Viva Remuk Dilanggar, Pemilik Lamborghini ‘Hadiahkan’ Ibu Tunggal Kereta Myvi

Share

Setiap ujian dan dugaan yang berlaku pasti ada hikmahnya. Rezeki buat seorang wanita yang bergelar ibu tunggal yang terbabit dalam kemalangan jalanraya baru-baru ini, apabila pemilik sebuah Lamborghini bukan saja menyelesaikan isu itu dengan berhemah, malah bermurah hati ‘menghadiahkannya’ sebuah kereta Myvi.

Tindakan Thomas Heng, 40, dipuji warga maya selepas kemurahan hatinya itu dikongsikan rakannya, Azman Nor, di Facebook, dua hari lalu.

Dipandu Rakan Perniagaan

Berkongsi kejadian itu, Thomas berkata, dia tidak terbabit dalam kejadian itu sebaliknya kenderaan mewah miliknya itu dipandu seorang rakan perniagaannya yang mahu keluar membeli barang keperluan, dua hari lalu.

Katanya, tiba di lokasi di Seksyen 17, Petaling Jaya, Selangor, rakannya itu tidak sempat mengelak kenderaan di depannya yang tiba-tiba menukar lorong tanpa memberi isyarat.

“Akibat kemalangan itu, Lamborghini saya remuk pada bahagian depan dan kanan manakala Viva wanita itu ‘total lost’ (musnah).

“Kes diselesaikan secara baik tanpa pergaduhan, malah dua-dua pihak membuat laporan polis untuk proses tuntutan insurans, namun bagi kereta ‘total lost’ ia akan memakan masa, malah saya dapati tuntutan insurans Viva itu pun sangat rendah,” katanya ketika dihubungi.

Simpati Nasib Ibu Tunggal

Pemilik sebuah kedai ‘wrap’ kenderaan itu berkata, simpati dan prihatin dengan kesulitan dialami wanita itu, dia bermurah hati menawarkan sebuah kenderaan terpakai sebagai ganti.

“Hati saya tersentuh apabila mengetahui wanita itu ibu tunggal anak tiga dan bimbang dia terputus sumber rezeki, saya membuat keputusan membelikannya Myvi terpakai untuk memudahkan pergerakannya menghantar pesanan yang dijual menerusi dalam talian.

“Ini bukan soal ada wang boleh beli apa saja, tetapi apa yang saya buat ini lebih kepada untuk memudahkan urusan dan mengurangkan seberapa boleh beban dialaminya.

“Paling penting moralnya, tidak semua perkara perlu digaduhkan, selagi mana boleh selesai, selesaikanlah cara baik dan berhemah,” katanya.

Perjanjian Beli Kereta Myvi

Katanya, bagi menjamin ketelusan, kedua-dua pihak membuat perjanjian bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini pada masa depan.

“Dalam perjanjian itu menjelaskan, saya dengan rela hati membelikan kereta Myvi itu tanpa perlu dibayar semula wanita itu.

“Malah, saya tidak akan menuntut sebarang ganti rugi termasuk wang tuntutan insurans daripada kemusnahan Viva itu juga menjadi hak wanita itu sepenuhnya untuk kegunaan dan keperluannya,” katanya.

Proses Petukaran Hak Milik Selepas (PKP)

Menurut Thomas, dia bercadang menyerahkan Myvi itu kepada wanita berkenaan, Isnin ini.

“Proses pertukaran hak milik kereta akan diuruskan selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

“Malah, bagi membantunya mempromosikan perniagaan atas taliannya, saya hantar Myvi itu untuk proses reka bentuk iklan.

“Mungkin ini tidak seberapa, tetapi saya harap Myvi ini menjadi pengganti kepada Viva yang rosak itu supaya wanita itu boleh terus mencari sumber pendapatan macam biasa bagi membesarkan anak-anaknya,” katanya.

Baca Lagi Di Sini: Tak Perlu Nak Bergaduh, Peguam Ini Ajar 14 Tindakan Jika Kereta Dilanggar Dari Belakang

MW: Memang terbaik sikap prihatin dan tanggungjawab yang ditunjukkan oleh pemilik Lamborghini ini. Tak semua orang bersikap murah hati sebegini, terutamanya memikirkan nasib wanita berstatus ibu tunggal yang perlu menyara dan membesarkann anak-anak sendirian.

Sumber: Bharian

Published by
Suhaidah Abd Wahab