Ustazah Asma Harun & Suami Galas Tugas Pembimbing HAJI Buat Pertama Kali

Share

Pada ketika ini merupakan kemuncak kepada ibadah haji melibatkan pergerakan jemaah haji Malaysia ke Arafah, Mina, Muzdalifah dan Makkah selama lima hari bermula 8 hingga 13 Zulhijjah bagi menyempurnakan ibadah rukun dan wajib haji.

Bagi yang tidak menunaikan haji pula amat digalakkan untuk melakukan puasa Sunat Tarwiyah iaitu pada 8 Zulhijjah dan puasa Arafah pada 9 Zulhijjah. Malah selain berpuasa turut digalakkan berdoa pada petang hari Arafah kerana ia merupakan waktu berdoa yang paling mustajab doa dimakbulkan.

Ustazah Asma Harun antara jutaan jemaah haji yang terpilih menunaikan haji pada tahun ini. Malah lebih manis, ia juga merupakan pengalaman kali pertama beliau dan suami menggalas tugas sebagai petugas/ pembimbing tabung haji.

Berikut antara yang sempat dikongsikan oleh Ustazah Asma Harun perjalanannya di tanah suci ketika ini.

Kami datang kali ini bagi menjalankan tugas sebagai Pembimbing Haji. 13 Jemaah kami dan 15 Jemaah Ustaz @Johari Abdul Wahab, beliau selaku Pengurus dan Pembimbing utama seluruh Jemaah.

Kami merendah diri, mohon kemaafan sedalamnya kepada Jemaah yang tidak dapat kelulusan Visa Haji, setelah kami bertungkus lumus sedaya upaya, maka kami juga amat sedih, namun tidak akan sama dengan pilunya hati kalian. Kami akan bawa doa dan nama kalian disini. Semoga atas segala niat dan nekad kalian itu, Allah tetap kurniakan pahala yang sebanding, bahkan lebih berganda lagi.

Terhalang Menunaikan Haji

Begitu juga buat semua yang terhalang dengan apa jua sebab, moga terus sabar dan yakin bahawa anda akan tiba jua sebagai Jemaah Haji. Ramai sangat sebenarnya, setelah rayuan melalui Tabung Haji tidak lulus, mereka tetap berusaha sedaya upaya kumpul belanja untuk pergi melalui pakej.

Kami jadi saksi kesungguhan mereka, dan kami juga usahakan laluan ini bukan kerana keuntungan, bahkan bila saat akhir pelbagai kos naik, akhirnya kami benar-benar datang sebagai pembimbing Haji. Moga keuntungan yang hakiki Allah kurniakan di Akhirat, ameen ya Rabb.

Mohon doa kalian agar segala urusan kami disini diberikan Rahmat Pertolongan Allah SWT.

Pada hari Tarwiyah (Esok, Isnin 8 Zulhijjah) disunatkan berpuasa bagi bukan jemaah Haji, dituntut memperbanyakkan doa dan membaca talbiyah ketika menuju Mina, melakukan solat Zuhur, Asar, Maghrib, Isyak dan Subuh secara Qasar tanpa Jama’.

Allahu Akbar.. kami mendoakan buat kalian yang membaca #CatatanHajiUAH ini akan diberikan rezeki untuk menjadi Tetamu Allah di Tanah Suci untuk Haji, Umrah dan Ziarah Rasulullah SAW.

Tengku Fazli bin Tengku Yahya & Asma binti Harun
Petugas dan pembimbing Haji 1444H

Selebriti Lain Tunaikan Rukun Islam Kelima

Selain itu, antara selebriti yang turut berkesempatan diberi rezeki untuk menunaikan rukun Islam kelima pada tahun ini ialah Pengacara Nurul Syuhada Nurul Ain, Pelakon Zul Ariffin, Lisdawati, Anne Ngasri, Ustazah Asni Mansor, Hafiz Mahamad dan isteri.

DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut sama menunaikan ibadah haji pada tahun ini.

Sama-sama kita doakan semoga para jemaah haji yang berkesempatan menunaikan ibadah haji ini diberikan kesihatan yang baik untuk melaksanakan semua rukun haji serta mendapat haji yang mabrur.

Mesti Baca:Kelebihan Hari Arafah, Inilah Senarai Doa Dan Waktu Paling Mustajab Untuk Mohon Pada Allah
Baca Lagi Di Sini:Pengacara Nurul Syuhada & Suami Tunaikan Haji, Doa Dipermudahkan Perjalanan Ibadah

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.

Published by
Suhaidah Abd Wahab