Wahai Suami Sila Fahami 'Bahasa Cinta Ibu', Nampak GANAS Tapi Anak Terdidik Elok

Wahai Encik suami, kalau isteri tiba-tiba histeria pagi-pagi, anak-anak bujang dibelasahnya dengan tuala masam yang tak berjemur lima hari jangan terkejut, itu bahasa cinta ibu! Anak-anak dara anda yang makin lawa pun dia tak pandang kasihan.

Kalau lembap sikit buat kerja habislah seharian terpaksa menadah telinga dengar petua rumah tangga, bagaimana nak hadapi mak mertua yang kejam! Begitulah bahasa cinta ibu yang kedengaran tak berempati tetapi sebenarnya perlu difahami sebagai didikan cinta yang positif.

Sebagai manusia, kita memiliki kelemahan yang seharusnya difahami dan dimaafkan oleh pasangan dan anak-anak. Tidak salah apabila kita minta anak-anak faham tentang emosi kita yang gegarannya tidak dapat dijangka.

Sebagaimana kita mahu mereka memaafkan kekurangan yang ada pada diri kita, seharusnya kita juga melakukan perkara yang sama. Sikap menerima dan memaafkan ini perlu ada pada semua orang dalam rumah.

Masalahnya bila ada satu pihak yang tak pernah mengaku salah dan tak mahu hormat ahli keluarga lain, bagaimana rumah tangga boleh tenang? Oleh itu amatlah penting untuk memahami bahasa cinta dalam keluarga, ibu mesti berperanan mendinginkan konflik yang memanaskan antara mereka dengan ayah.

Ajak anak berfikir positif dan bersangka baik tentang keadaan perit yang terpaksa dilalui seorang insan bernama ayah. Anak yang tahu mengawal perasaan dan menerima sikap negatif orang lain merupakan anak-anak pintar dari sudut emosi,

ia satu anugerah kebijaksanaan yang mesti dipandang tinggi. Belum tentu orang tua sanggup mengawalemosi sebagaimana anak-anak mereka, kadang-kadang yang banyak pengalaman hidup pun belum mampu mengambil hikmah dari perjalanan panjang kehidupannya.

Kehidupan ini mematangkan peribadi, ia bergantung dengan ujian yang dihadapi. Semakin berat dugaan itu makin tinggi tahap keimanan sebagaimana firman Allah SWT:

Ads

“Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu ujian sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?”
Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.” (Surah al-Baqarah ayat: 214)

 

Wahai Suami Sila Fahami ‘Bahasa Cinta Ibu’, Nampak GANAS Tapi Anak Terdidik Elok

Allah Itu Dekat Dengan HambaNya Yang Diuji

Lihat dan fikirkan tentang ayat ini, Allah nyatakan bahawa Dia amat dekat dengan orang yang diuji selagi mereka percaya bahawa ujian itu baik untuk mereka. Begitulah hubungan pelik antara al-Khalik dengan hamba,mengikut resam manusia jika ada orang yang menyusahkan kita bermakna dialah musuh tetapi ia tidak berlaku antara Allah dan hamba-Nya.

Ads

Semakin Allah menyusahkan dan mendatangkan pelbagai musibah semakin tinggilah tahap cinta-Nya kepada hamba-Nya itu. Dia bukan musuh tapi kekasih di sisi orang-orang yang sabar, semakin kuat dugaan semakin kuat pula cinta mereka kepada-Nya.

Bagaimana pula hubungan antara suami isteri dan anak-anak, apakah mereka boleh mengambi lpengajaran daripada ayat ini? Apakah bahasa cinta yang cuba diungkapkan dalam ayat ini?

Keluarga bahagia akan mengalami ujian yang amat perit untuk mencapai apa yang mereka ada sekarang. Boleh jadi ia memerlukan masa berpuluh tahun untuk menunggu si ayah berubah menjadi lebih bertanggung jawab dan si ibu berubah menjadi lebih prihatin.

Ads

Anak-anak pula sentiasa tumbuh berkembang sesuai dengan persekitaran yang rangsangannya paling kuat diterima oleh mereka. Jika guru-guru yang baik mampu mempengaruhi dan mendidik anak-anak yang tak mendapat kasih sayang sempurna sehingga mereka mampu mengatasi masalah ini maka beruntunglah si anak.

Tetapi jika persekitaran lain lebih kuat tarikannya sehingga menjerumuskan anak ke lembah paling hina sungguh malangnya. Siapa pun kita sebenarnya perjuangan mencari bahagia itu perit, kita hanya mampu menerima segala qada dan qadar-Nya dengan reda sambil berikhtiar untuk berubah menjadi lebih baik.

Ujian Itu Bahasa Cinta Allah

Ujian umpama air yang membersihkan jiwa kita, ia menjadi syarat untuk mendapatkan cinta Allah. Ujian adalah bahasa cinta Allah yang jika dihayati seorang ibu akan menjadikannya lebih penyayang. Jika turun ke hati suami akan melahirkan akhlak paling romantik kepada isteri.

Bahasa cinta Allah ini jika meresap dalam hati anak lembutlah ia tunduk dan taat setia, penuh kasih melayan orang tua.

Ayat ini menyeru kita untuk berubah menjadi pencinta Allah dan pencinta keluarga. Ilmu tentang memahami emosi diri sendiri dan orang lain, ilmu tentang mencintai diri sendiri dan orang lain, ilmu tentang bagaimana melayan orang lain dan meminta dilayan dengan hormat, ilmu tentang memberi dan berkongsi.

Allah ajar sebaik-baik cara untuk melakukan semua itu adalah dengan memberi manfaat kepada orang lain, baik berupa harta, tenaga, masa dan ilmu.

Bahasa cinta dalam keluarga terkadang sulit difahami, isteri mahu suami tahu apa yang diinginkannya tetapi gagal dan suami pun begitu. Jika kita sentiasa bertengkar, kembalikanlah ia kepada Allah, carilah jawapannya di dalam Al-Quran dan sunnah.

Penulis : Dato’ Dr Haji Juanda Jaya & Datin Shanti Achmad Ramly, Perunding Undang-undang Keluarga Islam

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI