Dalam pada itu, peguam Nor Zabetha turut berkongsi kisah ini di facebooknya akan perjuangan ibu tersebut demi pembelaan buat anaknya yang kurang upaya.
Waktu bertemu mangsa ini sendiri, dia OKU. Kurang faham apa yang terjadi padanya.
Dia tak faham dianiaya, dia tak tahu haknya dirampas. Dia tak tahu sebenarnya dia dizalimi. Dia tak tahi dicabuli. Dia tak tahu dia diperkosa.
Semuanya bermula dengan dia mula tidak sihat, rasa senak di perut. Dia adukan pada ibunya. Setelah beberapa kali dia dicabuli.
Perjuangan Ibu Mahukan Pembelaan Termakbul
Saya minta pada ibunya untuk satu sesi hanya saya dan peguam-peguam muda bersembang bersamanya.
“Sekolah seronok tak?”, saya tanya.
Dia senyum-senyum, mukanya tulus. Dia angguk-angguk. “Seronok”.
Saya bersembang lagi dengannya. Cuba menjadi kawan. Cuba mendapat kepercayaannya. Mengajak dia menceritakan perihal sekolah. Kemudian saya masuk tentang topik pelaku si ustaznya ini.
Saya tanya, bagaimana sikap ustaznya? Saya tanya tentang perihal ustaz di sekolah dan kemudian, saya mula mendengar apa yang ustaz lakukan terhadapnya.
Pada permulaan cerita, dia senyum-senyum. Ustaz begini, ustaz begitu.
Bila mula menceritakan tentang kejadian dan perbuatan ustaz kepadanya, gerak tubuhnya mula berbeza. Dia mula sedikit resah. Berkali-kali dipegang bahagian tudungnya di dahi. Suaranya sedikit perlahan. Tangannya dia genggam.
Dia menceritakan kejadian dalam bahasa mengikut kefahamannya. Kejadian berlaku disekolah, pada waktu persekolahan. Kejam!
Bagaimana tergamak kepercayaan yang diberikan, dikhianati oleh seorang guru yang bergelar ustaz. Yang cukup tahu tentang ilmu agama.
Bertahun-tahun menjadi peguam, saya rumuskan bahawa tahu dan penuh ilmu agama tidak menjadikan jiwanya itu cintakan Allah dan Islam. Tidak mengamalkan apa yang dia miliki. Sayang sekali.
Mereka ini anak-anak kurang upaya yang ditempatkan dalam asrama. Ada sesi persekolah biasa dan ada sesi persekolahan agama.
Dalam hati saya, bagaimana kanak-kanak setulus ini, sesuci ini dia nodai? Kerana nafsu dia dengar bisikan syaitan. Bukan sekali, bukan dua kali.
Kisah ini pada September lalu, ketika kak
Mona Din bawa anak ini bersama ibunya berjumpa dengan saya. Dalam sesi ini, ibunya kecewa marah. Dia menangis. Dia tinggikan suara bukan pada kami, tetapi dia geram.
Setelah tahu kejadian, dia turun naik ke sekolah. Dia pergi ke tempat kejadian di sekolah, dia tunggu berjam-jam untuk melindungi bahan bukti. Dia jadi takut, dia jadi paranoid.
Mereka suruh dia pulang. Dia berdegil dan terus menanti sehingga bahan bukti diambil.
Padanya bagaimana jika perkara ini didiamkan? Bagaimana jika ada bukti DNA yang dipadamkan? Dia yakin kisah anaknya dan anak ceritakan tempat kejadian. Tetapi bagaimana tiada keadilan untuk anaknya? Siapa mahu percaya cerita anak OKU nya berbanding ustaz yang bertahun-tahun dihormati masyarakat.
Faham perasaannya, yang diharapkan dan dipercayai. Siapa sangka? Jadi takut zaman sekarang ini, seperti tiada siapa yang boleh kita harapkan. Jadi takut.
“Bayangkan puan! Bayangkan bagaimana saya rasa puan!”, berulang kali dia sebut ayat ini.
Beberapa bulan juga siasatan. Ibunya semakin takut dan paranoid. Macam-macam timbul dalam fikirannya.
Bagaimana jika ada salah guna kuasa dan ada tangan-tangan yang menganggu? Bayangkan keadaan ibunya yang sentiasa tak boleh tidur malam. Sentiasa menanti si pelaku dibawa ke muka pengadilan.
Sambil dia melepaskan segala perasaannya. Saya lihat anaknya disebelah. Dia diam. Saya cuba fikir, barangkali dia belum cukup faham kenapa ibunya begitu. Dia tidak faham dia dizalimi dengan teruk. Kasihan anak ini.
Saya dan kak Mona terangkan, satu persatu agar dia faham. Jangan si ibu paranoid. Kami terangkan proses siasatan. Anaknya telah menjalani proses siasatan, klinikal forensik. Ada bukti-bukti DNA ditempat kejadian perlu diambil dan diselidik.
Pelaku pada ketika itu, telah ditahan reman. Berikan pihak berkuasa buat siasatan. Mengumpulkan segala bukti supaya jadi kukuh di mahkamah nanti. Supaya tidak boleh dicabar, nanti kononnya bukan dia. Kononnya salah faham. Kononnya begitu dan begini.
Petang tadi saya terima panggilan dari Kak Mona “Dia dah kena tuduh Beth. Kita kena panggil mangsa-mangsa lain jika ada”
Semoga keadilan buat mangsa. Kredit :- Nor Zabetha