Sesungguhnya jodoh itu ketentuan tuhan. Siapa sangka jodoh yang tertulis selama ini rupanya hanya jiran di sebelah rumah.Memang rezeki sungguh!
Baru-baru ini sepasang pengantin baru viral di TikTok apabila berkongsi saat bahagia berkahwin dengan jiran sendiri. Video tersebut dikongsikan oleh kakak pengantin lelaki sendiri sekaligus mendapat perhatian ramai yang turut tumpang gembira dan mendoakan kebahagiaan pasangan ini.
Berkongsi pengalaman manis ini, pengantin lelaki, Muhammad Zaim Abd Rahman berkata, dia dan pasangannya bernikah pada 7 Januari 2022 dan majlis persandingan berlangsung pada keesokan harinya.
Pemuda berusia 24 tahun itu berkata, dia dan isteri, Natasha Azira Masarudin, 24, belajar di sekolah menengah sama tetapi hanya mengenali antara satu sama lain ketika sekelas di tingkatan lima.
“Saya sekeluarga tinggal di Batang Kali (Hulu Selangor, Selangor). Kami kemudian berpindah ke kawasan perumahan berdekatan pada akhir 2014, dan seminggu kemudian saya masuk belajar di tingkatan lima pada awal 2015.
“Di kelas pun kami tidak bertegur, masing-masing dengan geng kawan sendiri. Tapi bila nampak dia lalu depan rumah, terdetik hati macam pernah nampak budak ni kat sekolah, rupa-rupanya dia adalah rakan sekelas dan juga jiran sebelah rumah,” katanya.
Walau bagaimanapun, Zaim berkata, kedua-dua mereka hanya mula berkawan rapat selepas selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Bermula dari perbualan di aplikasi WeChat, perkenalan mereka diteruskan dengan bersemuka ‘sebagai jiran’ di luar rumah masing-masing.
“Mula-mula kami dating di antara tembok pagar rumah kami je, gaya macam makcik-makcik berjiran yang selalu ‘membawang’ tu. Tapi kami berborak pasal hal kami.Dua bulan kemudian baru kami berani dating di luar dan kakak temankan. Risau juga kalau kedua-dua keluarga tak restu kami berkawan,” ujarnya yang berasal dari Batang Kali.
Menurut anak bongsu daripada empat beradik itu, hatinya terpaut pada jiran sebelah kerana berpewatakan gadis itu lemah-lembut, pemalu dan penampilannya berhijab.
“Saya pun dapat tahu isteri saya ni crush kat saya masa sekolah dulu tapi malu-malu. Selepas beberapa tahun barulah hubungan kami semakin serius.
“Jujurnya, saya tak pernah terfikir bertemu jodoh dengan jiran sebelah rumah, mimpi pun tak pernah. Tapi syukur Alhamdulillah dipertemukan jodoh yang baik buat saya,” tambahnya.
Mengimbas majlis persandingan di rumah keluarga isterinya, Zaim yang merupakan operator kilang berkata, dia tidak muncul di depan rumah seperti kebiasaan dilakukan pengantin lelaki.Tanpa perlu menaiki kereta, rombongan keluarga pengantin lelaki hanya berjalan beberapa langkah untuk ke rumah pengantin perempuan pada majlis persandingan.
“Saya dan pengapit keluar ikut pintu belakang rumah saya, dan berjalan beberapa langkah masuk pintu belakang rumah isteri sebelum ke pelamin di depan rumah.
“Saja buat begitu sebab di luar rumah kami ada khemah dengan ramai tetamu. Jalan ikut pintu belakang ni rasanya jalan lebih jauh sedikit,” ujarnya secara berselor0h.
Tindakan tersebut ternyata menimbulkan tanda-tanya dalam kalangan tetamu mengenai kehadiran pengantin lelaki sebaik paluan kompang berkumandang menerusi pembesar suara.
“Tiba-tiba pengantin lelaki muncul dari dalam rumah pengantin perempuan. Ada yang tanya pengantin lelaki mana? Pengantin lelaki asal mana?
“Rupa-rupanya pengantin lelaki tinggal sebelah rumah je. Alhamdulillah, rezeki saya dapat jodoh sebelah rumah,” ujarnya yang mengimpikan percutian bulan madu di Bali, Indonesia.
@eyda.rahm4n Tahniah satu²nye my adik lelaki 👩🏻❤️👨🏻 #justmarried #selamatpengatinbaru #adikbongsu #ZaimxTasha #fypシ ♬ original sound – 𝓔𝔂𝓭𝓪 𝓡𝓪𝓱𝓶𝓪𝓷 💋
@eyda.rahm4n 💞 Selamat Pengantin Baru 💞 #4beradik #mekakaksulung #adiklelaki #adikbongsu #ZaimxTasha #jodohsebelahrumah #jiran #justmarried #fypシ ♬ Selamat Pengantin Baru – Anita Sarawak
Antara reaksi ramai perkongsian video ini:
Baca Lagi Di Sini:
Jarak Usia 25 Tahun Bukan Penghalang, Takdir Bertemu Jodoh Dengan Cikgu Sendiri!
Jangan GELOJOH Dalam Mencari Jodoh, Nanti Menyesal & Kecewa Sepanjang Masa
Mingguan Wanita: Rezeki sungguh. Siapa sangka berjodoh dengan jiran yang betul-betul sebelah rumah. Selamat Pengantin Baru, buat pasangan ini semoga perkahwinan yang dibina berkekalan hingga ke akhir hayat.
Sumber: Mstar, TikTok eyda.rahM4n