“Ustazah, Saya Tak Bebankan Fikiran Tentang Jodoh, Sebab Ia Urusan Allah,”

Share

“Ustazah, Saya Tak Bebankan Fikiran Tentang Jodoh, Sebab Ia Urusan Allah,” itu antara petikan perkongsian perbualan antara selebriti Heliza Helmi dan pendakwah terkenal Ustazah Asma’ Harun.

Membuka lembaran tahun baru 2022, selebriti dan aktivis kemanusiaan, Heliza Helmi,35 telah melangsungkan pernikahan dengan jutawan muda, Datuk Sri Mahadi Badrul Zaman. Pasangan ini sah bergelar pasangan suami isteri dengan sekali lafaz pada 1 Januari 2022 jam 11.11 yang dilangsungkan di Masjid Tuanku Mizan, Putrajaya.

Ramai yang merasai kegembiraan dan turut mendoakan kebahagiaan buat pasangan pengantin baru ini. Apatah lagi majlis perkahwinan yang diadakan dalam suasana yang cukup sederhana, memenuhi syariat yang sepatutnya dalam mengadakan majlis.

Malah menerusi perkongsian coretan daripada Pendakwah terkenal Ustazah Asma’Harun banyak perkara yang menarik pada diri Heliza dan pernikahan selebriti ini yang boleh dijadikan panduan kita bersama;

Beberapa kali Allah izinkan kami bertemu, setiap kali itu dia suka minta doa, dengan gaya comel dan ceria, lalu saya doakan semoga dia dikurniakan seorang suami soleh yang memahami dan menyokong perjuangannya, dia aminkan bersungguh-sungguh. SubhanAllah, jodoh yang Allah tetapkan tidak cepat atau lewat, ia tepat pada waktunya.

SubhanaAllah, adinda Heliza Helmi yang mulia dan dihormati telah sah menjadi seorang isteri, entah kenapa tiap kali melintas gambar dan video pernikahannya mudah menitis air mata. Iya, bahagia dan sungguh bahagia melihatnya.

Benar, ramai yang kagum dengan sosok wanita bernama Heliza Helmi, dia macam kalis penat, kecaman dan sindiran, dia terus sahaja melangkah tanpa mengutip batu yang dilontarkan, walau masih bujang, langkahnya panjang. Namun, siapakah di sebalik beliau ?

MasyaAllah, Allah izinkan saya bertemu beberapa kali beliau bersama Ibunya, kali pertama ketika itu dalam tahun 2012, saya masih sebagai penjawat awam, Pegawai Hal Ehwal Islam yang diberi amanah menguruskan daripada awal hingga akhir persembahan artis jemputan untuk satu program peringkat Negeri, beliau salah seorang.

Ibu Sentiasa Menemani

Dalam bilik menunggu, dengan beberapa orang artis di dalam ruang tersebut, saya perlu menitipkan beberapa pesan, terutama bab etika persembahan dan pemakaian, supaya sesuai dengan acara. Beliau sungguh ceria dan memberikan kerjasama yang sangat baik, namun yang lebih menarik perhatian saya adalah ibunya yang sentiasa menemani, melayani dan menyediakan keperluannya.

Hinggalah saat saya seperti hari ini, dan Allah izinkan saya bertemu beliau dan bekerjasama dalam beberapa program, ibunya masih lagi setia bersama. Pernah satu hari saya berkata kepada dia dan ibunya, Heliza sentiasa dilihat tenang, kuat dan semangat kerana dia ada seorang Ibu yang sangat hebat, yang selalu mendokong dan mendoakannya. Begitu juga peranan Ayahnya, yang benarkan si isteri selalu menemani anak, sudah tentu ada bahagian pengorbanan besar si ayah. Mereka mainkan peranan sebagai Wali si anak dengan sebaik mungkin.

Kuasa dorongan Ibu dan Ayah adalah satu anugerah buat anak yang terpilih. Namun jika kita tidak memilikinya, Allah sentiasa ada untuk kita, pasti ada sesuatu yang akan mendorong kita jua.

Saya belajar sesuatu, saya ingin jadi ibu seperti itu, seperti ibu saya juga, yang berterusan mendidik saya hingga ke saat ini. Tidak ada istilah mengongkong, ia adalah satu sentuhan kasih tulus hati seorang ibu.

Tak Bebankan Fikiran Urusan Jodoh

Kerana itu di usia yang membimbangkan bagi wanita, Heliza tetap tenang dan ceria,

“Ustazah, saya tak bebankan fikiran saya tentang jodoh, sebab ia urusan Allah, saya fokus apa yang saya nak dan perlu buat setiap hari”

Dan kini, beliau berpindah dalam jagaan dan kawalan seorang Suami Dato’ Sri Mahadi Badrul Zaman, seorang pejuang di medan jihad ekonomi, semoga ia adalah satu gabungan yang memberi barakah dan kebaikan buat Ummah. Pasangan ini sunguh dilihat sangat harmoni.
Allahu Akbar.

Sahabat semua, sedarkah ada banyak perkara yang menarik pada dirinya dan pernikahannya.

1. Tidak Berinai

Pengantin yang bernama Heliza Helmi tidak berinai? atau sangat sedikit hingga tidak nampak inainya. Pada hari ni dimana para pengantin wanita mula berinai hingga pergelangan tangan, dilukis dengan ukiran bunga dan lain-lain. Beliau memilih sesuatu yang minimalis namun sangat manis.

2. Penampilan Minimalis

Solekan wajah yang sangat semulajadi hingga seperti tidak bersolek, pakaian, majlis dan pembawakan juga sederhana walaupun pasangan seorang jutawan.

3. Tiada Babak Romantis

Tiada babak romantik yang ditonjolkan, sifat malu itu telah mengindahkan semuanya. Tahniah buat keduanya. MasyaAllah. SubhanAllah, saya sebutkan begini bukan ingin merendahkan sesiapa, hanya untuk menyingkap kebaikan yang berada di hadapan mata sebagai satu renungan bersama.

Kenangan Jadi Pengantin 17 Tahun Lepas

Semua ni buatkan saya senyum sendirian. Bukan nak buat perbandingan atau persamaan, teringat 17 tahun lepas saat saya menjadi pengantin, emak ayah tak bagi pakai inai, larangan yang sama kepada kakak yang 3 bulan awal nikah daripada saya, larangan itu kekal hingga 6 adik beradik perempuan yang telah nikah, tinggal seorang lagi adik perempuan yang belum nikah.

Kenapa ?, itu juga soalan saya pada emak, bukan selalu, hanya untuk sekali seumur hidup, hanya untuk hari nikah, cuba memujuk. Emak Ayah tetap tidak membenarkan dengan pelbagai sebab.

“Asma’, memang khas untuk nikah, tapi inai tu makan masa untuk hilang, mungkin sebulan, sepanjang masa tu nak pakai sarung tangan ke, bila keluar, bukan semua orang tahu Asma’ tu pengantin baru. Apa orang fikir, berpakaian labuh menutup tapi tetap menarik, jari perempuan ni jika diletak inai memang nampak menarik, sebab tu ada pelbagai pewarna kuku, ia dah jadi satu solekan yang menarik, daripada hukumnya harus, bimbang jadi tabarruj, jagalah diri, selagi boleh elak maka elaklah..”

Panjang lebar emak menjelaskan.

Akhirnya kami semua terima dengan terbuka, ketika kecil setiap kali Hari Raya Eidulfitri memang rutin akan pakai inai daun yang ditumbuk campur dengan nasi putih. Emak kata, waktu kecilkan dah selalu berinai, cukuplah tu. Dah besar, sesuaikanlah.

Teringat keluarga kami, pengantin wanita memang tak dibenarkan langsung keluar daripada rumah, dan hanya pengantin lelaki sahaja boleh keluar. Sesiapa yang nak jumpa pengantin perempuan perlu masuk ke dalam rumah, dan hanya tetamu perempuan sahaja dibenarkan masuk.

Emak juga tak bagi saya letakkan sedikitpun solekan, gincu sangat sedikit, saya nakal letaklah sikit gincu pada pipi dan ratakan, nak nampak pipi kemerahan, terus emak perasan diminta saya lapkan, hanya boleh pakai bedak dan sedikit celak . Sedangkan hanya perempuan sahaja yang boleh tengok. Tapi, seri pengantin tetap ada, nama pun pengantin kan.

Bila ditanya kenapa, “Nak bersolek ke apa depan suami sahaja, tak usah nak raih pujian orang ramai”. Deep sungguh ayat emak.

Jika difikirkan, pada hari biasa, saya juga bebas keluar, semua anak perempuan belajar jauh, kebanyakan ke luar negara. Namun kerana faham, ini hari istimewa, jadikan ia betul-betul istimewa, hanya untuk yang istimewa. Kerana hakikatnya keredhaan Allah lebih utama daripada segala yang lain.

Bersalam dan sarung cincin pun dalam bilik disaksikan emak ayah dan adik baradik. Yang lain seperti cium dahi memang larangan keras. Pelamin semua tidak ada, bukan tidak mampu, tapi emak ayah tak mahu. Jika mahu juga, emak ayah benarkan dibuat dalam bilik sahaja. Perkataan yang selalu disebut emak ayah, berkat Allah paling utama.

Ketegasan Mak Ayah Dalam Mendidik Anak-Anak

SubhanAllah, begitu sekali emak dan ayah kami. Mungkin ada yang rasa emak ayah kami seperti ketinggalan zaman , tidak sebenanarya. Emak seorang guru sains mengajar subjek Fizik, ayah seorang Usahawan yang berjaya. Namun mereka, sedaya upaya mendidik kami supaya tidak mengikuti arus perubahan zaman dan menjadi contoh tauladan untuk kami. Ketegasan prinsip mereka itulah menjadikan kami masih seperti hari ni.

Hingga sekarang, kadang bermain dalam fikiran saya, bila tiba saat anak perempuan kami pula yang akan nikah nanti, bagaimanakah prosesnya, jika dibuat di dewan, mungkin kami akan hias indah satu bilik yang tertutup. Pelamin memang hanya untuk keluarga yang mahram sahaja. Begitulah yang saya bayangkan. Nampak sukar, tapi tidak mustahil. Moga Allah izinkan. Wallahu a’alam.

SubhanAllah, harap sahabat tidak salah faham. Ini bukan mengatakan bahawa perbuatan berinai dan yang lain-lain itu menunjukkan suatu yang kurang baik, tidak sekali. Saya hanya berkongsi satu sudut nilai pandang yang berbeza, yang mungkin tidak biasa, tapi ia masih diterima. Inai dan solekan, romantik juga bukanlah satu kewajipan hingga dikatakan pengantin tiada seri tanpanya.

Baiklah, dibawah saya kongsikan doa yang diajarkan oleh Nabi SAW, bila dapat berita dan melihat pasangan baru nikah terus doakan ini ya, janganlah kita mencemarkan dengan komen yang tidak manis walaupun ada yang kurang sedap pada mata kita.

DOA NABI BUAT PENGANTIN BARU

Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi SAW bersabda :

كَانَ إِذَا رَفَّأَ الإِنْسَانَ إِذَا تَزَوَّجَ قَالَ: «بَارَكَ اللهُ لَكَ، وَبَارَكَ عَلَيْكَ، وَجَمَعَ بَيْنَكُمَا فِي خَيْرٍ»
Jika mendoakan kepada seseorang ketika ia menikah, maka beliau bersabda “Semoga Allah memberi berkah kepadamu dan keberkahan atas pernikahan kamu, dan mengumpulkan kalian berdua dalam kebaikan”.(HR Tirmidzi, hadis sahih)

CARA WALIMAH YANG NABI AJARKAN

Daripada Anas r.a. beliau berkata;

قَدِمَ عَلَيْنَا عَبْدُ الرَّحْمَنِ فَآخَى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْنَهُ وَبَيْنَ سَعْدِ بْنِ الرَّبِيعِ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَوْلِمْ وَلَوْ بِشَاةٍ
Maksudnya: Abdurrahman datang kepada kami, lalu Nabi SAW mempersaudarakan antara dia dengan Sa’d bin Ar Rabi’. Lalu Nabi SAW bersabda, “Adakanlah walimah walau dengan seekor kambing biri-biri.” (HR Bukhari, hadis sahih)

CARA PERNIKAHAN NABI SAW BERSAMA ZAINAB BINTI JAHSY

Daripada Anas r.a., beliau berkata;

مَا أَوْلَمَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى شَيْءٍ مِنْ نِسَائِهِ مَا أَوْلَمَ عَلَى زَيْنَبَ أَوْلَمَ بِشَاةٍ

Maksudnya : Nabi SAW tidak pernah mengadakan walimah terhadap seorang pun dari isteri-isterinya sebagaimana walimah yang beliau adakan atas pernikahannya dengan Zainab. Saat itu, beliau mengadakan walimah dengan seekor kambing. (HR Bukhari, hadis sahih)

Alhamdulillah, moga bermanfaat.
ASMA’ BINTI HARUN

Baca Lagi Di Sini:
“Doakan Kami Melayari Bahtera Hidup Penuh Sakinah, Mawaddah Warahmah Sehingga Ke Jannatul Firdaus”

Mingguan Wanita: Ada benarnya coretan perkongsian daripada Ustazah Asma’ ini. Semoga menjadi manfaat dan panduan buat kita bersama dalam menegakkan syariat Islam.

Sumber: Ustazah Asma’Harun

Follow kami di :

Facebook : https://www.facebook.com/mingguanwanita
FB Grup Cerita Mak-mak Hari Ini : https://www.facebook.com/groups/ceritamakmak
Website: https://www.mingguanwanita.my/
Instagram : https://www.instagram.com/mingguanwanita/?hl=en
YouTube: https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial/featured
Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita?lang=en
Telegram MW: https://t.me/mingguanwanita

Published by
Suhaidah Abd Wahab