Viral Suami Botak Rambut Tanda Sokong Isteri Kimo, “Isteri Janji Tak Nangis Tapi Air Matanya Tumpah Lepas Cukur

Share

Viral suami cukur rambut tanda sokong isteri kimo, “isteri janji tak nangis tapi air matanya tumpah  lepas cukur.

Rambutnya yang melebat hingga hampir mencecah punggung dipegang satu persatu. Lebih banyak yang gugur hingga nampak kulit kepalanya saat pertama kali melakukan kimoterapi.

Sakit, itulah perasaan dirasainya. Jika dahulu rambut lebat ini adalah mahkotanya tetapi kini di balik setiap ketawanya,  terpendam sejuta rahsia kesakitan yang hanya dirinya fahami.

Viral Suami Botak Rambut Tanda Sokong Isteri Kimo

Inilah yang dirasai oleh Norhaliza Yahya, 47 yang videonya viral sejak semalam bila mana suaminya mengambil keputusan membotakkan kepala sebagai memberi sokongan kepada dirinya yang terpaksa mencukur rambut selepas menjalani kimoterapi kali pertama.

Video yang dikongsi di akaun Tik Tok suaminya, Erol Azis menyaksikan suaminya turut sama membotakkan kepala bagi memberi sokongan kepadanya dan masa yang sama menangis sebak telah ditonton seramai 1.8 juta orang. Banyak  kata-kata semangat ditiupkan buatnya selepas disahkan mengidap kanser ovari tahap satu  type C (hampir ke stage 2).

MINGGUAN WANITA telah menghubungi pasangannya, Erol Asiz atau nama sebenarnya Mohd Fairul Mohd Asiz berkongsi kisah mengenai video isterinya yang tular. Dalam perbualan kami, isterinya tidak bersama kerana sedang melakukan kimoterapi.

Beginilah keadaan Liza ketika sihat sebelum disahkan mengidap kanser rahim tahap 1 (menuju ke 2)

Jelas Erol, hari ini isterinya menjalani kimoterapi buat kali kedua dan dirinya dalam perjalanan menuju ke Institut Kanser Nasional bagi mengambil isteri kesayanganya iaitu Norhaliza Yahya, 47 tahun.

Berkongsi kisahnya dengan lebih lanjut, jelas Erol sekitar awal tahun ini isterinya ada mengadu sakit perut dan terasa ada benjolan di bahagian tepi perut.

“Makin lama benjolan makin besar. Sebesar penutup botol. Masa kami ke klinik, doktor buat surat rujukan pergi ke pakar. Tapi lebih kurang 10 hari sebelum temujanji itu, benjolan itu pecah.

“Saya bawa isteri ke Columbia Hospital dan isteri segera jalani pembedahan. Selepas dua minggu, pihak hospital menelefon memaklumkan sampel yang diambil menunjukkan symptom kanser.

“Isteri sangat terperanjat mendengar hal ini. Ia satu ujiat buat kami kerana tiada ahli keluarganya didiagnos kanser. Doktor kemudian merujuk kes isteri ke IKN dan dari sini, baru tahu isteri mengidap kanser ovari tahap satu menuju ke stage 2. Isteri  kemudian diberi pilihan sama ada buang rahim atau menjalani kimoterapi.

“Tapi disebabkan mendengar kimoterapi sakit dan lain-lain masalah, isteri mengambil keputusan membuang rahimnya dengan harapan kanser ini menghilang,”kata Erol ketika dihubungi.

Tambah bapa kepada 7 anak berusia 17-7 tahun ini (dari hasil perkahwinannya dan isteri sebelum ini), Erol memaklumkan walau rahim sudah dibuang tetapi semasa pembedahan itu, doktor berjaya mengesan satu lagi ketumbuhan di dinding usus yang tidak boleh dibuang begitu saja sebaliknya perlu makan ubat untuk mengecutkannya.

“Ambil masa juga, sekitar 4-5 bulan tapi malangnya isteri terus rasa sakit. Bila dirujuk ke hospital, katanya perlu jalani kimoterapi untuk mematikan ketumbuhan tersebut,” jelasnya yang berniaga pakaian terpakai.

Videonya membotakkan rambut bagi menyokong isteri tercinta menjadi viral dan ditonton seramai 1.8 juta orang.

“Isteri Janji Tak Nangis Tapi Air Matanya Tumpah Lepas Cukur

Rambut isteri panjang hampir ke punggung

Di sebalik mahkota Wanita ini, Erol menjelaskan rambut isterinya panjang melebat hingga hampir mencecah punggung.

“Tapi kali pertama buat kimoterapi rambutnya gugur dengan sangat banyak hingga nampak kulit kepala. Isteri kerap menangis dan kemurungan tentang ini selain kesakitan dilaluinya semasa kimo.

“Akhirnya isteri nekad untuk membotakkan rambutnya. Saya kata boleh dan saya siap berpesan, janji tak nangis lepas cukur. Tapi air matanya tumpah bila tengok rambutnya sudah tiada. Saya pula memang tak boleh tengok isteri menangis. Rasa nak bersama-sama menangis. Akhirnya saya ambil keputusan mencukur rambut  bagi memberi sokongan kepada isteri,” katanya sama sekali tidak menyangka videonya ditonton seramai 1.7 juta orang itu.

Sejak sakit isteri agak sensitive

Tidak dinafikan, sejak mengidap kanser, isterinya kerap merajuk, sensitif dan mudah marah.

“Ada kalanya sampai tak bercakap tapi saya faham apa dirasai isteri. Kadang bila dirinya mulai marah, saya ajak jalan keluar makan-makan angin. Sayang kepadanya melebih apa yang isteri rasanya. Benarlah kata orang, bila isteri sakit, suami perlu mainkan peranan penting dalam memberi sokongan.

“Sebab itulah saya cukur kepala agar kami dapat merasai “kesakitan” ini,”katanya yang memaklumkan anak-anak belum memahami sepenuhnya ujian dihadapi ibu mereka kerana selepas video itu tular, mereka bertanya kenapa ayah dan ibu menangis.

Jelas peniaga ini lagi, apa yang membuatkan dirinya berasa bangga bila mana ramai pejuang-pejuang kanser yang menghubungi isterinya memberikan kata-kata semangat untuk  melawan penyakit ini dan isteri juga menerimanya dengan positif untuk melawan kanser ini.

Didoakan agar mereka yang diuji dengan kanser cepat sembuh dan kembali sihat seperti sebelumnya, aamiin.

BACA ARTIKEL MENARIK DI SINI :- Hilang Kaki Kanan, Nooraishah Jadi Murung Sampai Ada Yang Bercakap Rupanya Seperti ‘Mayat Hidup’

“25 Tahun Kahwin, Tidak DiKurniakan Anak.” Tak Menyesal, Berhenti Kerja Jaga Suami Kanser

“Selama Isteri Sakit, Saya Tidak Pernah Meninggalkannya,” 2 Bulan Suami ‘Berkampung’ Di Hospital

Elyana Mohon Doakan Kesihatan Cepat Sembuh “Kena Buat Rawatan Radioterapi 10 Sesi”

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.

“Terima Kasih Terima Saya Seadanya…”
Walaupun berlainan bangsa dan agama, layanan mak mentua tak pernah berubah. Dia tidak kekok untuk masak dan jaga cucu-cucunya. Cuma, masalah utama kami adalah bahasa. Tapi lama-kelamaan masing-masing boleh terima dan faham. Terima kasih mak..

 

 

 

 

Published by
Almaswa Haji Che Ros