Disebalik setiap kekurangan yang ada, pastinya ada kelebihan yang cukup istimewa dimiliki.Walaupun tidak boleh melihat sejak lahir namun Ustazah Nor Hidayu Mohd Yusoff mempunyai semangat juang tinggi, sekali gus mahu membuktikan insan seperti dirinya mampu menyebarkan ilmu dalam pengajian al-Quran menerusi alam maya setiap hari.
Tidak mahu mengajar dan hanya menyebarkan ilmu kepada golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan lain senasib dengan dirinya, dia turut mencabar diri untuk membantu setiap lapisan masyarakat termasuk insan normal.
Nor Hidayu, 32, berasal dari Kuala Krai, Kelantan, berkata demi mencapai matlamatnya itu, dia perlu berani, sekali gus celik IT agar pengalaman dan pengetahuannya dalam pengajian al-Quran tidak disia-siakan.
“Kebiasaannya saya hanya menyertai pertandingan tilawah al-Quran peringkat kebangsaan, dan baru-baru ini saja aktif menyebarkan ilmu di media sosial dan FB Live (secara langsung) sejak awal tahun ini.
“Saya rasa ini tanggungjawab untuk mengaplikasikan pengetahuan dimiliki kepada masyarakat umum sekali gus membuktikan masyarakat OKU juga boleh walaupun tidak sempurna,” katanya ketika ditemui di Surau Al-Khautar, Bandar Baru Bangi di sini, semalam.
Nor Hidayu bersiaran langsung membaca al-Quran dan memberi tafsirannya serta beberapa segmen lain termasuk kelas tajwid, zikir dan bacaan surah pilihan di halaman FB Love Quran Group setiap jam 8.30 pagi hingga 9 pagi setiap hari.
Malah, halaman itu turut mempunyai segmen zikir yang bersiaran pada jam 5.30 petang selain segmen surah pilihan pada jam 9 malam.
Katanya, dia juga tidak menyangka inisiatifnya itu mendapat sokongan ramai bukan saja dalam kalangan penduduk sekitar Bandar Baru Bangi, di sini, malah pengikut Facebook yang tidak dikenali.
“Pada awalnya cuma ada 10 tontonan sahaja di halaman FB Love Quran Group ini, tetapi lama-kelamaan perkongsian saya mula mendapat perhatian warganet dan pengikut.
“Kini, jumlah tertinggi untuk satu video mencecah lebih 36,000 tontonan pada seminggu lalu dan mempunyai 7,000 pengikut serta 3,000 tanda suka,” katanya yang memiliki Sijil Tahfiz Malaysia (STM) dari Darul Quran, Kuala Kubu Bharu.
Menurutnya, dia dibantu lapan rakan di mana dua daripadanya adalah tenaga pengajar halaman itu, manakala selebihnya menyokong urusan media, kewangan dan program.
Katanya, pentadbir halaman FB berkenaan pula dibantu lapan rakan-rakan STM lain yang juga OKU penglihatan.
“Walaupun mempunyai kumpulan sokongan daripada pelbagai pihak antaranya Ahli Jawatankuasa Surau Al-Khautar, Persatuan OKU Berdaya Hulu Langat dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) lain, inisiatif ini turut berdepan cabaran.
“Sukar untuk mendapatkan keyakinan dan menarik minat penonton kerana itu kami menyediakan hadiah kepada penonton setia yang ditaja oleh sebuah syarikat telekung,” katanya.
Anak ketujuh daripada 10 beradik itu berkata, adakalanya dia juga pernah bersedih dengan nasib menimpanya termasuk tidak yakin dengan kebolehan dirinya.
“Walaupun begitu, kata-kata semangat dan dorongan diberikan keluarga, rakan dan peluang mengajar al-Quran kepada wanita di kalangan masyarakat setempat yang diberikan pihak surau membuatkan saya terus kuat untuk merubah kehidupan ke arah lebih baik.
“Malah, saya bercita-cita tinggi mahu membuka kelas mengajar al-Quran sendiri dan membuat studio mini supaya penyampaian di FB Live lebih baik,” katanya.
Berkongsi mengenai persiapannya sebelum bersiaran, Nor Hidayu berkata, tidak mudah untuk memasang sendiri peranti dan gajet apatah lagi ia memerlukan asas kemahiran teknologi.
“Antara peranti dan gajet yang perlu dipasang sebelum bersiaran termasuklah telefon pintar yang mesra OKU penglihatan, tripod, fon telinga dan audio cart yang saya beli menggunakan wang sendiri.
“Saya ambil masa dalam sebulan belajar bersama rakan sebelum mahir memasangnya sendiri tanpa dibantu,” katanya yang mahu setiap perkongsiannya memberi manfaat.
Orang ramai yang ingin turut serta belajar membaca al-Quran boleh melayari di laman web https://www.facebook.com/lovequrangroup/
Baca Lagi Di Sini:
Rezeki 9 Anak Hafal 30 Juzuk Al-Quran, Jaga Pemakanan Kunci Utama!
MW: Tahniah ustazah berani sahut cabaran. Ternyata kekurangan diri dari segi penglihatan bukan satu halangan untuk memberi manfaat dan berkongsi ilmu Al Quran pada orang lain. Semoga menjadi inspirasi golongan OKU yang lain juga.
Sumber: Hmetro