Usia 92 Tahun, Tun Hasmah Pernah Buang Ketumbuhan Sel Kanser Payudara

Share

Kanser menyerang tanpa mengenal usia tua atau muda.Pemeriksaan awal dapat menyelamatkan nyawa dan potensi untuk sembuh lebih besar. Siapa sangka isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, 93 mendedahkan beliau merupakan bekas pesakit kanser payudara dan pernah membuang ketumbuhan sel kanser tersebut pada Mac tahun lepas.

Beliau berkata doktor mengesahkan beliau menghidap kanser payudara ketika usianya 92 tahun. Menurutnya, pemeriksaan rutin Mac tahun lalu mendapati terdapat ketumbuhan kecil pada payudara kiri dan disahkan sel kanser selepas menjalani ujian biopsi.

“(Ketika itu) apabila saya rasa tidak sedap, saya terus jumpa doktor. Dalam seminggu, saya disahkan mempunyai ketumbuhan kecil.

“Alhamdulillah ia (ketumbuhan) kecil, yang penting adalah jangan takut untuk melakukan pemeriksaan (kesihatan),” 

“Saya adalah survivor kanser payudara, bersyukur kerana melakukan pemeriksaan awal dan terus menjalani pembedahan membuang ketumbuhan berkenaan seminggu kemudian,” 

katanya.

Tak Maklum Pada Suami

Bercerita lanjut, Siti Hasmah berkata, ketika keputusan biopsi diperolehnya yang mengesahkan ketumbuhan di payudara kiri adalah kanser, beliau hanya tenang dan tidak memaklumkan kepada suami, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, beliau enggan mengganggu suaminya yang sibuk dengan tugas sebagai Perdana Menteri.

“Doktor lakukan biopsi pada Sabtu, keputusan diperoleh pada Isnin tetapi sepanjang tempoh itu saya tidak langsung memberitahu suami kerana tidak mahu mengganggunya, dia sibuk dan beliau baru pulang dari luar negara atas urusan kerja.

“Saya hanya maklumkan kepada anak-anak, namun lima hari kemudian doktor pakar datang ke rumah memaklumkan keputusan ujian berkenaan.

“Apabila dia (Dr Mahathir) tahu pada hari keputusan biopsi keluar, Tun terkejut, dia tak bebel cuma dia risau sampaikan suruh saya dibedah pada esoknya. Dia sendiri sarankan buat pembedahan secepat mungkin. Syukur saya dapat ceritakan kepada anda mengenai kisah dan pengalaman ini,” katanya.

“Saya masuk wad, empat hari selepas itu iaitu pada Jumaat, (dan) Sabtu saya dibedah untuk keluarkan ketumbuhan kecil berkenaan. Pada Ahad, saya keluar wad,”

katanya.

Beliau memaklumkan mengenai kisah itu ketika berucap sebelum merasmikan Kempen Kesedaran Kanser Payudara Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, ‘KL Pink October 2019’ di Auditorium Hospital Kuala Lumpur (HKL),semalam.

Turut hadir sama Pengarah HKL, Datuk Dr Heric Corray dan Pengerusi Jawatankuasa KL Pink October, Dr Roz Suzanna Ahmad Bustamam.

Kanser Menyerang Tanpa Mengenal Usia

Tun Siti Hasmah menekankan bahawa kanser payudara boleh menyerang wanita tanpa mengenal usia. Usah sesekali menganggap orang lain saja yang akan terkena penyakit berkenaan dan tidak akan berlaku kepada diri sendiri.

Siti Hasmah berkata, meskipun ketumbuhan itu kecil, baginya yang lebih penting adalah wanita tidak perlu malu atau takut untuk melakukan pemeriksaan kesihatan. Beliau menegaskan setiap wanita perlu menjalani pemeriksaan payudara menerusi prosedur mamogram seperti disaran pakar bagi mengesan jika ada ketulan kanser.

“Oleh itu, setiap wanita perlu buang rasa malu untuk menjalani pemeriksaan mamogram kerana sudah ramai pakar wanita boleh melakukannya.

“Sebaik dikesan pula jangan melengah-lengahkan masa untuk berbincang terlalu lama, sebaliknya bertindak pantas membuat pembedahan secepat mungkin sekiranya disahkan terdapat ketulan pada payudara. Sokongan keluarga amat penting bagi membolehkan pesakit kuat menjalani rawatan susulan,” 

ujarnya.

Beliau juga menggalakkan wanita untuk sentiasa peka dengan perubahan diri dengan kempen anjuran HKL itu untuk beri kesedaran mengenai pentingnya saringan awal bagi mengenal pasti potensi kanser payudara.

Baca Di Sini:
62 Tahun Hidup Bersama, Tun M Dedah 2 Kunci Utama Rumahtangga Kekal Bahagia Dengan Tun Hasmah!

MW: Kanser Payudara boleh menyerang tanpa mengenal usia. Kesan lebih awal boleh menyelamatkan nyawa. Semoga kisah Tun Dr Siti Hasmah ini boleh dijadikan inspirasi buat wanita agar sentiasa peka dengan perubahan diri, tidak takut melakukan pemeriksaan dan mendapatkan rawatan segera. Mingguan Wanita mendoakan semoga wanita nombor satu negara ini kekal sihat dan diberikan kesihatan yang baik hendaknya.

Sumber: Bharian, Hmetro

Published by
Suhaidah Abd Wahab