Keduanya berparas wajah lembut dan ayu. Seorang terkenal sebagai salah seorang pendakwah wanita yang disegani, manakala seorang lagi selebriti yang banyak terlibat di dalam aktiviti kemanusiaan setelah berhijrah tak lama dulu. Walau berbeza latar, namun keduanya memiliki visi untuk menyumbang kepada pembangunan ummah.
Penghias muka depan kali ini menemukan mereka berdua. Masing-masing mempunyai cara tersendiri baik dalam urusan kerjaya mahupun menguruskan anak-anak. Inilah yang dikatakan wanita besi, bukan sahaja sibuk dengan urusan kerja, dakwah dan kerja amal tetapi dalam masa yang sama menguruskan keluarga. Ikuti perkongsian daripada dua figura yang penuh dengan keibuan ini.
Peluang bersua muka dengan figura ini membawa debaran yang cukup berbeza. Hari yang dinanti telah tiba dan sesi fotografi berjalan dengan lancar berkat dari Yang Maha Esa.
Keperibadian wanita hebat ini membuatkan penulis rasa terlalu rendah diri untuk bertentang mata dengannya. Namun sebaik salam dihulur, figura ini ibarat “kakak” yang mudah dibawa berbincang.
Datuk Dr. Norhafizah Musa bukan satu nama asing dalam bidang dakwah. Memiliki rupa paras keibuan serta sejuk mata memandang, membuatkan sesiapa sahaja jatuh sayang dan kasih. Pertuturannya yang lembut penuh dengan kata-kata nasihat.
Ternyata suaranya yang lembut itu terngiang-ngiang ketika menyampaikan ceramah di radio atau kaca TV. Gelagatnya nampak bersahaja namun ia sampai ke lubuk hati setiap pendengar dan menjadi ingatan sampai bila-bila.
Menyelusur latar belakang Datuk Dr Norhafizah Musa atau mesra disapa dengan panggilan ustazah, beliau mendapat pendidikan peringkat Sarjana Muda di Universiti of Yarmouk, Jordan, dalam bidang Sastera Bahasa Arab dan Pengajian Islam sebelum menyambung pengajian di peringkat sarjana di Universiti Malaya di Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan.
Beliau kini bergelar pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur. Penglibatan beliau dalam dunia dakwah bermula sejak kepulangannya dari Jordan lagi.
Dalam masa yang sama beliau juga merupakan penulis buku, kolumnis majalah, panel di radio IKIM FM, panel bagi rancangan televisyen seperti Tanyalah Ustazah, Al-Hidayah, Forum Perdana dan banyak lagi.
Oktober 2018 sudah tentu menjadi momen paling indah buat Ustazah Norhafizah apabila menerima anugerah pengajian PhD, bahkan beliau juga turut sama dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Peringkat Daerah Jempol, Negeri Sembilan Darul Khusus 1440 Hijrah bersamaan 2018 Masihi sebelum majlis konvokesyen beliau berlangsung tahun lalu.
Siapa sangka dalam usia 43 tahun serta mempunyai tujuh cahaya mata iaitu empat perempuan dan tiga orang lelaki, Ustazah Norhafizah mampu menggenggam segulung PhD.
Ternyata kehebatan isteri, ibu dan pendakwah ini menjadi inspirasi kepada setiap wanita di luar sana yang ingin menggapai kejayaan dalam kehidupan. Usia dan status bukanlah penghalang dan ustazah membuktikannya.
Penganugerahan Doktor Falsafah (PhD) Ustazah Norhafizah dari Akademi Pengajian Islam telah berlangsung di Istiadat Konvokesyen ke-58 Universiti Malaya, tahun lalu.
Selain berdakwah, tentu sahaja Ustazah memiliki cita-cita yang diimpikan sejak kecil. Menurut isteri kepada Dr Azhar Yaakob, ternyata beliau bersyukur pada hadrat Ilahi apabila dikurniakan rezeki ke arah perniagaan.
“Salah satu prinsip yang ustazah pegang, apabila Allah lapangkan rezeki kita dengan jalan perniagaan, saya ingin menjadi usahawan wanita yang mampu memberi sumbangan dan infak harta kepada pembangunan ummah.
“Alhamdulillah saya ada buat jualan di bawah naungan atau satu syarikat adik ipar saya. Tetapi perniagaan saya masih bertateh untuk membuat jualan tudung, menerbitkan buku dan beberapa barang lain. Dalam masa yang sama, kami turut membuat kolaborasi dengan pihak-pihak lain dalam memasarkan produk kami,” ungkap beliau teruja.
Bergelar pendakwah serta dalam masa bergelar seorang usahawan, isteri dan ibu sudah tentu menuntut komitmen yang cukup tinggi daripada Ustazah Norhafizah dalam membahagikan masa.
Biar pun bukan mudah tetapi ia memerlukan komitmen dan sokongan banyak pihak. Jelas beliau yang pertama mendapat keredaan dan restu daripada Allah SWT, jadi jagalah hubungan dengan Allah.
Kedua pula dalam hidup kita perlu belajar menghargai orang lain dan setiap pertolongan yang orang lain berikan, hargailah sebaik-baiknya. Rasakan kehadiran setiap orang dalam hidup kita sebagai satu nikmat yang paling besar, jalinkan silaturahim dan jaga hubungan dengan baik.
Insya-Allah perkara-perkara ini secara tidak langsung akan menstabilkan kita dalam membahagikan masa sebaik mungkin. Beliau percaya tidak mungkin ada wanita besi atau iron lady jika dirinya melakukan segalanya berseorangan.
Hakikat sebenar di sebalik kejayaan seseorang wanita, tentu terdapat ramai insan lain yang mendukungnya untuk menjadi manusia yang seimbang dan berjaya.
Dalam dunia serba moden ini, isu penceraian seolah-olah dipandang ringan dan hanya di buat main. Ustazah Norhafizah turut terpanggil untuk mengupas isu ini. Sedih hatinya tatkala teringat akan statistik yang menunjukkan bahawa setiap lima saat berlaku satu kes penceraian.
“Pada pandangan saya tentang isu penceraian ini, saya mendoakan setiap daripada kita struggle dalam melayari rumah tangga. Rumah tangga mana yang tidak dilanda badai, oleh itu kita perlu berjuang untuk mendapat ketenangan. Belajar daripada kesilapan lalu dan beri tempoh yang lama serta cukup untuk cipta pengalaman dalam berumah tangga.
“Jangan sesekali berdepan dengan satu, dua perkara sahaja, kita terus terfikir mahu bercerai. Beringatlah wahai lelaki, oleh kerana talak berada di tangan anda.
“Segala yang ditentukan sudah pasti bersebab iaitu kerana orang lelaki mempunyai kekuatan untuk menjaga kalimah itu. Oleh itu, jangan jadi seorang lelaki yang tiada kekuatan untuk menjaga lafaz talak itu.
“Jangan mudah-mudah melepaskan talak kerana ketika kita ambil isteri kita dengan nama Allah. Oleh itu sebagai suami, jagalah mekanisme sebagai suami, jagalah tanggungjawab yang diberikan dan dalam masa yang sama jangan mudah sangat fikir untuk bercerai. Jika perkara-perkara ini diambil, sudah pasti rumah tangga akan selamat,” ungkap Ustazah Norhafizah lagi.
Tambahnya, rumah tangga yang dilanda badai itu biasa. Sebaiknya hadapi gelombang-gelombang ini dengan bijaksana dan banyak merujuk kepada mereka yang telah lama mendirikan rumah tangga. Bila ia dilalui dengan baik dan tiba masanya gelombang itu akan berhenti dengan sendirinya, insya-Allah rumah tangga akan kekal bahagia selamanya.
Di awal kemunculan pemilik nama sebenar Haryati Hamzah atau lebih glamor dengan panggilan Yatt Hamzah, 39, merupakan seorang pelakon yang cukup lincah. Namun tiada siapa menyangka hidayah yang diterima membuatkan Yatt kini lebih istiqamah dan selesa dengan penampilannya sebagai Muslimah sejati. Yatt boleh dijadikan ikon kerana selepas berhijab kira-kira tujuh tahun lalu dia begitu aktif dalam aktiviti kerohanian dan dakwah.
Selebriti yang juga bergelar pengacara ini begitu murah dengan senyuman dan sentiasa ceria setiap kali bertemu empat mata dengannya. Apatah lagi dia juga merupakan Naib Presiden Usrah Fitrah Malaysia bersama Diana Amir serta Heliza Helmi.
“Alhamdulillah saya bersyukur kerana Allah sentiasa memberi petunjuk dan jalan yang lurus buat saya. Saya gembira kerana menerusi Usrah Fitrah saya dan kawan-kawan bergerak terus ke depan untuk menyebarkan ilmu agama.
“Bukan sekadar Usrah Fitrah saya juga mengusahakan dan mengasaskan kumpulan usrah sendiri yang diberi nama Usrah Suci. Setiap malam Selasa saya akan anjurkan kelas usrah secara percuma di Masjid Wilayah. Alhamdulillah perkongsian usrah ini diajar oleh ustaz-ustaz terkenal dan berpengalaman luas dalam ilmu agama seperti Ustaz Syed Kadir, Ustaz Salahuddin, Ustaz Bashir dan ramai lagi. Setiap minggu mereka akan ajar kami. Inilah grup-grup yang membuakan saya terus istiqamah. Selain itu saya juga sering dijemput untuk berkongsi ilmu dan pengalaman di majlis-majlis agama bersama ustaz atau ustazah,” kongsi Yatt Hamzah.
Ditanya bagaimana dia menetapkan pendirian untuk terus istiqamah dan tidak berpaling ke jalan lama, Yatt mempunyai pegangan yang cukup tegas.
“Lagi kita usaha untuk jadi diri sendiri yang lebih baik. Lebih banyak syaitan-syaitan yang akan mengganggu dan jadikan hidup kita tunggang langgang. Saya bersyukur kerana ada kawan-kawan yang sentiasa bergerak ke depan. Tak ada patah balik. Saya ada grup usrah dan lignkungan rakan-rakan yang saling ingat mengingati serta terus berjalan ke depan”.
“Bagi sentiasa mahu diri istiqamah saya amalkan doa. Antara doa yang saya amalkan surah al Imran ayat ke lapan di mana berbunyi, “Wahai Tuhan kami jangan kau bolak balikkan hati kami setelah kau berikan hidayah kepada kami”.
“Kalau dihayati betul-betul ayat demi ayat sebenarnya surah ini sangat sesuai sebagai peringatan untuk diri sendiri. Saya juga sentiasa berdoa agar Allah beri saya hidayah dan jangan tarik balik. Jika kita rapuh tidak mustahil akan kembali ke jalan yang gelap. Doa merupakan senjata kita sebagai orang mukmin. Insya-Allah,” tegas Yatt.
Selain menyandang status selebriti, Yatt juga merupakan antara salah seorang aktivis misi kemanusiaan yang aktif dalam membantu menyalurkan bantuan kepada mangsa keganasan dunia. Mengimbau kembali detik kali pertama menjejakkan kaki di bumi bergolak Syria, Palestin pada awal Mac 2015, Yatt mengakui dia masih dihantui peristiwa menyaksikan penderitaan hidup rakyat di sana. Malah kejadian yang menimpa suaminya baru-baru ini ketika dia melakukan misi kemanusiaan tidak pernah membuatkan dia dan suami serik.
“Serik? Sudah tentu tidak. Sebabnya ini jalan yang kami pilih. Saya memang suka jalani misi-misi sebegini. Sekarang ini biarlah suami yang pergi berjuang melakukan misi-misi kemanusiaan kerana saya sedang sarat mengandung dan berjuang di rumah menjaga anak-anak. Bila anak dah besar sikit, insya Allah saya akan lakukan misi ini,” kata Yatt.
Sebelum ini suaminya Mohammad Zulfadhli Khiruddin, 27, Heliza, Hazwani, kakitangan MAPIM dan pengamal media yang menyertai misi kemanusiaan #wakeupforGaza bagi membantu rakyat Palestin pada 8 Julai lalu ditahan di pintu tentera Mesir di pintu Rafah, Mesir.
“Pada awalnya saya teruja nak sambut kepulangan suami namun diberitahu oleh pihak MAPIM mereka tidak dibenarkan keluar. Pada tahun 2013 saya pernah alami peristiwa yang sama. Saya cukup bimbang dan cemas dengan berita yang diterima. Namun kegusaran saya berkurangan apabila MAPIM memberitahu mereka bukan jadi tahanan, cuma ditahan di Imegresin Mesir dan tak boleh ke mana-mana. Bayangkan di sana tak ada apa-apa, tak ada makanan sebab saya pernah sampi di sana. Berkat doa semua selepas 35 jam mereka dilepaskan selepas tiga kali cubaan untuk keluar. Mereka selamat sampai ke tanahair 35 jam kemudian,” ujar Yatt sentiasa memanjatkan doa ketika itu agar suami dan rakan-rakan yang menjayakan misi kemanusiaan itu selamat dan dapat pulang dengan aman.
***************************************************************
Banyak lagi cerita menarik yang dikongsikan oleh Datuk Dr. Norhafizah & Yatt Hamzah, baca sambungannya didalam edisi terbaru Majalah Mingguan Wanita isu Ogos, volume 2 yang kini telah berada di pasaran.
Penyelaras: Nur Syazwani Mehat & Julie Roshana Shafie
Teks: Nur Syazwani Mehat & Norhayati Suboh
Solekan& Dandanan: Kelrina Hof & Bee Ramza
Tajaan Pakaian: Butik Manimalace, Seksyen 7, Shah Alam ( Dress Hijau- Yatt Hamzah)