Melakukan Solat Jamak dan Qasar merupakan suatu kemudahan dan sangatlah digalakkan sekiranya berada dalam perjalanan yang jauh. Namun sebelum melakukan solat ini, perlu juga ambil tahu dan menepati syarat-syarat yang harus dipenuhi. Menurut perkongsian oleh Ustaz Syed Shahridzan, syarat yang keempat iaitu tidak berniat menetap selama empat hari atau lebih di tempat yang dituju, ramai yang salah faham.
Berikut antara penjelasan oleh beliau sebagai rujukan;
SALAH ERTI HUKUM JAMAK DAN QASAR
Allah SWT memberi dua kemudahan kepada orang yang bermusafir untuk melaksanakan solat iaitu JAMAK dan QASAR.
Untuk seseorang itu mendapat kelayakan rukhsah(keringanan) solat musafir(jamak dan qasar) mestilah menepati beberapa syarat. Berikut adalah syarat-syarat yang dimaksudkan:
Pertama:
Mestilah berada di dalam keadaan bermusafir iaitu perjalanan ke destinasi sekurang-kurangnya dua marhalah.
Kedua:
Perjalanannya telah melepasi pagar qaryah(boleh diterjemahkan sebagai kawasan kampung, taman perumahan, mukim atau daerah mengikut uruf setempat).
Ketiga:
Tidak mengikuti imam solat yang bermukim jika ingin mengqasarkan solat.
Keempat:
Tidak berniat menetap selama empat hari atau lebih di tempat yang dituju selain pada hari mula sampai dan pada hari akan keluar dari destinasi.
Syarat ke-4 merupakan perkara yang PALING DISALAH ERTIKAN oleh ramai orang. Sehingga mereka menyangka jika sudah merancang untuk menetap di sesuatu tempat (contohnya) 2 minggu, maka menyangka masih boleh menjamak dan mengqasarkan solat dalam tempoh tiga hari. Sedang ia adalah sangkaan yang salah dan tidak bertepatan dengan apa yang termaktub di dalam kitab-kitab Fiqh Mazhab Syafi’ie.
Jika seseorang yang menetap (contohnya) di Shah Alam merancang untuk berada (contohnya) di Kota Bahru selama 7 hari. Maka dia hanya dibenarkan untuk menjamak dan qasar ketika dalam perjalanan sahaja dan setibanya di destinasi dia sudah menjadi orang yang bermukim.
MENGAPA TIDAK BOLEH LAGI JAMAK DAN QASAR?
Ini kerana apabila seseorang itu berazam untuk menetap (contohnya) di Kota Bahru lebih dari 3 hari, ini bermakna ia telah berniat bermukim di destinasi itu. Apabila dia sampai ke destinasi tersebut maka dia sudah mendapat status orang yang bermukim bukan lagi musafir. Sedangkan rukhsah(keringanan) solat musafir hanya diizinkan oleh Allah Ta’ala bagi orang yang berstatus musafir, sepertimana Allah berfirman di dalam surah al-Nisa’, ayat 101:
وإذا ضربتم في الأرض فليس عليكم جناح أن تقصروا من الصلاة} النساء: 101}
Maksudnya: “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa “mengqasarkan” (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir.”
Permasalahan ini telah dijelaskan oleh Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalam karangannya ‘Mihaj al-Tolibin’, menurut beliau:
Ads
ولو نوى إقامة أربعة أيام بموضع انقطع سفره بوصوله، ولا يحسب منها يوما دخوله وخروجه على الصحيح
Maksudnya: “Jika seseorang berniat mukim(iqamah) selama 4 hari di destinasi maka terputus (hukum) musafirnya dengan ketibaannya (di destinasi) dan tidak dikira dari tempoh itu hari dia masuk (ke destinasi) dan keluar (dari destinasi) menurut pendapat yang sahih.”
Menurut kenyataan Imam Nawawi di atas, tempoh seseorang itu mendapat status mukim ialah 4 hari, jika seseorang itu berazam atau berniat untuk menetap (contohnya) Kota Bahru selama 3 hari atau kurang dari itu, maka dia masih boleh melakukan solat musafir(jamak & qasar) selama tempoh itu walaupun sudah sampai atau berada di destinasi. Ini kerana dia masih dalam keadaan musafir .
APAKAH MAKSUD ‘TIDAK TERMASUK HARI KELUAR DAN MASUK’?
Menurut mazhab Syafi’ie, tempoh untuk menentukan seseorang itu berstatus mukim ialah menetap di sesuatu tempat selama 4 hari(24 jam darab 4) atau lebih, tetapi tidak dikira hari perlajanan ke destinasi dan hari pulang.
Sebagai contoh:
Situasi 1:
“Ahmad akan bercuti di Kota Bahru selama 6 hari iaitu dari hari Isnin hingga Sabtu. Menurut perancangan, Ahmad akan bertolak dari Shah Alam pada hari Isnin dan akan bertolak pulang dari Kota Bahru pada hari Sabtu. Jadi tempoh sebenar Ahmad berada di Kota Bahru ialah 4 hari setelah tolak hari pergi dan pulang. Menurut kiraan tersebut, Ahmad secara otomatik telah berniat bermukim di Kota Bahru iaitu selama 4 hari(Solid). Dengan ini, setiba Ahmad di Kota Bahru beliau tidak boleh lagi solat musafir.”
Situasi 2:
“Berlainan pula jika Ahmad akan bercuti di Kota Bahru selama 5 hari iaitu dari hari Isnin hingga Jumaat. Menurut perancangan, Ahmad akan bertolak dari Shah Alam pada hari Isnin dan akan bertolak pulang dari Kota Bahru pada hari Jumaat. Jadi tempoh sebenar Ahmad berada di Kota Bahru ialah 3 hari setelah tolak hari pergi dan pulang. Ini bermakna Ahmad masih lagi berstatus musafir meskipun sudah tiba di Kota Bahru kerana keberadaannya di sana kurang dari 4 hari.”
APAKAH DALIL MAZHAB SYAFI’IE TENTANG TEMPOH MUKIM BERDASARKAN 4 HARI?
Ia berdalilkan sepotong riwayat yang diriwayatkan di dalam Sahih Imam Bukhari dan Muslim(dengan lafaz Imam Muslim):
عن الْعَلَاءَ بْنَ الْحَضْرَمِيِّ، يَقُولُ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: «لِلْمُهَاجِرِ إِقَامَةُ ثَلَاثٍ بَعْدَ الصَّدَرِ بِمَكَّةَ»، «كَأَنَّهُ يَقُولُ لَا يَزِيدُ عَلَيْهَا»
Maksudnya: Saidina al-‘Ala bin al-Hadrami Radiyallahu ‘anhu berkata, ‘aku mendengar Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda’, “Mukim bagi Muhajir selama 3 hari di Mekah selepas kembali dari Mina”, ‘Seolah-olah Baginda menyatakan tidak lebih dari tempoh itu’.
Menurut Imam Ibn Hajar al-‘Asqallani di dalam Fathul Bari, Hadith ini memberi maksud bahawa Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam melarang golongan Muhajirin –Radiyallahu ‘anhum- bermukim di Mekah sebelum pembukaan kota tersebut.
Menurut Imam Nawawi pula(juga dalam Fathul Bari), hadith ini menjelaskan bahawa Baginda Sallallahu ‘alaihi wa sallam mengharamkan golongan Muhajirin bermastautin di Mekah.
Menurut Imam Ibn Hajar lagi:
ويستنبط من ذلك أن إقامة ثلاثة أيام لا تخرج صاحبها عن حكم المسافر
Maksudnya: Pengajaran yang boleh diambil dari itu(hadith), sesungguhnya menetap selama tiga hari tidak mengeluarkan seorang itu dari hukum musafir.
Ads
Berdasarkan hadith sahih di atas dan penjelasan dari kedua-dua imam menunjukkan bahawa tempoh menetap yang melebihi dari tiga hari(iaitu 4 hari dan ke atas) adalah tempoh yang tidak melayakkan seseorang menjadi seorang musafir.
Hadith dikuatkan lagi dengan tindakan Saidina Umar al-Khattab Radiyallahu ‘anhu yang tidak membenarkan golongan kuffar ahli zimmah menetap di bumi Hijaz dan beliau membenarkan para peniaga dari kalangan ahli Zimmah menetap selama tiga hari sahaja.(Rujuk: al-Talhis al-Habir)
Selain itu sepertimana yang diriwayatkan oleh Imam Malik di dalam al-Muwatta’ (Riwayat Muhammad bin al-Hasan) bahawa Saidina Umar membenarkan golongan Yahudi dan Nasrani berada di Madinah selama tiga hari untuk mendapatkan keperluan mereka dan tidak boleh seorang di antara mereka menetap lebih dari tempoh tersebut. (Rujuk: Ifadah al-Raghibin)
Tindakan Saidina umar menunjukkan bahawa beliau tidak mahu golongan kuffar bermukim dan menetap di Tanah Haram, lalu beliau hanya membenar golongan ini dalam keadaan musafir sahaja.
Ini lah dalil yang menjadi asas Imam al-Syafi’ie Radiyallahu ‘anhu dalam menentukan tempoh permukiman.
BAGAIMANA PULA RIWAYAT NABI PERNAH MENGQASARKAN SOLAT LEBIH DARI 3 HARI?
Sememangnya terdapat riwayat sahih yang menunjukkan baginda pernah mengqasarkan solat ketika musafir lebih dari 3 hari. Ini seolah-olah pada zahirnya, mazhab Syafi’ie bertentangan dengan Sunnah. Riwayat yang dimaksudkan ialah:
عن عمران بن حصين رضي الله عنه قال: “غزوت مع رسول الله صلى الله عليه وسلم ، وشهدت معه الفتح، فأقام بمكة ثماني عشر ليلة، لا يصلي إلاّ ركعتين”. رواه أبو داود
Maksudnya: Saidina Imran bin Husain Radiyallahu ‘anhu berkata, “Kami pergi berperang bersama-sama Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam dan aku menyertai Baginda ketika pembukaan kota Mekah, lalu Baginda menetap di Mekah selama 18 hari dan Baginda tidak mengerjakan solat melainkan dua rakaat(qasar)”. (Hadith riwayat Imam Abu Daud)
“Pendirian mazhab Syafi’ie mengenai hadith ini, apabila seseorang berniat tinggal di sesuatu tempat yang TIDAK PASTI TEMPOH MENETAP di sesuatu tempat kerana MELAKUKAN TUGAS YANG BELUM TENTU TAHU BILA SELESAINYA, maka dia boleh mengqasarkan solat sehingga 18 hari tidak termasuk hari pergi dan pulang. Berdasarkan hadith di atas, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam telah menetap selama tempoh tersebut pada tahun pembukaan kota Mekah kerana memerangi puak Hawazin dan Baginda mengqasarkan solatnya kerana Baginda tidak pasti berapa lama Baginda terpaksa tinggal di situ. (Rujuk: al-Fiqh al-Manhaji atau Ifadah al-Raghibin)
Isu ini juga dijelaskan oleh Imam al-Nawawi di dalam ‘Minhaj al-Tolibin’:
ولو أقام ببلد بنية أن يرحل إذا حصلت حاجة يتوقعها كل وقت قصر ثمانية عشر يوما, وقيل: أربعة، وفي قول: أبدا.
Maksudnya: “Jika seseorang menetap di sebuah negeri dengan niat bahawa dia akan meninggalkan (negeri itu) jika tercapai hajatnya(selesai sesuatu urusan) seperti yang dijangkakan, maka dia boleh qasar setiap waktu selama 18 hari. Ada pendapat lain selama 4 hari, juga terdapat qaul menyatakan selama-lamanya.”
Ads
Walaubagaimana pun, pendapat yang muktamad di dalam Mazhab Syafi’ie ialah tidak lebih dari 18 hari iaitu tidak termasuk hari pergi dan pulang. Hukum keringanan ini(jamak & qasar selama 18 hari) hanya untuk sesiapa yang tidak tahu atau tidak pasti berapa lama dia akan berada di sesuatu destinasi kerana urusan belum pasti selesai.
Sebagai contoh: Ali mengidap satu penyakit dan penyakit ini hanya boleh dirawat di Singapura. Tempoh rawatan itu tidak boleh dipastikan oleh pakar perubatan. Lalu Ali pergi bermusafir ke Singapura dalam keadaan tidak pasti berapa lama di akan menetap di Singapura kerana bergantung kepada tempoh rawatan yang tidak pasti. Jadi dalam situasi ini, Ali boleh mengqasar solatnya selama 18 hari tidak termasuk hari pergi dan pulang.
PENUTUP
Sememangnya solat jamak dan qasar merupakan rukhsah kurniaan Allah ta’ala pada hamba-hambanya. Ini membuktikan rahmat dan kasih sayang Allah pada kita semua agar tidak lekang dari mendirikan solat yang telah disyariatkan kepada kita. Artikel di atas menerangkan konsep sebenar solat musafir dalam kaedah yang sebenar menurut mazhab Imam Syafi’ie -radiyallahu ‘anhu- beserta dengan dalil yang sahih dari Rasulullah -sallallahu ‘alaihi wa sallam-.
Oleh itu perlu beramal sesuatu itu dengan ilmu pengetahuan dan fakta yang tepat bukan dengan ikut-ikutan, apatah lagi dengan sengaja mencari pendapat yang lebih ringan sehingga menjadikan seseorang itu bermudah-mudahan di dalam menjalani ibadah. Amalan bermudah-mudah sebegini semestinya dicela oleh para ulama salaf dan khalaf, malah ulama bersepakat bahawa seseorang yang memilih-milih pendapat atas dasar kemudahan atau mengikut hawa nafsu diharamkan di sudut syarak.
Bukan sedikit para ulama salaf dan khalaf memberi amaran mengenai amalan memilih pendapat yang paling mudah/senang. Menurut seorang ulama tabi’ien, Imam Sulaiman al-Taimi(meninggal: 143h)-Rahimahullah-:
إن أخذت برخصة كل عالم اجتمع فيك الشر كله
Maksudnya: “Jika kamu mengambil rukhsah dari setiap orang alim, maka segala kejahatan telah terkumpul di dalam diri kamu”. (Siyar al-A’lam al-Nubala’)
Menurut Majlis fatwa kerajaan Arab Saudi:
أما إن كان المراد بالأخذ بالرخص في الدين هو الأخذ بالأسهل وما يوافق هوى الإنسان من فتاوى وأقوال العلماء – فإن ذلك غير جائز، والواجب على الإنسان أن يحتاط لدينه، وأن يحرص على إبراء ذمته
Maksudnya: “Manakala jika dimaksudkan mengambil rukhsah di dalam agama iaitu mengambil pendapat yang paling senang/mudah dari fatwa-fatwa dan pendapat-pendapat ulama yang mana menepati hawa nafsu manusia, maka ini tidak dibenarkan. Apa yang wajib bagi setiap insan ialah bersikap berhati-hati di dalam agamanya dan berusaha untuk berlepas diri darinya(mengambil pendapat yang paling mudah).”
Allah ta’ala telah mensyariatkan solat pada waktu yang telah ditetapkan, namun ada keringanan diberikan oleh Allah melalui pensyariatan solat jamak dan qasar. Walaubagaimana pun keringanan ini perlu menepati syarat-syarat dan kaedah-kaedah yang telah ditetap oleh ahli-ahli fiqh berdasarkan al-Quran dan Sunnah Nabawiyyah serta amalan para sahabat.
Bagi ibu-ibu hamil, jangkitan covid-19 sangat merisikokan diri hingga boleh meragut nyawa. Perjuangan untuk terus bertahan hidup selepas melahirkan anak setelah dijangkiti virus berbahaya ini kebiasaannya sangatlah tipis. Anak yang selamat dilahirkan ibarat ‘hadiah terakhir’ buat suami dan anak-anak lain.Meskipun ramai yang prihatin untuk mengambil sebagai anak angkat, pastinya ia kenangan dari isteri tersayang.
‘Hadiah Terakhir’ Isteri
“Ramai yang minta nak jaga anak bongsu saya, namun biarlah saya dan anak-anak lain yang menjaganya kerana inilah ‘hadiah’ terakhir daripada isteri,” kata peniaga, Mohd Shahril Hakimi Hamdan, 41.
Isterinya, Hasmira Hussain, 38, meninggal dunia 20 Ogos lalu kerana komplikasi akibat Covid-19, selepas melahirkan anak bongsunya yang juga anak ketujuh itu secara pembedahan ketika kandungan berusia 32 minggu.
Mohd Shahril berkata, selepas dimaklumkan mereka sekeluarga dijangkiti virus itu, hanya isteri dan anak sulungnya, Nurhasmieda, 20, dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban pada 4 Ogos untuk rawatan lanjut.
Sementara dia dan empat anak lain, Nurhasmieka, 18, Nurhasmiefa, 14, Nuruh Huda Diyana Husna, 10 dan Ajad Aqil Arfa, dikuarantin di rumah. Katanya, hanya anak ketiga, Nurhasmieza, 17, yang negatif wabak itu.
Isteri Terpaksa Ditidurkan
“Pada mulanya saya ingatkan keadaan isteri tidak serius, tetapi pada 7 Ogos doktor memaklumkan isteri terpaksa ditidurkan, manakala anak yang dikandung terpaksa dilahirkan secara pembedahan sehari selepas itu.
“Saya langsung tidak fikirkan perkara buruk akan berlaku sehinggalah pihak hospital memaklumkan isteri disahkan meninggal dunia pada 7.26 petang, 20 Ogos lalu.
“Ketika itu, doktor mengesahkan isteri sudah bebas daripada Covid-19, dan kami sangat bersyukur kerana dapat menguruskan jenazah isteri seperti biasa dan anak-anak dapat mencium ibu mereka,” katanya ketika ditemui di rumah ibunya di Rumah Rakyat Nilai, di sini.
Takut Macam Arwah Siti Sarah
Mohd Shahril mengakui mereka sekeluarga masih dalam sedih dengan kehilangan isteri, dan belum kuat menerima hakikat berkenaan.
“Anak bongsu kami yang dinamakan Nurhasmeyra sudah dibawa pulang 1 September lalu, namun tidak banyak keperluannya sempat dibeli kerana kami dikuarantinkan,” katanya.
Menurutnya, arwah isterinya sempat membuat panggilan video untuk kali terakhir sebelum ditidurkan dan dia berpesan supaya menjaga anak-anak terutama lelaki tunggal yang sangat manja dengannya.
“Dia ada cakap, ada rasa takut jika berlaku macam arwah Siti Sarah dan itulah kenyataan yang perlu kami terima. Arwah pergi tanpa sempat melihat anak bongsu kami,” katanya.
Menurutnya, Allahyarhamah isterinya telah dimasukkan ke hospital pada 4 Ogos dan kemudian ditidurkan pada 7 Ogos. Sebelum ditidurkan, katanya, dia dan anak-anak sempat membuat panggilan video dengan Allahyarham yang berpesan supaya menjaga anak lelaki tunggal mereka baik-baik.
“Saya pun memang tak boleh buat apa kerana sedang kuarantin di rumah. Hanya mampu berdoa dari jauh saja. Keesokannya, anak kami selamat dilahirkan secara pembedahan, tapi arwah isteri masih tidak sedarkan diri,” katanya yang berniaga kuetiau goreng sebagai pendapatan.
Meskipun begitu, Kimi sentiasa cuba berfikiran positif yang isterinya akan kembali sedar, namun ALLAH lebih menyayangi Allahyarhamah yang menghembuskan nafas terakhir pada 20 Ogos.
Bagaimanapun, katanya, dia bersyukur kerana berkesempatan menguruskan jenazah isterinya yang bebas daripada Covid-19.
Kekok Uruskan Anak Sendirian
Mengakui pada awal menerima perkhabaran itu, dia seperti hilang punca lebih-lebih lagi memikirkan kehadiran cahaya mata baharu dalam keluarganya.
“Selama 21 tahun saya hidup dengan arwah, dia yang menguruskan semua hal anak-anak. Bila dah jadi macam ini, saya betul-betul jadi kekok nak menguruskan anak sendirian. Mujurlah anak-anak saya rajin membantu, “ katanya.
10 Orang Tawar Jadikan Anak Angkat
Sementara itu, Kimi berkata, lebih 10 orang yang sudah menyatakan hasrat mahu mengambil anaknya yang baru dilahirkan itu sebagai anak angkat.Namun, katanya, walau susah macam mana sekalipun dia tidak akan menyerahkan anaknya kepada orang lain.
“Saya akui mula-mula keadaan akan jadi susah buat saya, tapi biarlah kesemua anak saya membesar di depan mata saya. Buat masa ini saya menumpang di rumah ibu selepas buat keputusan berpindah keluar dari rumah sewa sejak seminggu lalu.
“Tamat saja tempoh 14 hari selesai suntik vaksin dos kedua, saya akan mula berniaga semula dan memulakan hidup baharu bersama anak-anak,” katanya.
Bercerita mengenai anak bongsunya, kata Kimi, walaupun dilahirkan tidak cukup bulan, namun dia berada dalam keadaan sihat.
“Tapi saya masih dalam proses nak pilih susu mana yang sesuai untuknya. Saya juga menamakan anak kami dengan nama Nurhasmeyra sempena nama arwah isteri Hasmira,” katanya.
Chocodap’s, Faith Fleur, Anggun Cotton Collection, Teh Ais Pyorr, Masak-masak Cekyana (Oden viral) dan bayak lagi jenama lain mempunya ratusan ribu pelanggan masing-masing.
Tak ramai anak Melayu kita mampu bina empayar perniagaan dari bawah dari tiada apa-apa. Ia bukan dicipta sehari dua. Banyak pengorbanan terpaksa dilakukan sepanjang pendakian.
• Apa rahsia mereka?
• Apa yang mereka lakukan?
• Apa ilmu-ilmu yang diamalkan?
• Siapa yang susah senang bersama mereka?
• Apa dugaan dan keperitan yang dilalui?
Teringin ikut jejak mereka?
Semua ini akan terjawab di program Webinar Eksklusif CEO BIsnes Viral anjuran Mingguan Wanita pada 25 September 2021 secara virtual. Dangarkan sendiri perkongsian jujur mereka. Eksklusif!
Menangi hadiah-hadiah cabutan bertuah serta wang tunai bernilai RM100.
Salah satu menu yang sedap di hari raya adalah Rendang Jering tetapi ramai yang tak tahan dan sakit perut bila makan jering. Jadi ini Puan Sutera Ayu kongsikan resepinya supaya jering cepat empuk dan perut tak memulas lepas makan.
Bahan-bahan:
50 biji jering tua,kopek blah dua
1kg gram santan pekat segar
100 gram cili kering(rebus)
200 gram bwg merah kecik
100 gram bwg putih
50 gram ketumbar biji
100 gram buah keras
10 kuntum bunga lawang
15 biji buah pelaga
100 gram halia
100 gram langkuas muda
5 lembar daun kunyit
5 batang serai memarkan
10 lembar daun limau
2 sudu makan chikenstock(pengganti perisa)
100 gram gula merah
5 keping asam jawa
2 sudu makan garam(secukup rasa)
2 sudu makan gula putih
1 sudu teh jintan manis
1 suduh teh jintan putih,,
100 gram cili serbuk babas
Cara Nak Buat Rendang Jering:
Didihkan santan pekat hingga naik minyak.
Ketuk perlhana-lahan jering supaya lembut dan sedap di masak.
Panaskan air guna api besar, dah mendidih baru masukkan jering.
Sebelum tu masukkan daun limau sebanyak. Kita suka dan beberapa batang serai yang dah memarkan dan sedikit garam.
Bubuh daun limau dan serai supaya mengurangkan khas bau jering.
Rebus selama satu jam setengah atau dua jam dengan api sedang. Kalau nak tambah air didihkan dulu air yang nak tuang dalam panci lain sebab tak elok kalau tambah air sejuk. Nanti dia lama nak empuk.
Blend semua bahan bumbu, kecuali bunga pelaga, bunga lawang, serai tu memarkan dan kunyit hiris nipis-nipis daun limau tak payah. Masukkan gula garam, asam keping dan chikenstock.
Tumis semua bahan sampai naik minyak. Dah macam ni masukkan santan yang dah rebus tadi sekali dengan jering.
Slowkan api, kacau-kacau jering dalam kuali sampai naik minyak.
Last macam ni jadinya. Siap masak dan tutup api.
Selamat mencuba!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Baru-baru ini, hangat isu berkaitan tiada lagi aktiviti serbuan mengetuk dan memecahkan pintu pada waktu malam untuk operasi khalwat dan aktiviti maksiat oleh pihak penguatkuasa di ruang peribadi.
Menerusi sidang media yang diadakan petang tadi, kenyataan terkini oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa menjelaskan bahawa pihak berkuasa agama hanya akan membuat serbuan membanteras aktiviti khalwat atau maksiat lain sekiranya menerima aduan yang kukuh mengenai perbuatan itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, berkata pihak yang mahu membuat aduan pula digalakkan menasihati pelaku maksiat itu terlebih dahulu, sebelum melaporkannya kepada pihak berkuasa agama.
Hanya Buat Serbuan Selepas Dapat Waran
Selepas menerima aduan, katanya, pihak berkuasa agama akan menyiasat bagi memastikan perbuatan maksiat itu benar-benar berlaku, dan hanya akan membuat serbuan selepas mendapatkan waran serta dengan kehadiran polis.
Beliau berkata demikian ketika memberi penjelasan berhubung laporan The Star yang memetiknya sebagai berkata, pihak berkuasa agama tidak akan lagi mengetuk dan memecahkan pintu pada waktu malam untuk operasi khalwat dan aktiviti maksiat lain, yang mencetuskan polemik.
“Bagi pihak berkuasa, sebarang penguatkuasaan terhadap nilai moral perlu dilaksanakan secara berhati-hati dan memastikan sama ada ia dilakukan dalam ruangan peribadi atau awam.
“Sebagai kerajaan, apa yang kamu lakukan dalam ruang peribadi bukan urusan kami, namun sebagai orang Islam yang melihat jirannya melakukan kesalahan, adalah tanggungjawab kamu untuk menasihati jiran itu,” katanya pada sidang media selepas Persidangan Meja Bulat Falsafah dan Tatacara Hukuman Jenayah Syariah Dalam Mencapai Matlamat Rahmatan Lil Alamin di sini, hari ini.
Patuhi (SOP) Jabatan Agama
Mujahid berkata, pihak berkuasa agama masih boleh membuat serbuan di kawasan peribadi, sekiranya ada aduan perbuatan maksiat itu mengganggu ketenteraman awam, namun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) digariskan jabatan agama.
SOP Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), katanya, tidak membenarkan penguat kuasa menceroboh, menendang atau memecahkan pintu rumah dan ia adalah kesalahan jika ada yang melakukannya.
Katanya, pihak berkuasa agama juga boleh membuat serbuan di hotel bajet atau hotel lima bintang, asalkan ada aduan menggambarkan perbuatan maksiat itu menceroboh ketenteraman awam.
“Jika (khalwat dan aktiviti maksiat lain) dibuat di dalam rumah peribadi, yang mana perbuatan itu salah, tapi tiada aduan, maka ia tidak menjadi satu kesalahan di bawah bidang kuasa kami,” katanya.
Elak Eksploitasi & Salah Guna Kuasa
Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) itu berkata, pihaknya sedang berusaha untuk menambah baik SOP penguatkuasaan supaya tidak disalah guna kerana pernah serbuan khalwat dieksploitasi untuk merosakkan imej orang lain.
Katanya, satu pertemuan antara ulama, ahli akademik, pihak pelaksana dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk berbincang dan menambah baik penguatkuasaan dalam kerangka rahmatan lil alamin (rahmat buat seluruh alam) di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Putrajaya, Khamis ini.
Ditanya sama ada operasi khas yang tidak membabitkan aduan seperti pada Hari Valentine dan Hari Merdeka akan dihentikan, Mujahid berkata: “Itu saya tak sentuh dan tak nak sentuh langsung, saya hanya bercakap tentang perlunya kita kawal tindakan penguatkuasan di ruang awam dan kukuhkan SOP supaya tidak dieksploitasi dan salah guna.”
Sebelum ini, laporan The Star memetik Mujahid berkata, apa yang dilakukan orang Islam di sebalik pintu tertutup bukan urusan kerajaan, mencetuskan polemik dengan pelbagai pihak termasuklah ahli politik, mufti dan badan bukan kerajaan (NGO) tampil mengkritik serta menyokong kenyataannya.
Antara yang menentang keras kenyataan itu termasuklah Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria; Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad dan Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor dan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin pula mempertahan dan senada dengan kenyataan Mujahid, manakala Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar pula, mengambil pendekatan mahu menunggu kenyataan lanjut daripada Mujahid sebelum mengulas isu berkenaan.
Bagaimanapun, Mujahid kelmarin tampil menafikan ada mengeluarkan kenyataan mahu menghentikan ‘ketukan pintu pada waktu malam’ ketika ditemu bual wartawan The Star dan mendakwa perkara itu dirumus sendiri media berkenaan.
Selebriti wanita popular, Yana Samsudin rupanya bukanlah berasal dari keluarga senang. Mengimbau kembali perjalanan hidup dari zaman kecil yang penuh kepayahan, ibu kepada tiga...