Wahai Suami Jangan Percaya Kata-Kata Isteri Kalau..

Share

Percaya tak wahai suami yang seorang isteri itu sebenarnya cukup pandai berbohong. Lagi-lagi hal yang melibatkan perasaannya. Apa yang isteri katakan itu sebenarnya bukanlah benar-benar seperti apa yang terluah di bibir.

Isteri ada alasannya kenapa dia berbohong. Dan pembohongannya itulah yang sebenarnya menyelamatkan, mendamaikan sebuah rumah tangga yang dibina bersama. Kerana pembohongannya itulah, anda wahai suami berasa tenang-tenang saja. Walau pun hakikatnya, isteri memendam rasa.

Sebab Itu Suami Jangan Percaya..

( kalau isteri anda sebutkan kata-kata ini.. )

Bila Isteri Kata Dia Tak Apa-apa

Hakikatnya, dia memang sedang apa-apa. Pasti jauh di sudut hatinya ada satu perasaan tak puas hati tapi tak mampu untuk diluahkan. Kerana, apabila kebenaran sudah diketahui pasti akan ada hati yang terluka.

Begitu pun ketika, isteri terluka dan sedang memberi mu peluang kedua. Akibat kecurangan yang suami lakukan. Sebenarnya, hatinya ibarat kaca yang telah retak. Walau bercantun tetap ada kesan lukanya.

Jadi tidak apa-apa isteri itu, sebenarnya adalah apa-apa yang perlu suami perhatikan betul-betul. Jangan tanya pada isteri. Kerana dia tidak akan memberitahu. Perhatikan dengan mata hati. Rawatlah kembali ‘tidak apa-apa’ isteri itu dengan kasih sayang yang ikhlas. Bukan paksaan.

Kerana isteri yang ‘tidak apa-apa’ ini tidak suka dipaksa jiwanya. Dia akan tenang kembali dan tahu bagaimana merawat diri.

Bila Isteri Kata Dia OK, Tak Letih

Oh, sebenarnya dia teramat-amat letih. Tapi setiap kali memandang wajah suaminya yang baru pulang dari tempat kerja. Rasa letih itu disimpan dalam-dalam, dipegang kemas-kemas sampai tidak ada seorang pun sedar akan letihnya.

Jangan cuba diuji kerana apabila letihnya sudah sampai ke paras hidung. Dan tak mampu lagi dibendung, ia akan meletup. Bersama kesan-kesan bebelan yang panjang dan menakutkan semua. Hatta anak-anak yang baik-baik pun boleh terkejut seram.

Bila Isteri Kata, Takpe Saya Boleh Drive Sendiri

Sebenarnya sebolehnya dia mahu anda temani dia. Kerana jika urusannya berteman akan lebih mudah untuknya menguruskan segala kerja. Termasuklah uruskan anak-anak yang sedang membesar itu. Jika ada anda di sisi, alangkah bahagianya dia untuk meluah rasa.

Berkongsi cerita dalam perjalanan bukankah romantik dan mengasyikkan. Wahai suami, fahamlah jika anda ada masa lapang dan tidak sibuk, tak salah rasanya memandu untuk isteri. Walaupun kau tahu isterimu itu sejenis robot yang tak kenal erti duduk diam.

Bila Isteri Kata, Jangan Risau Saya Boleh Jaga Budak-budak Ni

Betul memang dia boleh jaga anak-anakmu dengan senang sekali. Tapi bila tiba waktu cutimu iaitu hari Ahad nanti. Ambil alihlah tugasan itu. Kerana dia juga perlukan waktu untuk dirinya sendiri. Isterimu juga mahu menghabiskan masa liburnya dan ruang untuk dia.

Kalau pun isteri mu itu tidak menuntut ME TIME dari mu wahai suami. Fahamlah yang dia perlukan masa untuk bersama denganmu. Bawa dia ke satu tempat yang relaks dan menenangkan. Kalau pun perlu membawa anak-anak, sepanjang cuti itu ambil alih tugas menjaga anak-anak. Biarkan isterimu itu rehat di sampingmu.

Bila Isteri Kata, Saya Ada Duit Lagi

Kalau pun dia ada pekerjaan yang baik dan dia ada simpanan sendiri. Tahukah kamu bahawa simpanan itu kelak adalah untuk saat-saat kecemasan membantu ketika kamu wahai suami benar-benar sesak. Kerana itu, janganlah bersikap kedekut untuk membelanja isterimu.

Jangan juga kedekut untuk memberikan wang saku padanya. Jika tidak mampu besar jumlahnya cukuplah sekadar untuk memberi hadiah wang saku akan penat lelahnya. Pasti dia akan tersenyum bahagia.

Justeru itu, wahai suami.. andai kata isterimu memberi signal sebegini cepat-cepatlah jadi suami yang perasa. Rasai apa yang sedang beraja di dalam hatinya. Perhatikan tindak tanduknya, gerak langkahnya.

Jika dia mulai marah-marah. Mungkin dia sudah menyimpan kata-kata di atas lama. Sayangi isteri mu, PELUK lah dia. Walaupun anda tidak tahu, suatu hari nanti dia pasti akan kongsikan juga isi hatinya dengan suami yang paling dicintainya.

 

Published by
Netty Ah Hiyer