Biarpun direzekikan status gelaran Dato’ dan dilimpahi rezeki yang banyak, lelaki yang diceritakan kisahnya oleh Ustazah Siti Nafisah ini tidak lupa asal usul dirinya. Malah, sentiasa kaya dengan sedekah.
Pengalaman yang dilalui ketika dirinya berpeluang mengajar mengaji untuk keluarga besar ini. Semoga memberi manfaat.
Assalammualaikum,
Saya nak kongsi cerita keluarga bekas pelajar saya (ketika status ini dimuatnaik pada November tahun lalu. Maaflah cerita agak rumit untuk difahamkan.
Saya Ustazah yang ditugaskan untuk mengajar ngaji di rumah ini. 2 jam saya mengajar 8 orang pelajar. First time mengajar saya pun tak tau tu keluarga Dato, cumanya saya kagum sebab tak pernah masuk rumah 3 tingkat siap ada lift. Orang gaji ada 7 orang dan memang ada tugas masing-masing. Contoh bibik tukang masak tu memang masak je kerja dia.. ada yang mengasuh anak, ada yang pencuci baju tetamu. Memang hebat la kan, siap beruniform lagi. Driver pon 3 orang.
Pertama kali saya mengajar agak sukar untuk memahami situasi rumah tersebut dan saya cuba untuk fahamkan apa yang pelajar saya beritahu.
Dato tersebut telah berkahwin 4 orang isteri. Isteri pertama dan kedua bercerai, ada 3 dan 2 orang anak. Semua anaknya duduk di rumah tersebut, paling tua 18 tahun lelaki. Bekas isteri pertama ada anak dengan suami baru seorang. Anak tersebut turut duduk di rumah tersebut untuk belajar Ngaji dan datang ke situ untuk berkawan dengan anak-anak yang lain.
Isteri ke-3 umur 26 tahun, anak 2 masih kecil dalam 2 tahun dan 8 bulan. Isteri ke-4 berumur 19 tahun, anak sorang dalam 4 bulan. Saya cuma tanya kepada pelajar tu siapa? Then dia cakaplah tu mama, tu mommy… ibu saya ummi. Bayangkanlah pening kepala Ustazah nak faham mula-mula. Bila Tanya mana Sofea? Oh, kat rumah ummie, malam ni dia datang.
Saya cuma nak cerita betapa hebatnya Dato ni sebab, bagi dia kalau boleh anak-anak biar dia yang tanggung. Mak, ayah, adiknya pun ada duduk di situ. Bagi dia adiknya tak kerja pun tak apa asalkan tak menyusahkan orang. Tak lama kemudian adiknya yang lain dan adik ipar pun duduk situ. Rasa kagum sangat Dato’ ni boleh sara semua di bawah satu bumbung dan tak de pun dengar gaduh-gaduh.
Saya pernah join solat Maghrib kebetulan Dato’ ada, dia jadi imam dan anak-anak serta isteri-isterinya seolah-olah dah tau rutin untuk solat bersama. Pertama kali saya tersentuh dengar doa yang Dato’ baca sehingga menitis air mata saya. Subhanallah, hebat sangat. Antara doanya, dia bersyukur atas nikmat dan rezeki Allah yang sementara, dan jangan buatkan mereka lalai dan sombong atas rezeki yang diberi.
Saya tau tu Dato’ bila ternampak name card Dato’ semasa saya teman anak-anaknya mandi di kolam. Kalau takde orang besar teman anak-anaknya tak dibenarkan mandi kolam sebab anaknya baru 6, dan 8tahun.
Lagi tersentuh bila saya terlibat dengan kemalangan selepas 6 bulan mengajar mereka. Semasa di hospital saya maklumkan bahawa saya tidak dapat mengajar mereka. Teruk juga eksiden, 3 hari di hospital kajang.
Datin telefon saya dan beritahu bahawa driver dan maid dia datang ambil saya. Dia mahu saya dirawat di rumahnya. Saya tidak boleh jalan, sampai di sana saya duduk dikerusi dan staff lelaki semua angkat saya ke bilik tetamu.
Semua sedih tengok keadaan saya, di sana saya tak boleh makan dan hanya minum susu Dutch Lady sahaja. Hari pertama saya terdengar perbualan Dato’, dengan staffnya… dia tanya apa yang saya boleh makan. Dan dia suruh beli banyak-banyak untuk saya. Saya nampak dalam 20 karton susu Dutch Lady dorang beli khas untuk saya.
Hari ke-4 di sana saya tak bermaya lagi dan semua tak tau nak urus saya, saya minta untuk telefon tunang saya. Sebaik tunang saya sampai mereka bincang kemudian telefon ambulans KPJ Kajang untuk ambil saya. Dia beri cash 5 ribu kepada tunang saya untuk rawatan saya. Saya ingat lagi Datin tu pesan, “Tolong bawa Ustazah Ke hospital Swasta, mana-mana pun tak apa. Jangan hantar ke hospital kerajaan. Nanti kalau tak cukup telefon, Bagitau kami”.
Lepas ke KPJ saya dimasukkan air dan malangnya takde tempat kosong di sana. Selepas siap, ambulans hantar semula ke rumah dato’ untuk tunang saya ambil keretanya. Last-last telefon adik saya di KL untuk teman kami ke Kluang, Johor rumah saya.
Esoknya saya masuk KPJ kluang selama 5 hari dan sebulan bertongkat. Walaupun tak cukup untuk rawatan susulan, kami tak minta lagi dengan mereka. Cukuplah setakat itu, dan seterusnya saya berurusan dengan hospital kerajaan. Syukur sangat tak terkata dapat rezeki macam ni. Tak dapat balas jasa mereka, bagi mereka saya sudah seperti keluarganya dan perlu dimuliakan atas dasar guru kepada mereka. Subhanallah.
Sehingga kini saya masih berhubung dengan mereka. Cerita ini berlaku 4 tahun yang lepas. Walaupun kaya mereka tak pernah sombong malah mereka turut serta dalam kebajikan volunteer seperti banjir besar yang pernah berlaku di Kelantan dan Terengganu. Saya tahu pun setelah ibu kepada Dato’ beritahu saya, 100k juga 2x bantuan mereka beri seperti dalam bentuk makanan dan pakaian. Mereka taknak beri kepada orang ketiga katanya sebab takut bantuan tu tak sampai terus kepada mereka.
Saya kagum sebab Dato’ ni sebenarnya anak angkat dan tak lupa asal usul. Maaf cerita terlalu panjang, banyak pengajaran yang kita boleh pelajari. Yang baik datang dari Allah, yang buruk dari saya sendiri.
MW : Alhamdulillah.. makin kita bersyukur makin berganda rezeki Allah beri.
Sumber/Foto : Siti Nafisah