Pasangan suami isteri ini bagaikan bertimpa-timpa ujian hidupnya. Meneruskan kelangsungan hidup sebagai pengutip besi buruk dan suatu hari, suami ditangkap kerana ada laporan mengatakan dia mencuri barang orang, yang disangkanya sudah dibuang.
Walaupun nampak melarat hidup mereka, akhlak di sisi tuhan mereka pelihara sebaiknya. Soal sedekah menjadi rutin sejak mula mendirikan rumah tangga. Tak pernah sekali pun dilupa akan dermanya. Ke tabung surau masjid itulah sedikit rezeki yang ada dikongsikan dengan orang lain.
Kisah pertemuan, Ustazah Asma Binti Harun dengan pasangan suami isteri ini benar-benar menyentak rasa. Biarpun ujian mereka hebat, tapi tidak sesekali mereka meminta-minta.
Malam ini saya menerima panggilan daripada seorang wanita, menangis teresak-esak, disamping kedengaran 2 anak kecilnya juga menangis.
“Ustazah, tolong kami.. Suami saya ditangkap tadi, ada report mengatakan suami mencuri barang orang, kami ingat besi tu barang orang tak nak, jadi kami ambik untuk dijual.”
Ujian mereka bertimpa-timpa. InsyaAllah ini hanya salah faham, doakan boleh selesai dengan baik esok. Mereka adalah pengutip besi buruk dan barang terpakai untuk kelangsungan hidup.
Pasangan ini Allah temukan beberapa hari lepas ketika sedang dalam kuliyah di sebuah surau. Waktu itu kelibat isterinya saya nampak menaiki anak tangga, lalu melakukan sesuatu di satu sudut dan bergegas turun. Saya minta izin daripada jemaah untuk berhenti sekejap lalu terus mengejar wanita tersebut yang telah masuk ke dalam kereta lalu menahannya.
Kereta yang hampir roboh. Tingkap semua dah tiada. Daun pintu dah tinggal rangka. Mata saya tertangkap kepada himpunan barang terbuang di bahagian tempat duduk belakang.
“Maaf tanya, akak buat apa tadi?”
Dengan wajah yang takut tergagap-gagap dia jawab, “Akak tak buat apa-apa, akak cuma bagi sedekah kat surau, masukkan duit dalam tabung tu.”
Bila saya palingkan wajah, ya Allah.. Memang benar ada tabung disitu. Allahu Allah… Orang susah seperti ini turut bersedekah..
Saya sedikitpun tidak syak dia mencuri dan lain-lain. Tujuan dikejar kerana nampak seperti orang susah yang memerlukan bantuan. Saya terus bertanya, “Akak perlukan bantuan tak?”
Cepat dia jawab, “Kami datang bukan cari bantuan, alhamdulillah Allah bagi cukup, kami boleh usaha, jangan bimbang.” Sambil 2 orang anak kecil di ribanya.
“Akak dan suami kerja apa?”
“Kami kutip sampah, barang terbuang, besi dan apa saja yang boleh dijual, suami OKU, accident takde orang nak ambik kerja, jadi inilah cara kami cari rezeki.”
Dalam keadaan kelam kabut, saya minta dia ambik no tel dan hubungi saya semula dan maklumkan bahawa bersama saya ada duit sumbangan orang ramai.
Dua hari menunggu akhirnya dia telefon, rupanya mereka sedang berfikir-fikir samada mereka layak atau tidak untuk terima bantuan.
Sesampai di rumah mereka, kosong tiada barang, ada longgokan alat bertukang, besi dan barang terbuang. Kami sama bersimpuh sambil bertanya lanjut.
Rupanya si suami sebelum ini kerja buruh kasar, jatuh daripada atap rumah 2 tingkat. Kerana itu jalannya dah tidak tegap, bermasalah pada tulang belakangnya. Manakala parut di tangan kesan accident kena langgar lari, ada beberapa besi dipasang. Sekarang masih buat kerja buruh, tapi semakin kurang orang nak ambik dengan keadaannya.
Sewa rumah tertunggak tak mampu untuk dibayar, begitu juga bil api bil air. Mereka memang benar susah, namun masih ada dalam rutin mereka bersedekah.
Bila ditanya, si isteri menjawab, “Kami dah amalkan daripada awal kahwin lagi, sebab itu pesan emak saya, setiap hari mesti buat sedekah, walaupun dengan RM1.” Allahu.. mereka betul berpegang dengan yakin.
Pasangan yang baik, menunaikan solat, boleh baca quran. Sebaik sampul dihulur, mereka masih ragu-ragu, berulang kali suami isteri ini bertanya : “Betul ke kami layak untuk terima bantuan?”, mereka bukan golongan yang suka meminta-minta.
Sekarang suaminya sedang ditahan di balai, saya juga tak boleh buat apa-apa malam ini, sekadar memberi kekuatan dan kesabaran kepada si isteri. InsyaAllah esok akan buat sesuatu untuk membantu. Mereka 3 beranak sangat bergantung hidup dengan pencarian suaminya.
Jika ada sesiapa yang ingin menyampaikn sumbangan, khusus kepada pasangan ini boleh pm saya (Ustazah Asma Binti Harun). Saya tidak boleh sertakan maklumat mereka secara terbuka disini supaya tidak timbul isu-isu lain.
Si suami pernah ada rekod jenayah ringan, pernah beberapa ketika di dalam tahanan, kes salah faham, bergaduh dan pukul. InsyaAllah dah berubah, dapat dilihat keikhlasan suaminya apabila berulang kali menangis sambil berdoa, berjanji dan mengucapkan terima kasih tanpa henti kerana percaya padanya.
Mereka bukan orang asal sini, bawa diri untuk tinggalkan tempat asal untuk mula kehidupan baru. Tidur tepi jalan dan merata tempat itu biasa bagi mereka. Jika ikutkan lagi mudah jika saya letak nama penuh dan acc no.
Suaminya. Tak perlu nak pm, sedang saya juga tidak punya banyak masa. Namun itulah permintaan mereka. InsyaAllah semua akan di PM.
Malam tadi saya sendiri dah hubungi i.o sarjan yang handle kes ini, mungkin kerana dah ada rekod jenayah, jadi cerita lain pula. Dia perlu direman beberapa hari, kecuali pengadu tarik balik. Doakan hari ini kami dapat jumpa pengadu, bincang di luar dengan cara baik.
Lokasi : Negeri sembilan. Urusan permohonan bantuan agak sukar, kerana mereka kerap berpindah. InsyaAllah mungkin di sinilah tempat tetap mereka.
InsyaAllah pihak berwajib telah menjalankan tugas mereka dengan baik. Saya pernah bertugas di agensi kerajaan dan bagaimana mereka melakukan tugas. Jadi usah kaitkan dengan mengatakan mereka tidak jalankan tugas. Anggap ini tanggungjawab bersama.
Saya hanya wakil sahaja.
Sumber/Foto : Asma’ binti Harun