Sebenarnya walaupun dah bertahun-tahun berkahwin, pasangan suami isteri perlu cari waktu, luangkan masa berdua-duaan bersama-sama. Terutamanya buat para suami, banyak kelebihannya bila berdua-duaan dengan isteri tersayang.Tak kiralah bagaimana caranya pun sama ada keluar makan berdua, tengok wayang, jalan-jalan, mahupun sekadar berbual-bual mesra sebelum tidur.
Ia adalah waktu yang mampu memenuhi emosi para isteri, meredakan tekanan mahupun meluahkan perasaan. Malah amalan ini juga mampu menyuburkan ikatan kasih sayang, cinta dan hubungan suami isteri.
Jemput baca kepentingan masa berdua-duaan dengan isteri perkongsian daripada Mohd Fhais ini.
Pentingnya ‘Alone Time’ Dengan Isteri
“Enjoy your marriage before it too late”
Masa mula-mula kahwin dulu ramai orang bagi pesanan macam ni, tapi tengah bahagia kita buat endah tak endah je. Dulu tak ambik port sangat pesanan ni tapi sekarang bila dah ada anak dua orang baru nak garu kepala. Dah terlambat.
Jangan kata nak berdua-duaan dengan isteri, nak bersendirian pun belum tentu dapat. Kejap sorang ajak bermain, kejap yang kecik nak susu, nak mandi, nak tidur, nak itu nak ini sampai kita pun nak pengsan.
Bergilir-gilir pengsan dengan isteri.
Tapi itulah cabaran parenthood ni. Kita bukan sahaja kena pengsan malah kita kena bangkit dari pengsan berkali-kali tanpa gagal kerana kalau kita gagal, anak akan 2 kali gagal dari kita.
Walaupun begitu, penting ada ‘Alone Time’ dengan isteri. Buatlah macam mana pun asalkan ada masa untuk berdua-duaan, dapat 5 minit pun cukuplah.
Pedulikan mulut-mulut bawang yang mengata sebab mereka tak akan faham keperluan kita. Bawang buat mulut berbau, nanti isteri kata mulut kita busuk pulak.
Ads
5 kepentingan ‘Alone Time’ buat Suami Isteri
1. Tabung Emosi
Tabung emosi ibarat simpanan kita kat bank, kalau penuh kita gembira kalau kosong kita boleh kena heart attack. Sama juga dengan tabung emosi keluarga kita, tak boleh di biarkan kosong kena refill selalu. Kalau tabung emosi kosong mula lah pelbagai dugaan datang, emosi tak dapat kawal, semua pandang tak kena.
Bila emosi bercelaru suami isteri tidak ada sefahaman, selalu bergaduh, anak pun terkesan selalu buat tantrum, rezeki susah nak datang dan rumah yang terang pun rasa kelam tak bersinar. Penting sangat refill tabung emosi ini.
Cakap “I love u” pun dah cukup mengemosikan pasangan kita. Jangan berat mulut, isteri kita sendiri tu..
2. Luahan Perasaan
Masa berdua-duaan ini lah baru isteri kita nak luahkan perasaan. Kalau tak dia pendam je rasa sakit hati, luluh hati, iri hati dan pedih ulu hati sorang-sorang. Memang lumrah orang perempuan, mereka tak suka mengadu tapi bila di tanya akan di ceritakan semuanya dari A sampai Z tanpa ada skip satu babak pun.
Bayangkan cerita yang panjang macam drama sinetron beratus episod terbuku dalam hati dia, selagi tak di tanya selagi itu di pendam. Bila hati dah penuh dengan sinetron ni mulalah minda fikir yang bukan-bukan. Muka pun jadi kusam, mata bengkak dan pipi cengkung.
Lagi cepat suami jadi pendengar setia lagi cepat isteri kembali cantik menawan.
Ads
3. Release Stres
Dah dapat luah perasaan barulah isteri tidak stres, malah suami pun dapat hilangkan stres akibat dari isteri yang tak keruan. Dua-dua tenang dan bahagia.
Lagipun setiap ‘moment’ berdua-duaan itu boleh jadi ‘pain killer’ untuk stres akan datang. Bila ada masalah dengan anak atau pasangan buat masalah, moment inilah yang akan buat kita kembali ke pangkal jalan.
Bak kata orang, cegah lebih baik dari mengubati. Sediakan payung sebelum hujan. Bukan sediakan payung emas je tahu, payung stres pun kena sediakan.
4. Nafkah Batin
Ini penting! Bagaimana sibuk pun, anak dah 10 ke, nafkah batin tetap kena konsisten di batinkan. Hanya kerana kita dah tua tak bermakna keperluan batin pasangan semakin berkurangan. Ada yang semakin tua semakin menjadi-jadi. Tak mustahil janggut dengan misai dah putih pun masih nak tambah quota.
Dalam Kitab Tafsir Ibn Katsir ada menyebut :
“ Mereka adalah ketenangan bagi kalian dan kalian pun adalah ketenangan bagi mereka ”.
Bermaksud isteri adalah ketenangan bagi suami dan suami adalah ketenangan bagi isteri. Lepas ni kalau nampak isteri tak keruan, tak tenang cepat-cepat hantar anak kat rumah mertua ya.
Ads
5. Bunga Cinta
Bunga cinta kalau tak di siram lama-lama boleh jadi layu dan mereput. Bunga cinta ibarat perasaan cinta kita pada pasangan, ingat kembali bagaimana rasa cinta masa mula-mula kenal dulu, sepatutnya macam itu lah rasa cinta kita sampai tua. Bahkan patut lebih mekar dan besar.
Jangan jadikan anak sebagai alasan untuk biar bunga cinta jadi layu dan mereput. Anak adalah baja cinta suami isteri jika pandai membaja, dan siram selalu bunga cinta dengan pasangan. Masa berdua-duaan lah kita boleh saling siram menyirami bunga cinta, sorang-sorang siram boleh tumbuh ulat bulu kat bunga.
Tinggalkan anak dekat pengasuh atau mertua sekejap pergi tengok wayang dengan pasangan. Wayang 2-3 jam dah cukup untuk bunga mekar 2-3 tahun. Jangan pula tinggal anak seminggu. Mertua pun nak alone time juga.
Jika anda atau pasangan ada simptom-simptom seperti ini menyampah tengok muka pasangan, tengok muka anak nak marah je, sentiasa stres, mudah kecil hati, mudah curiga dan suka mengadu masalah pada orang lain maknanya anda dan pasangan kurang luangkan masa bersama.
Tuan puan, hargailah masa bersama yang ada sekarang kerana duit boleh di cari tetapi masa yang di sia-siakan tak akan boleh di ganti kembali.
Mohd Fhais
Masa itu lebih berharga dari emas 999, 916 dan emas berkarat
P/s : Tolong sampaikan pada pasangan anda supaya sama-sama aware tentang pentingnya alone time ni. Jemput sekali join telegram #CoretanFhais sebab banyak tips rumahtangga nak share dalam tu. Join di sini -> t.me/CoretanFhais
Semoga perkongsian ini bermanfaat.
Jadi buat pasangan suami isteri biarpun dah bertahun-tahun berkahwin jadikan masa berdua-duaan sebagai satu amalan dalam mengeratkan hubungan.Banyak kesan positif yang diperolehi bila saling berdua-duaan suami isteri.
“Bila dia ajak saya berkahwin, saya minta bawalah jumpa isterinya dulu.” Zarina Zainuddin berkongsi kisah madu dan suaminya suatu ketika dahulu.
Semua orang mengetahui bahawa selebriti ini sangat menghormati madunya atau isteri pertama suaminya. Sejak di awal hubungan lagi, Zarina mementingkan perasaan madunya sebelum mengambil keputusan untuk berumah tangga.
Tidak semua orang mampu dan sehebat Zarina dan madunya. Hidup berpoligami jika diamalkan mengikut cara yang sebenarnya pasti merasai kemanisan dalam rumah tangga.
Dia Ajak Berkahwin
Ikuti perkongsian Zarina Zainuddin di akaun Instagram miliknya ini:
Saya nak share satu cerita….
Di mana permulaan sejarah saya kenal dengan suami saya di waktu itu saya begitu takut hendak berkawan dengan lelaki.
Kerana saya rasa lelaki semua jahat. Semua suka nak ambil kesempatan lagi-lagi pada wanita seperti saya. Tiada yang jujur, di usia saya 22 tahun, saya berkenalan dengan seorang lelaki yang jujur menceritakan kisahnya mula-mula bercinta dengan isterinya.
Dari zaman isterinya di tingkatan 2 lagi. Malah, dia cakap bukan senang dia nak rebut hati isterinya sampai hendak kena tembak dengan arwah bapa isterinya dengan senapang patah.
Last-last dia dapat juga kawin, cintanya memang cinta mati dengan isterinya. Saya suka dengar dia cerita betapa dia sayang isterinya…
Saya Minta Bawalah Jumpa Isterinya Dulu
Ceritanya, bila suaminya mengajak dirinya untuk berumahtangga, dia meletakkan syarat. Syaratnya alah…
Bila dia ajak saya berkahwin, saya beritahu bawalah jumpa isterinya dulu. Dia berani bawa saya jumpa, kemudian sekali minta izin. Dia memang seorang lelaki yang gentleman.
Walau saya kahwin tanpa cintan-cintun tapi dia tak pernah sia-siakan saya. Perempuan perlu apa… Perlu dihormati, di hargai dan disayangi selebihnya kita boleh usaha sendiri.
Dalam entri yang sama, Zarina turut mengingatkan wanita atau isteri di luar sana agar sentiasa menjaga diri sebaik-baiknya. Katanya:
Ke mana kau pergi, ingat jaga diri jaga solat jaga maruah selamat dunia akhirat. Semua orang buat salah dari salah kita betulkan diri kita. Insyaallah.
28 tahun bukan masa yang sedikit. Terima kasih abah. Dan terima kasih Kak Shimah dan anak-anak tiri ku terima diri ini seadanya. Terima kasih mak kenalkan Ina dengan insan yang bernama suami ..
Orang banyak tanya itu suami kedua awak ke? Sebenarnya itulah suami saya dari umur saya 22 tahun lagi sehingga kini 51 tahun.
Mingguan Wanita : Rezeki Zarina Zainuddin dikurniakan keluarga madu yang mampu menerima dirinya seadanya. Malah sikap Zarina yang sering menjaga dan menghormati perasaan madunya, harus dipuji dan menjadi ikutan kepada wanita di luar sana yang hidup berpoligami.
Peringatan mesra buat para isteri, belajarlah untuk menghargai suami, pandang pada setiap kelebihannya dan bantu dia atasi kekurangannya. Janganlah kita para isteri asyik merasa hebatnya suami orang lain kerana suami dia boleh buat itu dan ini. Ini kerana sikap membanding-bandingkan dengan melihat kehebatan suami orang lain,menyebabkan kita akan HANYA nampak kekurangan yang ada pada suami sendiri.Paling penting dalam hubungan suami isteri adalah komunikasi serta dapat menerima setiap kelebihan dan kekurangan yang ada pada pasangan.
Suami adalah orang asing yang Allah takdirkan jodoh kita dengan dia. Berlainan latar belakang dan berbeza cara fikir. Nak dapat persefahaman antara suami isteri bukanlah mudah. Ia bukan kerja untuk sebulan dua, tetapi bertahun-tahun. Malah perkenalan hati budi antara suami isteri sentiasa berlaku setiap masa.
“Awak untunglah, suami nak tolong buat kerja-kerja rumah. Saya ni, kencing berak anak, semua saya. Kemas rumah, basuh kain, memasak… Semua saya buat.”
Kawan… Bila kita ada terbaca terutama di FB tentang betapa mulianya seorang suami yang tolong isteri buat kerja rumah, jangan sesekali kita terus memandang senget pada suami kita sekiranya dia tidak membantu kita buat kerja rumah.
“Ada suami yang tidak mahir dalam kerja-kerja rumah, tapi bila bab bertukang, dialah hero kita.”
“Ada suami yang tak reti nak beri hadiah pada isteri, tapi setiap minggu dia akan bawa isteri pergi makan di tempat yang istimewa”.
“Ada suami yang tak pandai nak pujuk isteri, tapi itu lebih baik daripada suami yang sikit-sikit naik tangan bila tidak sefahaman dengan si isteri.”
Pandang Kelebihan Suami
Wahai isteri, pandanglah kelebihan yang ada pada suamimu. Suami hanya manusia biasa yang ada kelebihan dan kekurangan. Begitu juga kita. Kita sebagai isteri juga pasti ada banyak kekurangan. Tidak sempurna.
Suami kita adalah manusia terbaik yang Allah takdirkan untuk kita. Janganlah kita asyik merasa hebatnya suami orang lain kerana suami dia boleh buat itu dan ini. Jika kita hanya nampak kehebatan suami orang lain, memanglah kita hanya akan nampak kekurangan suami kita.
Percayalah, sekeras mana pun hati suami, dia tetap akan cair dengan kelembutan isteri. Isteri nak suami tolong dalam urusan rumah tangga, mintalah pertolongan suami dengan cara baik-baik. Perlu cakap dengan jelas ingin minta tolong apa. Jangan mengharap suami boleh faham sendiri.
“Ish… Suami aku ni tak nampak ke aku ni dari tadi tak rehat. Lepas masak, hidang makanan. Suap anak makan. Mandikan anak. Tidurkan anak. Anak dah tidur, ingat aku boleh tidur sekali ke? Masa anak nak tidur ni la aku boleh buat kerja.” Merungut si isteri dalam hati bila tubuhnya rasa tersangat penat dek kerja yang tidak pernah habis.
Pentingnya Komunikasi
Sebenarnya, banyak perselisihan faham dalam rumah tangga boleh selesai hanya dengan komunikasi.
Isteri mengharap, suami membantunya tanpa perlu diminta. Bila suami tidak menolong, merajuklah si isteri, muka masam mencuka, hati menjeruk rasa. Suami pula terkebil-kebil sendiri buntu kepala. Tak ada angin tak ada ribut, kenapa pula si isteri tiba-tiba moodnya ibarat awan mendung menanti hujan diselang-seli dengan petir sabung-menyabung.
Isteri menganggap, suami sengaja buat-buat tak nampak, buat-buat tak faham. Sedangkan mungkin, suami memang betul-betul tak tahu apa yang dia boleh bantu. Isteri pula, bila badan sudah penat, emosi sudah terganggu, barulah bersuara untuk meminta tolong. Waktu ini, memang bukan pertolongan yang diminta, tapi arahan yang diberi kepada suami untuk buat itu dan ini. Inilah antara sebab suami isteri boleh bermasam muka. Nauzubillah min zalik.
Minta Pertolongan Suami Dengan Hikmah
Ibu… Kita lebih kenal diri kita. Kita lebih tahu potensi dan limitasi diri kita. Sekiranya emosi kita mudah terganggu kerana penatnya tubuh, maka, elakkan diri kita dari terlalu penat.
Sebelum diri merasa penat, cepat-cepat minta tolong pada suami dengan hikmah. Contohnya, minta suami tolong jemurkan kain. Sebabnya kita ingin memasak. Nanti lepas makanan dah sedia, kita boleh makan bersama-sama.
Sekiranya komunikasi antara suami dan isteri berlaku dengan baik, insyaAllah pasti mudah suami dan isteri sama-sama bertolak ansur.
Melakukan kerja rumah memang sangat memenatkan. Kalau tidak, mengapa Saidatina Fatimah boleh mengadu kepada ayahnya Rasulullah untuk ada pembantu. Tapi, Nabi ajarkan zikir Fatimah untuk ‘membantu’ dan mengurangkan lelah anakandanya yang tercinta.
Suami Tidak Akan Sempurna
Duhai suri, sampai mati pun, suamimu tidak akan sempurna. Pasti akan ada kekurangan. Kerana dirimu juga tidak sempurna. Dirimu juga penuh dengan kekurangan. Memang inilah lumrahnya. Kerana kita hanya manusia, makhluk yang dicipta Tuhan. Mana mungkin makhluk itu akan sempurna tanpa ada cacat cela.
Jangan sesekali diimpi suami yang hebat lagi sempurna. Bimbang kita akan merana. Apa yang harus kita usahakan adalah bagaimana cara agar kita boleh memberi yang terbaik kepada orang lain.
Menjadi hamba Allah yang terbaik.
Menjadi pasangan yang terbaik.
Menjadi ibu ayah yang terbaik buat anak-anak.
Isteri belajarlah untuk menghargai suami. Pandang pada kelebihannya. Bantu dia atasi kekurangannya.
Dan suami, anda juga harus tahu, lumrahnya isteri sanggup berkorban dan setia kepada suami sekiranya mereka merasa bahagia. Bahagiakanlah isteri anda, pasti anda akan lebih bahagia.
Suami adalah kunci kepada pintu syurga isteri. Maka, jagalah kunci itu sebaiknya.
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
“Apabila seorang wanita (isteri) itu telah melakukan sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadhan, menjaga maruahnya dan mentaati perintah suaminya, maka ia dijemput di akhirat supaya masuk Syurga mengikut pintunya mana yang ia suka (mengikut pilihannya).”
(Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan Thabrani)
Semoga perkongsian ini bermanfaat. Semoga para isteri lebih menghargai suami tanpa perlu membanding-bandingkan dengan yang lain.
Setiap pasangan yang berkahwin tentu mahukan kebahagiaan yang berpanjangan. Jodoh yang berkekalan, rezeki yang murah, anak-anak yang soleh serta solehah dan sebagainya. Semua itu adalah impian sesiapa sahaja. Namun, bagaimana dengan jika ditakdirkan bertemu jodoh dengan pasangan kaki judi.
Tiada siapa sangka pasangan yang diimpikan itu sebenarnya bukanlah orang yang baik. Mungkin baik dari segi lain tetapi sikap ‘kaki judi’ terlah terbawa-bawa hingga boleh menghancurkan rumah tangga yang dibina. Apakah yang harus dilakukan oleh isteri dan jalan penyelesaian terbaik. Ikuti kupasan lebih lanjut oleh Khairul Fahmi Ramli, Peguam Syarie Penang, Kedah, Perlis dan Perak, Firma Khairul Fahmi & Associates dan Timb. Setiausaha PGSM Kedah tentang topik ini.
Bergolok Gadai
Salah satu gejala akhir zaman yang berlaku sekarang adalah bertambahnya pusat-pusat
perjudian dan kebanyakan pula adalah golongan lelaki Melayu yang terlibat dengan masalah ini.
Bukan sahaja di kedai, tetapi masalah perjudian ini boleh diakses melalui internet. Tidak
mustahil, ada yang mengajak sama ‘betting’ di telefon masing-masing. Kesudahannya, ramai yang akan terlibat secara langsung atau tidak langsung sehingga sanggup bergolok gadai harta, barang kemas dan tanah disebabkan ketagihan judi.
Tuntuk Fasakh
Berjudi atau pertaruhan adalah 100 peratus perkara yang diharamkan oleh Islam. Jadi,
disebsbkan perbuatan ini dikategorikan sebagai salah satu perbuatan terkutuk, maka isteri
boleh menuntut fasakh di bawah seksyen 53(1)(h)(ii) Enakmen Keluarga Islam Kedah 2008 yang menyebut:
“Seorang perempuan berhak untuk mendapatkan perintah fasakh jika suami berkawan dengan perempuan atau lelaki jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan hukum syarak”.
Jadi, ada peruntukan undang-undang berkaitan fasakh untuk isteri memohon fasakh di Mahkamah Syariah jika sekiranya ada dakwaan berkaitan dengan suami terlibat dengan perjudian.
Tip Untuk Isteri
Sebagai isteri yang solehah ada beberapa tip yang boleh dipraktikkan untuk menasihati suami daripada terlibat atau ketagihan berjudi.
a)Kawal Penggunaan Telefon
* Jangan terlepas pandang untuk menyemak telefon bimbit atau komputer suami. Cuba selidik senyap-senyap, apa yang suami main di telefon bimbit. Jika bermain games online tidak menjadi masalah. Tetapi, jika suami bermain games ‘tangkap ikan’ perlu ada sedikit
prasangka.
b)Mengadu Pada Ibu Bapa
* Bagi anda yang masih mempunyai ibu mentua, jangan segan silu untuk mengadu kepada mereka tentang perbuatan anaknya supaya mentua dapat menasihati anaknya. Jika ibu mentua tidak ada, mengadulah kepada saudara paling rapat dengan suami. Elakkan daripada menghebohkan kepada orang lain. Jaga aib suami.
c)Simpan & Kawal Duit Suami
* Bila bercakap simpan duit kita sendiri dan kawal duit suami, mereka beranggapan isteri
queen control. Percayalah, segelintir lelaki susah untuk menguruskan duit sendiri berbanding wanita. Inilah hakikatnya. Walaupun, mungkin anda tidak dapat mengawal duit suami, tetapi sekurangnya tahu setiap akaun suami dan transaksi duitnya.
d)Aduan Kaunselor @ Pejabat Agama
* Tidak tahu kepada siapa yang boleh menasihati suami. Cuba adu kepada kaunselor rumah tangga di Pejabat Agama. Mereka adalah orang terlatih untuk mendengar masalah dan menasihati suami dalam kes sebegini.
e)Lapor Pada Penguatkuasa @ Polis
*Jika perbuatan ini menjadi satu ketagihan, jangan teragak-agak untuk melaporkan kepada polis atau penguatkuasa agama sebagai satu pengajaran. Mungkin ada hukuman setimpal sebagai satu bentuk pendidikan kepada pesalah.
Wahai Suami, Ingatlah!
* Berjudi adalah satu perbuatan keji di dalam Islam. Tidak ada langsung perkara yang baik
tentang ini melainkan kerugian dan kecelakaan dalam hidup.
* Banyak penceraian yang berlaku kerana suami kaki judi. Daripada ini jugalah, ia boleh
mereka kepada pukul memukul anak dan isteri dan tentu sekali ia akan melibatkan kepada
keadaan yang mendesak sehingga meminjam kepada ‘ah long’.
* Ingat, perjudian sekarang bukan hanya ke casino atau bermain daun terup dan nombor ekor. Tetapi, sekarang telah merentasi ke dalam dunia online. Semuanya akan menjadi lebih teruk jika ada keinginan untuk mencuba. Jangan sesekali terdetik di hati untuk mencuba.
* Elakkan daripada terlibat sebelum terlambat.
Gambar Hiasan: Wawa Zainal & Suami
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sekeluarga dirempuh treler pemandu microsleep, ibu belum tahu anak meninggal kerap tanya mana anak sulung. Sebuah keluarga yang menaiki kereta proton saga mengalami detik...