Minggu ini Kongsi Kasih Jejak Jalanan Musim Ke-4 melanjutkan perjalanan ke Kg Nako Nambua, Kuala Nerang, Kedah. Menyelusuri kehidupan penuh getir wanita warga emas Tok Saodah yang berusia 90 tahun.
Paling menyayat hati walau sudah berusia namun Tok Saodah gigih menjaga anaknya yang sakit. Anak Tok Saodah, Hamid ketika ini sudah tidak mampu bekerja kerana mengalami masalah kesihatan.
Usia 90 Tok Saodah Masih Gigih Jaga Anak Sakit,
Tinggal bersebelahan dengan seorang lagi anaknya Makcik Biah yang merupakan seorang ibu tunggal mempunyai seorang anak OKU lembam. Pada masa yang sama Makcik Biah hanya bekerja sebagai pengangkut getah skrap yang turut menanggung kehidupan ibunya Tok Saodah.
Apabila ditanya Tok Saodah menyakan dirinya sering menyuap anaknya Hamid makan. Dan Hamid pula turut menjaga ibunya.
“Mereka saling menjaga antara satu sama lain, anak beranak ini sangat prihatin” terang Haze yang juga merupakan hos rancangan Kongsi Kasih ini.
Pada kunjungan itu, team Kongsi Kasih bersama Perfume Paradise telah hadir menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban keluarga kurang bernasib baik itu. Malah Tok Saodah juga sangat terharu dengan bantuan yang dihulurkan.
Ads
Santuni Gongan Asnaf, Gelandangan dan Anak-Anak Lorong
Pulang semula ke ibu kota, istimewanya kali ini team Kongsi Kasih kemudiannya ke Jalan Chow Kit dan Lorong Haji Taib.
Menyantuni golongan asnaf, gelandangan dan anak-anak lorong. Banyak kisah yang didedahkan ketika bertemu dengan mereka yang tinggal di bawah jambatan berdekatan Sungai di Masjid India.
Bagi kes kedua Haze bersama Abbe Hae dari Pertubuhan Jejak Jalanan, menyentuh hati apabila dapat menghulurkan bantuan dan memberi makanan pada golongan asnaf dan gelandangan di Jalan Chow Kit dan Lorong Haji Taib.
Ads
Kebanyakkan mereka sangat memerlukan bantuan malah krew Kongsi Kasih juga membantu beberapa keluarga gelandangan yang punya anak yang masih kecil. Seorang gelandangan wanita juga dibantu dengan diberikan kerusi roda.
Ads
Malah ada yang berkongsi kisah silam yang menyedihkan, keluarga tidak pedulikan sejak remaja. Malah kenangan pernah berkahwin juga sangat menyakitkan hingga wanita gelandangan yang dipanggil Mak Bae sangat sedih.
Malah team Kongsi Kasih dan Perfume Paradise juga sempat berkunjung dan menghulur sumbangan pada mereka yang tinggal di bawah jambatan.
Pada masa yang sama, team Kongsi Kasih juga sempat membantu seorang wanita gelandangan yang bernama Kak Ila. Malah memberikan penempatan iaitu transit sementara buat Kak Ila.
Pertolongan yang dihulurkan oleh team Kongsi Kasih dan Perfume Paradise sangatlah berharga! Mereka yang menerima bantuan sangat menghargai apa yang diterima mereka. Kisah mereka sangat memberi iktibar kepada penonton.
Jadi jangan lupa saksikan Kongsi Kasih episod ke-4 pada 7 Februari, jumaat jam 7 malam. Kongsi Kasih Musim ke-4 yang lebih wangi dengan Perfume Paradise.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
PERAS UGUT EMOSI Dalam Keluarga,”SYURGA Bukan Untuk Diugut-Ugut”. Drama bersiri ‘Rindu Kasih’ baru sahaja berakhir. Ramai yang terkesan dengan plot cerita dan lakonan hebat para pelakonnya terutamanya watak Salina yang dibawa oleh Pelakon versatil Ummi Nazeera. Disamping watak-watak lain seperti Halijah, Amir dan Zamani.
Penceritaan mendalam dari segi psikologi menggambarkan wujudnya peras ugut emosi dalam keluarga mahupun sesuatu perhubungan. Situasi ini sering digunakan untuk mengawal seseorang kerana individu yang mengugut tidak tahu cara lain yang berkesan untuk menguruskan konflik.
Untuk faham lebih lanjut, baca perkongsian pandangan dan ulasan oleh Puan Noor Afidah Abu Bakar ini daripada Parent Connect Consultancy ini sebagai rujukan.
PERAS UGUT EMOSI DALAM KELUARGA.
Peras ugut emosi atau ’emotional blackmail’ berlaku apabila orang yang rapat dengan kita menggunakan ketakutan kita, rahsia kita, tanggungjawab kita ataupun kelemahan kita sebagai hukuman bagi memenuhi kemahuannya.
Amir sangkakan Ina sebagai seorang isteri dan ibu, akan takut sekiranya diceraikan. Maka diugutnya dengan talak.
Halijah tahu sebagai anak yang bertanggungjawab dan anak yang sering solat berjemaah di masjid, Amir tentu dambakan kebaikan.Maka diugutnya dengan Syurga.
Peras Ugut Untuk Mengawal Seseorang
Dalam keluarga ataupun dalam sesebuah perhubungan, peras ugut emosi ini sering digunakan untuk mengawal seseorang kerana individu yang mengugut tidak tahu cara lain yang berkesan untuk menguruskan konflik.
PERAS UGUT EMOSI 3 – AMIR
“Salina bt Khalid. Selangkah Ina keluar dari kawasan ini maka jatuh talak satu pada Ina.”.
Begitulah ugutan Amir pada isterinya dalam babak di episod akhir drama Rindu Kasih.
Dialog tersebut seakan pernah diucapkan pada episod-episod terdahulu, maka saya kembali ke episod awal untuk mencari dialog itu.
Ternyata benar.
Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.
PERAS UGUT EMOSI 2 – HALIJAH
“Selangkah Amir keluar dari rumah ini….”, begitulah yang diucapkan oleh Halijah kepada Amir, di episod 5.
Bagaimanapun belum pun sempat Halijah menghabiskan ugutannya, Amir tetap juga melangkah keluar dari rumah untuk mencari isteri yang kecewa setelah ditampar oleh Halijah.
Kerana tidak menurut permintaan ibunya, maka itulah pertama kali kita mendengar Halijah ‘menunggang’ Syurga untuk mengawal Amir supaya tunduk pada kemahuannya.
Peras ugut emosi boleh menjadi ikutan dan budaya dalam keluarga sekiranya ugutan itu berkesan untuk menundukkan ahli keluarga untuk memenuhi permintaan yang bukan-bukan.
Dalam keluarga Halijah ini, peras ugut emosi bukan hanya menjadi zikir Halijah sahaja, malah Zamani suaminya juga menggunakan kaedah peras ugut emosi agar Khalid memenuhi permintaannya.
Zamani menggunakan rasa terhutang budi Khalid sebagai modal untuk mengugut emosinya.
Peras ugut Zamani lebih lembut (subtle) berbanding kaedah Halijah, namun ia cukup untuk menimbulkan rasa bersalah dalam diri Khalid dan juga Halijah pada ketika itu.
PERAS UGUT EMOSI 1 – ZAMANI
“Dulu aku pernah selamatkan maruah keluarga isteri aku sebab kau”.
Begitulah mukaddimah Zamani ketika terlantar sakit sebelum menyatakan permintaannya kepada Khalid.
Pada ketika itu Halijah merayu dengan nada yang merintih dan mengharap agar Zamani tidak meneruskan niatnya itu, tetapi Zamani tetap tidak mengendahkannya.
Halijah juga mangsa peras ugut emosi kerana terhutang budi. Walaupun Zamani seorang yang sangat baik, tetapi permintaannyalah yang telah mengorbankan banyak hati, malah juga menyebabkan korban nyawa dan dendam yang tidak berkesudahan dalam keluarga.
Peras ugut emosi ini tidak membawa apa-apa kebaikan dalam keluarga melainkan menjadikan orang yang diugut itu dungu dan bebal.
Mangsa tidak berupaya untuk berfikir dalam membuat keputusan. Mangsa tersepit dan tiada pilihan.Emosi mendahului akal.
Fight, Flight or Freeze.
Itulah yang berlaku pada Amir.
Tidak ramai yang berupaya untuk melangkah pergi dari peras ugut emosi seperti Salina.
Syurga bukan untuk diugut-ugut.
Syurga sepatutnya mendamaikan dan menenangkan.
Mingguan Wanita: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Sesuatu yang kita boleh pelajari daripada kisah sebegini bahawa elakkan peras ugut emosi di dalam keluarga mahupun sesuatu perhubungan, kerana ia hanyalah satu ‘hukuman’ bagi memenuhi kemahuan yang tidak berkesudahan.
Berita kematian Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang maut akibat insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, bulan lalu, benar-benar meruntun hati ramai pihak.Namun yang paling terkesan dengan kehilangan tersebut pastinya kedua mak ayah hero negara ini.
Bagi seorang ibu yang melahirkan dan membesarkan anak dengan sihat dan sempurna, pastinya tidak terjangkau dek fikiran macam mana anak yang dikandung 9 bulan terlebih dahulu pergi meninggalkan dirinya dalam keadaan sebegitu. Dalam redha menerima segala takdir dan ketentuannya, pastinya wujud rasa amarah, kecewa dan sakit hati bersisa dihati.
Diheret Ke Muka Pengadilan
“Saya nak tengok muka orang yang sanggup buat macam itu… sampai bunuh anak saya,” itu luahan Asma Aziz, 51, iaitu ibu kepada Muhammad Adib.
Asma berkata, besar harapannya sebagai seorang ibu untuk melihat individu tidak bertanggungjawab itu diheret ke muka pengadilan sebagai pembelaan terhadap kematian anaknya itu.
Dan apabila waktu itu tiba nanti, Asma berkata, dirinya sendiri mahu melihat sendiri wajah individu yang tergamak meragut nyawa Muhammad Adib ketika anaknya itu sedang bertugas untuk negara.
“Saya nak depa (mereka) dibawa ke muka pengadilan, apa yang dilakukan itu tidak boleh dimaafkan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tebengau Tepi Laut, di sini.
Muhammad Adib yang parah dipukul ketika insiden rusuhan, disahkan meninggal dunia pada jam 9.41 malam, di Institut Jantung Negara (IJN), kelmarin.
Pada masa sama, Asma berkata pihaknya menghargai keprihatinan ramai pihak khususnya di media sosial yang mahu kematian anaknya itu turut dibela ke muka pengadilan.
“Rasa berterima kasihlah namun sampai sekarang saya tak boleh tengok berita mengenai Adib (di laman sosial)…saya tak sanggup lagi.
Adib Rapat Dengan Keluarga
Mengimbas semula sifat Muhammad Adib, Asma berkata, anak kedua daripada empat beradik itu amat rapat dengan keluarga malah sentiasa pulang ke kampung menaiki pengangkutan awam setiap kali cuti.
Katanya, selain itu, Muhammad Adib juga akan mengambil cuti untuk membantu bapanya mengerjakan sawah setiap kali musim menanam padi tiba.
“Kalau cuti dua hari pun arwah akan pulang ke rumah menaiki kereta api atau bas sebab arwah memang rapat dengan keluarga.
“Kalau musim menanam padi tiba, arwah akan menghubungi bapanya untuk mengambil cuti dan membantu di sawah,” katanya yang mengakui tidak dapat tidur lena malam tadi berikutan merindui Muhammad Adib.
Malah ketika ditanya lebih lanjut mengenai Muhammad Adib, Asma bagaimanapun tidak dapat menjawab berikutan terlalu sebak.
Katanya, dirinya sekeluarga juga tidak membuat keputusan lagi sama ada mahu ‘menukar’ majlis perkahwinan yang sepatutnya berlangsung 22 Disember ini sebagai kenduri tahlil berikutan masih terlalu sedih dengan insiden menimpa mereka.
MW: Mingguan Wanita mengucapkan salam takziah buat keluarga Muhammad Adib ini. Semoga pelaku yang melakukan perbuatan kejam ini, segera dibawa kemuka pengadilan dan mendapat pembalasan yang setimpal.
Kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihanraya Umum ke 14 berjaya membentuk pentadbiran kerajaan baru di negara kita. Semalam merupakan hari mengundi yang penuh bersejarah, ramai yang meluahkan pendirian terhadap pegangan parti politik masing-masing dan figura yang disokong.
Antara yang mendapat perhatian ramai adalah kisah menarik yang dikongsikan sendiri oleh Mufti Perlis,Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Asri Zainul Abidin terhadap Tun Dr Mahathir. Kata-kata yang diluahkan oleh bakal Perdana Menteri Malaysia yang ke 7 ini, ketika mufti ini bertemu secara peribadi dengan beliau 4 tahun dulu, sungguh menyentuh hati dan terserlah sikap negarawan yang dimiliki.
Berikut antara pengalaman dan cerita yang dikongsikan oleh Dr MAZA sendiri;
Bukan semua perkara kita boleh setuju dengan YBg.Tun Mahathir. Banyak juga pendapat dan tindakan Tun M yang kita kurang setuju atau tidak boleh menerimanya. Beliau BUKAN MAKSUM untuk kita terima semua pendapatnya. Rekod Tun M pun bukan semuanya kita boleh puji. Di samping, secara adilnya, kita tidak boleh menafikan jasa, sumbangan dan kebijaksanaan beliau dalam banyak hal.
Tokoh-tokoh politik seperti Tun M, DS Najib, DS Anwar, DS Abdul Hadi dan lain-lain sering dikaitkan dengan pelbagai cerita positif dan negatif. Jangan kita telan semua yang dikaitkan dengan mereka tanpa penilaian yang matang dan jangan juga kita menerima segala apa yang mereka lontarkan tanpa berfikir dengan seimbang. Apapun, mempercayai mana-mana orang politik seratus peratus merupakan satu kesilapan.
Hari ini orang bercerita pasal Tun M dan kubur. Saya juga ingin berkongsi cerita pasal Tun M dan kubur. Walaupun cerita biasa, tapi mungkin ada sesuatu yang boleh kita belajar.
Tun M Dan Kubur
Pada tahun 2014, ketika itu saya sabatical di SOAS London, Tun M datang ke London. Tun M tinggal di rumah Kerajaan Malaysia yang ketika itu sedang bocor bumbungnya. Saya dan Tun M bertemu empat mata membincang beberapa perkara. Tun M bertanya saya beberapa soalan berkaitan agama. Kami berdiskusi. Kemudian Tun M membincangkan tentang YAB PM DS Najib. Masa itu beliau belum lagi menentang DS Najib secara terbuka. Beliau menyebut isu-isu seperti yang beliau sebut dalam kempen beliau sekarang. Saya hanya mendengar. Benar ataupun salah, saya tiada bahan untuk dinilai ketika itu.
Saya bertanya beliau, “Habis Tun nak buat apa? Tun nak bersuara ke “? Ketika itu Tun M mengungkap satu ungkapan yang selalu saya ingat apabila terlihat wajah beliau.
Kata Tun M kepada saya: “Nanti orang akan kata orang tua ni tak habis-habis asyik kacau orang lain jadi Perdana Menteri. Orang macam saya ini sepatutnya dah duduk bawah dah (masuk kubur). Tapi saya ni sayang kepada negara saya”.
Saya lihat Tun M yang ketika itu dalam keadaan keletihan, lesu dan sedih. Saya sendiri tersentuh dengan ucapan beliau itu. Saya diam sahaja. Kami bincang beberapa tajuk lain.
Semasa itu saya tidak sangka Tun M akan menubuhkan parti politik baru dan secara terang-terangan melawan DS Najib. Saya tidak sangka hari ini beliau yang menyatakan ‘sepatutnya beliau sudah masuk kubur’ berdiri atas pentas politik kempen pilihanraya secara besar-besaran. Ini kerana dalam ungkapan Tun M itu seolah-olah tidak banyak harapan dan beliau hanya menunggu masa untuk ‘masuk kubur’. Apatahlagi semasa itu anak beliau masih memegang jawatan MB Kedah.
Cumanya, dalam masa yang sama beliau kata ‘saya sayang kepada negara saya’. Allah Maha Mengetahui. Rasanya beliau ikhlas. Tapi saya fikir beliau mungkin terpaksa pertimbang antara usianya, kedudukannya yang dihormati di sisi negara, kedudukan anaknya dan banyak lagi kelebihan lain yang beliau sedang kecapi ketika itu.
Apabila saya balik ke Malaysia 2015 menjawat semula jawatan Mufti Perlis untuk kali kedua, beberapa kali juga saya berjumpa dengan Tun M secara empat mata. Beliau mengulangi cerita yang sama. Cumanya, tidak sangka sehingga hendak menubuhkan parti politik dan bertanding pilihanraya.
Jika orang beritahu saya Tun M bertindak begitu sebab mahu bela anaknya, maaf, secara peribadi, saya mempunyai pengalaman yang berbeza. Tun M telah menyuara bantahan itu sebelum anaknya terbuang.
Hari ini hari mengundi. Entahlah. Dunia bagaikan mimpi. Tun M bertanding dan mahu jadi PM semula. Tidak pernah di Malaysia seseorang jadi PM dua kali. Cumanya, saya sendiri jadi Mufti sebanyak dua, walaupun tidak pernah terjadi sebelum itu. Pada awalnya saya sendiri rasa ganjil. Dunia politik pasti tiada apa yang mustahil.
Saya tidak pasti sejauh manakah Tun M boleh bertahan dengan usianya itu. UMUR TIDAK BERPIHAK KEPADANYA. Itu apa yang ketara kita nampak. Selain itu, hanya Allah Yang Tahu. Tok Wan (lelaki) saya dahulu ketika dia berusia 100 tahun, orang sinis kepadanya bila beliau menanam pokok-pokok durian di tanahnya.
Mereka kata: “Sempatkah nak makan durian orang tua tu”?! Ditakdirkan Allah, beliau meninggal pada usia 126 tahun menurut hitungan anak-anaknya. Beliau sihat. Hanya sakit pada penghujung hayat. Sempat makan banyak musim durian yang beliau tanam.
Pastinya, menguruskan negara tidak seperti menanam durian. Namun, usia manusia dan apa yang akan terjadi di masa hadapan tiada siapa yang tahu.
Kita semua tidak tahu apa yang akan terjadi. Kita mengundi untuk masa depan. Namun tiada siapa yang tahu masa depan melainkan Tuhan. Agama mengajar kita berusaha dan bertawakal.
Kita berusaha untuk yang kita jangka lebih baik ataupun kurang buruk. SIAPAKAH yang terbaik?, ataupun SIAPAKAH yang kurang buruk? Itu semua memerlukan penilaian yang seimbang dan penuh kematangan. Setelah berijtihad dalam membuat penilaian, kita serah kepada Allah. Nilailah hujah Tun M, hujah DS Najib, hujah DS Abdul Hadi dengan adil. Dengarlah hujah dari semua pihak kemudian berijtihadlah, dan buatlah penilaian yang kita yakin terbaik. Selamat mengundi!
Ibu sarat mengandung meninggal akibat kepenatan, anak dalam kandungan gagal diselamatkan. Kematian husnul khotimah. Asbab kepenatan dan sesak nafas, seorang ibu yang sarat mengandung...