Rata-rata ketua keluarga yang kehilangan kerja kesan Covid-19 memilih untuk menjadi penghantar makanan sebagai kerja sampingan. Bukan mudah tanggungjawab seorang bapa, apatah lagi lagi mempunyai anak dan isteri yang harus diberi makan.
Setiap orang terasa kesan Covid-19 sama ada sedikit atau banyak. Masing-masing punya cara sendiri untuk keluar daripada masalah, paling penting tidak mencipta alasan untuk berusaha.
Seperti mana pendakwah bebas, Mohamed Hanafiah Abdul Malek, tidak menjadikan keadaan kesihatannya sebagai penyebab untuk dia berhenti berusaha mencari rezeki.
Ketika banyak aktiviti ceramah terpaksa dihentikan semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, dia yang dikenali ramai sebagai Ustaz Hanafi, memilih untuk bekerja sebagai penghantar makanan.
“Memang saya mencari pendapatan dengan mengambil upah membuat penghantaran makanan bagi pihak restoran untuk mencari pendapatan.
“Selain itu, saya ingin menyampaikan mesej kepada penghidap kanser lain supaya tidak berputus asa dan jangan duduk diam, sebaliknya lakukanlah perkara kita suka di dalam hidup tanpa mengeluh nasib menimpa,” kata pendakwah terkenal, Mohamed Hanafiah Abdul Malek.
Giat Menjadi Penghantar Makanan Sejak PKP
Lebih mesra disapa Ustaz Hanafi, beliau kini giat bekerja sebagai penghantar makanan dari restoran milik kenalannya ke rumah pelanggan di sekitar ibu negara sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan Mac lalu.
Katanya, secara kebetulan, semua aktiviti ceramah dan program motivasi kendaliannya terpaksa dihentikan sepanjang PKP dan dia terfikir untuk melakukan sesuatu yang boleh mendatangkan rezeki buat dirinya dan keluarga.
“Saya mendapat tawaran daripada rakan yang ada restoran, mereka minta saya hantarkan makanan. Jadi saya pusinglah satu Kuala Lumpur. Setiap hari kawasan saya ialah antara Gombak ke sekitar Kuala Lumpur.
“Alhamdulillah, dapat cari duit dengan motosikal masih lagi ada komitmen bulanan,” katanya lagi.
Baca Juga Di Sini:
Terlibat Kemalangan, Puluhan RIDER Ziarah Keluarga, Temani JENAZAH Ke KUBUR
Isteri Meninggal Dalam Kemalangan, Suami Hanya Mampu Pangku Buat Kali Terakhir
Info menarik, boleh terus klik di sini.
Biar Pun Menghidap Kanser, Tak Halang Tugas Penghantar Makanan
Beliau yang disahkan menghidap kanser limfoma sejak tiga tahun lalu berkata, keadaan kesihatannya ketika ini semakin pulih dan masih mendapatkan rawatan setiap tiga bulan serta berjumpa pakar.
“Jadi, mesej saya kepada mereka yang menghidap kanser, teruskanlah kehidupan dan jangan putus asa. Macam saya, memang minat dengan motosikal, jadi saya guna motosikal saya untuk tolong kawan berniaga.
“Itu pun tak selalu saya buat, tapi saya pernah dapat sehari RM100. Sepanjang Ramadan lalu, saya dan rakan banyak buat kerja amal bantu orang buta.
“Sejak itu saya rasa nak teruskan buat kerja amal, sambil tolong kawan berniaga,” katanya yang juga tetamu rancangan agama, Tanyalah Ustaz.
Diminta Untuk Menjadi Penghantar Makanan
Beberapa hari lalu, tular di media sosial gambarnya sedang menggalas beg makanan untuk dihantar kepada pelanggan di Bukit Tunku.
Ustaz Hanafi berkata, dia diminta oleh pemilik kedai untuk menghantar pesanan menggunakan beg berkenaan tengah hari ini kerana jumlah tempahan yang lebih banyak daripada biasa.
“Pemilik kedai ambil gambar. Ramai yang bertanya, betulkah saya jadi penghantar makanan, dan saya jawab ya, itu memang saya,” katanya yang terbabit dengan program dakwah bersama Jabatan Kemajuan islam Malaysia (Jakim) bermula minggu depan.
MW: Penyakit bukanlah alasan untuk berusaha untuk mencari rezeki. Lakukan apa saja pekerjaan yang mampu memberi kita rezeki yang halal. Paling penting halal. Semoga Ustaz Hanafi dikurniakan kesihatan yang baik dan dipelihara Allah selalu.
Sumber/ Foto: myMetro