Musim penyakit Inluenza ini sedikit membimbangkan mak ayah, terutama yang ada anak kecil, yang sakit, daya tahan penyakit lemah, orang tua malah ibu yang mengandung sekalipun.
Sehingga hari ini saja beberapa anak kecil sudah dijemput Ilahi, selepas beberapa hari diserang virus demam Influenza. Malah, bekalan vaksin influenza juga semakin terhad. Di Selangor saja jumlah pesakit yang dijangkiti Influenza semakin meningkat.
Jadinya mak ayah, selain ikhtiar jaga kesihatan diri, jaga kebersihan, ambil suntikan vaksin Influenza, sebaiknya mohonlah juga perlindungan daripadaNya.
Sebagaimana yang dikongsikan oleh Ustaz Farid Rashidi ini, ada doa yang boleh mak ayah baca malah hafaz untuk memohon padaNya agar dihindari dari bencana sebegini.
Doa Hindari Bencana, Wabak Influenza
Kata Ustaz, “Sekarang ni kan musim wabak Influenza. Bagi yang ada anak-anak, sudah tentu ibu bapa pakat risau.
Bukan saja wabak penyakit, juga memohon dihindarkan bala bencana lainnya juga.
Apa kata, mari kita sama-sama amalkan doa ini. Yang dah hafaz Alhamdulillah. Yang nak hafaz, silakan.”
.
Begini bunyi doanya:
Allahumma inni a’uuzubika min jahdil bala’. Wa darkish shaqa’. Wa suu il qadha’. Wa shamaatatil a’da’.
Maksudnya:
“Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari bala atau bencana, kesukaran hidup, buruknya takdir serta hinaan atau cemuhan orang-orang yang memusuhi.”
[Sahih Bukhari]
Marilah berkongsi doa yang baik ini. Diizin share ya.
MW : Pendek saja doanya, semoga cepat lekat di hati mak ayah.
Artikel berkaitan : Air hidung keluar ‘non stop’, rupanya positif influenza, terus kena kuarantin
Sumber/Foto : Farid Rashidi, #UFR
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Pinjam Hampir RM100 Untuk Teruskan Hidup Sementara Tunggu Gaji Masuk…” Isu Guna Duit Raya Anak
“Guna dululah duit raya anak, nanti gantilah…”
Haaa… perkara ini selalu berlaku dalam masyarakat kita. Lagi dahsyat, ada yang menggunakan duit raya anak-anak untuk membeli sport rim, spoiler dan lain-lain. Agak-agak boleh ke guna duit raya anak-anak untuk kepentingan diri?
Sebenarnya tak baik kita sebagai ibu bapa ‘makan’ duit yang orang telah berikan kepada anak-anak kita. Kalau terlalu terdesak, kita gantikan semula. Jangan buat-buat lupa, bimbang di akhirat kelak kita akan ditanya kenapa tidak amanah.
Namun baru-baru ini tular pula kenyataan dari seorang guru, Mohd Fadli Salleh yang menulis isu ini dari sudut berbeza. Jangan kecam dulu, jemput baca dan berfikir sekejap. Kenapa kenyataan beliau sebaliknya…
Boleh Guna Tak Duit Raya Anak?
Ada beberapa status menyelar ibu bapa yang guna duit raya anak-anak untuk buat belanja sementara tunggu gaji. Haram kata mereka.
Lebih pedih, ayat menikam marahkan ibu bapa tak buat simpanan. Tak buat perancangan rapi sebelum dan selepas raya. Boros, tidak bertanggungjawab dan mengambil kesempatan pada anak sendiri mentang-mentang mereka kecil lagi.
Baik pakar kewangan, tabungan dan simpanan sekalian. Meh sini Cikgu Korea nak sekolahkan kau orang. Kau baca dan hadam baik-baik.
Kau sedap menulis, kau sedap berkata, kau sedap menyindir dan mengata sebab kau tak rasa. Itu point utama.
Kau punya income lebat, kau punya simpanan banyak, maka kau kutuk hina pula mereka yang pendapatan rendah serta tak punya tabungan dan simpanan macam kau. Ini sangat tak kena.
Kau bicara kau mampu beli rumah walau gaji baru 2500. Kau cerita kau mampu buat saving hingga seribu sebulan dan mampu rancang perbelanjaan dengan baik sempena raya.
Cuba Faham ‘Kotak Kasut’ Orang Lain
Perbandingan kau tak kena. Kau tak lihat dari kaca mata orang yang punya anak ramai, punya tanggungjawab besar pada orang tua, adik-beradik dan anak-anak. Belum cerita bab komitmen hutang lagi yang bertambun banyak.
Bukan semua orang berhutang untuk berjoli. Kebanyakan mereka korbankan duit gaji baiki rumah ibu bapa. Hantar mak ayah pergi haji. Tanggung adik-adik di kampung disamping jaga keluarga sendiri.
Maka usahkan nak menyimpan, nak survive setiap bulan pun satu cabaran.
Dan kau terus menyindir mereka. Sedangkan kau tidak merasa.
Musim raya ini, kau terus dengan sindiran untuk ibu bapa yang guna duit raya anak-anak pula. Kejam kata kau. Haram kata kau. Ibu bapa tak bertanggungjawab dan mengambil kesempatan pada kau.
Itu kau kata sebab kau tak rasa. Itu kau perli sebab kau tak lalui.
Aku sendiri secara peribadi pernah guna duit raya anak suatu ketika dahulu.
Isteri dan anak-anak lain ada di kampung. Duit belanja memang dah rancang, tapi perlu guna sedebuk untuk sesuatu hal luar jangkaan. Kes kecemasan yang tak boleh elak, maka habis segala duit yang ada.
Pinjam Duit Raya Anak Dulu
Mujur ada duit raya anak-anak kat rumah. Aku pinjam hampir RM100 untuk teruskan hidup sementara tunggu gaji seterusnya ganti balik.
Masa itu aku terfikir, bagaimana mereka yang punya anak 7-8 orang survive sementara tunggu gaji. Aku yang masa tu duduk membujang sebab isteri berpantang pun terasa peritnya bila sampai waktu tersepit.
Maka pada aku, boleh saja ibu bapa guna duit raya anak-anak. Nanti ganti la balik bila ada duit.
Nak meminjam merata, orang lain pun bukan ada duit juga. Yang ada pun tak berapa nak bagi. Paling penting, air muka sewaktu meminta itu umpama pengemis pula.
Kadang disindir dan diperli hanya kerana nak pinjam RM50. Hinanya rasa pada waktu itu hanya Tuhan yang tahu.
Ye lah. Kau mana tahu. Kau mungkin tak merasa itu semua. Kau kan bijak merancang perbelanjaan. Kau kan hebat menyimpan. ?
Aku tahu sebahagian mereka ini hebat dalam pengurusan kewangan. Maka kau kongsilah tips menabung, kongsi tips mengurus kewangan tanpa perlu perli dan hina mereka yang guna duit raya anak untuk teruskan kehidupan.
Banyak masalah yang mereka lalui kau tak pernah pun tahu. Kau tak pernah pun ambil peduli. Banyak kesakitan dan kesengsaraan kau tak pernah rasa.
Maka sangat tidak adil kau menghukum mereka hanya kerana mereka guna duit raya anak. Sangat tidak adil dan khianat!
Jangan menilai orang tanpa tahu kisah hidup mereka. Jangan!
Berkongsi saja tips yang kau tahu secara umum untuk manfaat semua. Berkongsi tips dan cara tanpa menyindir dan menyakiti sesiapa.
Apa Kata Hakak
Ya, boleh gunakan duit raya anak-anak sekiranya dalam keadaan terdesak seperti bekalan elektrik hendak dipotong sebab tak bayar. Yang mana masalah itu juga akan mendatangkan kemudaratan kepada anak-anak. Jadi boleh gunakan duit raya anak-anak untuk membayar bil elektrik. Cuma kenalah niat nak ganti balik, walau sikit-sikit.
Mak ayah kena lah bantu anak-anak menyimpan duit raya di akaun simpanan mereka. Bila dewasa kelak, bolehlah mereka gunakan duit simpanan itu untuk pendidikan, beli barang keperluan sekolah dan lain-lain.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
6 Perkara Yang Wanita Selalu Rahsiakan Pada Suami, Lelaki Tolong Ambil Tahu Kalau Betul Sayang Bini!
Wanita sememangnya suka simpan rahsia apatah lagi dengan pasangan yang dicintainya. Sikap ini terbawa-bawa hingga golongan lelaki melabelkan kaum hawa sebagai wanita misteri.
Pada dasarnya, setiap wanita ingin pasangan mereka memahami mereka, namun mereka tidak pernah sekali pun cuba berterus-terang.
Mereka lebih selesa pasangan memahami mereka secara natural, tetapi kaum lelaki yang kerap bertindak mengikut logik jarang dapat meneka rahsia atau apa yang berada di fikiran seseorang wanita. Jadi mereka lebih rela terus-menerus memendam perasaan dan merahsiakan apa yang mereka rasa. Apakah rahsia yang sering kali wanita rahsiakan daripada pengetahuan anda?
1. Nak pasangan yang rajin uruskan hal rumah tangga
Wanita sememangnya dapat melakukan tugas tanpa mengharapkan bantuan sesiapa. Biar pun memiliki kerjaya yang hebat, di rumah mereka masih mampu menguruskan rumah tangga dengan baik iaitu memasak, mengemas serta menguruskan anak kecil. Biar pun ada yang menggelar isteri anda superwoman, namun dalam masa yang sama tahukah anda bahawa isteri sebenarnya sangat berharap anda dapat menghulurkan bantuan bagi meringankan bebanannya di rumah. Belajar ringan tulang dan bantu mereka walau apa pun keadaan mereka.
2. Nak dipujuk setiap kali marah
Setiap kali marah, wanita akan cuba menyembunyikan kemarahannya dengan mendiamkan diri. Sebenarnya mereka sedang memberi tempoh untuk anda memujuknya. Ungkapan “minta maaf” merupakan perkataan keramat yang sedang dia nantikan kala ini. Sekiranya anda mengambil jalan tengah dengan memohon maaf atau membelikan sesuatu yang istimewa, pasti hati wanitanya akan cair.
3. Cukup takut kehilangan suami
Kebiasaannya wanita akan melakukan mogok atau mendiamkan diri apabila marah seterusnya berpura-pura seperti tiada masalah yang melanda. Walaupun hubungan anda dengannya baik-baik sahaja, namun wanita sering kali dilanda perasaan gusar jika suatu hari nanti dia bakal kehilangan anda. Sebagai pasangan, wajar anda belajar menghargai mereka. Biar mereka rasa selamat ketika berada di samping anda.
4. Lelaki pandai memuji dan jaga hati
Isteri anda cukup gemar memasak, tanpa disuruh dirinya akan menyiapkan juadah untuk anda sekeluarga setiap hari. biarpun telah menjadi rutin hariannya memasak. Namun sebagai pasangan yang prihatin, pujilah masakan isteri anda tanda anda mengambil hati. Malah, sikap anda yang sebegini bakal membuatkan sang isteri semakin bersemangat untuk menyajikan juadah terbaik untuk anda. Pujian yang ikhlas akan membuatkan hubungan kalian bertambah erat.
5. Bila suami tak pernah berahsia
Selain memahami keadaan dirinya, wanita juga bijak membaca tingkah laku dan gerak tubuh pasangannya. Jadi awas jika anda berniat untuk berbohong. Wanita mudah mencium perlakuan negatif anda, jadi hentikanlah hari ini. Sikap yang paling positif adalah dinasihatkan agar anda sentiasa berterus-terang dan bersifat terbuka dengan pasangan.
6. Kejutan, biarpun kecil tapi besar maknanya
Wanita sememangnya gemarkan kejutan, apatah lagi daripada pasangan yang disayangi. Tidak perlu keterlaluan, hanya sekadar memberi sesuatu yang istimewa sempena hari lahirnya atau ulang tahun perkahwinan kalian, pasti dia sangat terharu.
Tidak percaya, cubalah!
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Nak Tahu Anda Tergolong Dalam Kategori Bidadari Dunia Atau Syurga, Sila Baca 3 Pengajaran Hadis Ini!
Isteri yang selalu tak puas hati dengan layanan suami memang pelik. Kalau marah tak bertempat. Depan kawan atau saudara mara sesuka hati aibkan suami sendiri. Tetapi apabila masalah berakhir. Benci itu jadi sayang, berpeluk lagi sampai terlupa mulutnya galak mengata suami dengan maki hamunnya yang melampau.
Tabiat kasar isteri kepada suami di tempat awam kadang-kadang membuat orang yang melihat rasa geram. Bagaimana pula jika yang melihat para bidadari? Rasulullah SAW bersabda:
“Jika seorang isteri menyakiti suaminya di dunia maka bakal isterinya di akhirat dari kalangan bidadari berkata: Janganlah engkau menyakitinya, semoga Allah mencelakakan kamu, dia hanya sementara bersama kamu, sebentar lagi dia akan berpisah dan kembali kepada kami.” (Hadis riwayat Imam Al-Tirmizi dan Ibnu Majah)
Pernahkah anda bayangkan bidadari berkata-kata ketika terjadinya konflik dalam rumahtangga?
Bukan bermaksud membela para suami dan menganggap semua suami betul. Tetapi hadis ini hanya berlaku apabila suami dizalimi oleh isteri!
Kalaulah sekiranya isteri yang dizalimi maka hadis ini tidak akan berlaku!
Agama kita menggesa supaya dilakukan dialog secara berhemah dan bertakwa apabila berlakunya konflik. Tidak mungkin perkahwinan terbebas dari ujian, sedangkan Rasulullah SAW pernah bersedih disebabkan perbuatan isteri-isteri baginda yang langsung ditegur Allah melalui ayat-ayat Al-Quran.
Sesungguhnya kehidupan rumahtangga Rasulullah SAW menjadi teladan kepada kita, sedangkan Nabi pernah bersedih inikan lagi para suami biasa!
Pengajaran Dari Hadis Tentang Bidadari Untuk Suami
1. Bukan saja perempuan berhati lembut dan cepat terasa, suami juga sama. Jangan disangka wajah yang tenang itu tidak menyimpan luka, lelaki biasanya tak tonjolkan perasaan walaupun sakit hati dengan perbuatan isteri.
Jangan merasa perempuan saja yang banyak memaafkan pasangan, boleh jadi suami lebih banyak lagi. Dia diam untuk menghindari perang dan dia tak mampu mengatasi perang itu kerana peperanganya di luar rumah belum ditumpaskan.
Kerja mencari nafkah itu bukan perkara mudah, suami memilih untuk menyerah kalah bila berada di rumah agar dia mendapatkan kerehatan selepas tercedera mental dan fizikal di luar rumah.
Jangan lupa hati suami kerana anda terlalu fikirkan hati sendiri, jangan lupa emosi suami ketika anda sibuk mengubat luka emosi sendiri!
2. Bidadari di dunia lagi berbahaya dari bidadari di akhirat. Konflik rumahtangga akan membuka peluang bidadari lain masuk ke hati suami.
Suami beriman sememangnya berusaha menjaga kesucian hati, menghindar jika wanita lain cuba mendekati, menutup pintu-pintu ke arah zina dan maksiat tetapi bukankah dia manusia biasa yang sesekali mungkin terlupa?
Jika ada wanita yang lebih solehah, penyayang dan pemaaf apakah anda akan sentiasa di hatinya? Jika isteri mempunyai tabiat maki hamun tetapi teman wanita amat santun, bagaimana isteri boleh menolong suami supaya tidak beralih hati? Sampai bila suami boleh tunggu isteri berubah sedangkan isteri tak hargai kemaafan suami?
Isteri-isteri Nabi SAW pernah diancam dengan turunnya ayat ke 5 surah Al-Tahrim yang bermaksud:
“Jika Nabi menceraikan kamu, boleh jadi Tuhannya akan menggantikannya dengan isteri yang lebih baik daripada kamu, yang patuh, yang beriman, yang taat, yang bertaubat, yang beribadat, yang gemar berpuasa, yang janda dan perawan.”
Benarlah realitinya bahawa suami anda bukan Nabi jadi tak payah risau dengan ancaman ini, tetapi setiap peristiwa yang terjadi pada diri Nabi wajib dijadikan teladan dan contoh dalam kehidupan kita.
Diulangi lagi hakikatnya ayat ini hanya untuk suami yang dizalimi jika sebaliknya isteri yang dizalimi maka ayat ini tidak berlaku!
Malangnya isteri akan kata dia yang dizalimi dan tidak mengaku dia yang menzalimi suami. Tak kan setiap konflik isteri saja yang betul? Oleh itu, setiap pertengkaran yang terjadi eloklah setiap pasangan sentiasa mencari kesilapan sendiri sebelum menuduh.
Dan alangkah cantik jika isteri sentiasa mengingati ayat yang pernah menumpahkan air mata bonda kita ummul mukminin Hafsah dan Aisyah RA ini!
3. Hadis tentang bidadari ini sebenarnya satu suntikan semangat untuk para isteri berlumba-lumba menjadi yang terbaik sebaik bidadari syurga tanpa menafikan fitrahnya adalah manusia biasa!
Jangan biarkan anda dipengaruhi oleh suntikan motivasi yang tak masuk akal, seperti menuntut kepatuhan yang membuta tuli kepada suami walaupun suami zalim! Kezaliman suami mesti diubah bukan ditaat, ia bukan ketaatan tapi kebodohan akibat buta agama! Agama kita tidak ajarkan wanita menjadi hamba kepada lelaki, isteri bukan hamba suami tetapi umpama saudara kandung yang berdiri sama tinggi duduk sama rendah.
Anda bukan bidadari syurga yang kerjanya taat dan patuh kepada lelaki ahli syurga, anda hanya bidadari dunia yang patuhnya terbatas hanya apabila suami bercirikan lelaki ahli syurga bukan ahli neraka!
Tulisan: Dato Dr Haji Juanda Haji Jaya & Datin Shanti Achmad Ramly, Perunding Undang-undang Keluarga Islam
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI