.
Ini aktiviti yang paling digemari tetamu, melawat bilik pengantin. Punya lama membelek bilik pengantin, dia buat rumusan pengantin tak ada taste. Bilik tak dihias cantik, warna tak serasi, dekorasi serabut. Amboi macamlah awak tu pereka dalaman. Lebih penting lagi, bukan korang yang nak tidur bilik tu tapi pengantin.
Bila dapat door gift cebik bibir bukan main lagi. Kata buah tangan kecil lah sebab tuan rumah kedekut. Amboi! Sedapnya mulut tak ada insurans ke. Untuk orang-orang macam ini elok bagi surah Yassin je, biar insaf.
Sepanjang berada di majlis kahwin, tuan rumah dapat pahala berganda. Apa taknya mulut tetamu tak diam, asyik mengumpat tuan rumah. Kat tempat kenduri boleh pula dok semeja bergosip pasal tuan rumah.
Memang ada yang suka tapau lauk kat tempat kenduri. Kalau memang tuan rumah sediakan tak apa lah. Jangan pula memandai-mandai ke dapur minta penanggah bungkuskan. Berilah peluang kepada tetamu lain nak makan pula.
Kalau datang kenduri jagalah tingkah laku dan percakapan. Jangan kenduri jadi tempat bergosip dan mengumpul dosa. Tuan rumah dah berusaha menjamu dan meraikan kita, jadi bersyukurlah.