Usia 9 Tahun, Bantu Jahit & Siapkan 100 Pasang PPE Untuk Frontliners

Share

Menjadi tanggungjawab mak ayah, menyemai pelbagai minat dan kemahiran buat anak-anak dari mereka kecil. Memang tak rugi menggalakkan anak-anak dengan pelbagai jenis kemahiran, mana tahu ia boleh digunakan untuk menjana pendapatan sampingan ataupun dapat membantu orang lain yang memerlukan.

Kemahiran Menjahit

Menjadi satu kelebihan dalam usia yang masih muda, namun berbakat dan berkemahiran dalam bidang jahitan.Pada usia sembilan tahun, Nur Afia Qistina Zamzuri, sudah memahami ada tanggungjawab yang perlu sama digalas ketika negara berhadapan perang melawan COVID-19.

Pelajar tahun tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Kepis, Kuala Pilah ini menggunakan kemahirannya untuk menjahit pakaian peralatan perlindungan diri (PPE) untuk digunakan petugas barisan hadapan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah.

Tawar Diri Bantu Jahit PPE

Dia yang belajar menjahit sejak berusia lima tahun menggunakan masa terluang di rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk melaksanakan misi itu dengan bantuan ibunya, Hasnah Hud.

Hasnah berkata, anak sulung daripada tiga beradik itu menawarkan diri untuk berbuat demikian selepas diberitahu tentang pasukan perubatan negara termasuk di HTAN memerlukan PPE yang banyak dan bekalannya semakin berkurangan.

“Saya mendengar tentang situasi itu dan berjumpa kakitangan HTAN untuk bertanya jenis bantuan yang saya boleh berikan kerana saya memang tukang jahit. Mereka mengalu-alukan jika saya dapat menjahit PPE untuk disumbangkan kepada mereka.

“Apabila saya ceritakan pada Afia tentang hasrat saya untuk menjahit PPE, dia pun turut sama teruja mahu membantu.

“Malah, semua PPE yang kami hasilkan sehingga kini dijahit sendiri oleh Afia. Saya cuma bantu kemaskan di bahagian leher sahaja,” kata Hasnah.

Nur Afia bersama ibu bapa dan adik-adiknya.

Jahit & Jual Hasil Jahitan Sejak Usia 7 Tahun

Bercerita lanjut, kata Hasnah, anaknya itu sudah mula menjahit dan menjual hasil jahitannya kepada penduduk sekitar kawasan perumahan mereka ketika berusia tujuh tahun.

“Dia selalu tengok saya menjahit. Permulaannya ketika berusia lima tahun, dia hanya bertanya, lepas tu dia tolong sikit-sikit.

“Masuk usia tujuh tahun, saya mula bagi dia kain-kain perca sebab nampak minat dia ke arah itu. Kemudian dia jahit sarung bantal dan jual kepada penduduk kampung,” kata Hasnah yang bertugas sepenuh masa sebagai pembantu pengurusan murid di SK Felda Kepis.

Nur Afia menjahit sendiri PPE untuk diberikan kepada petugas barisan hadapan HTAN

Berjaya Siapkan 100 PPE

Kata Hasnah, Afia mengambil masa kira-kira sejam untuk menyiapkan sepasang PPE.Setakat ini, sebanyak 100 pasang PPE sudah dihantar untuk kegunaan petugas di HTAN dan mereka sedang menyiapkan lebih banyak PPE.

“Dia masih kanak-kanak, masih belum faham sepenuhnya situasi pandemik COVID-19 yang berlaku sekarang. Tetapi saya jelaskan kepada dia secara mudah tentang virus dan penyakit. Saya nampak dia faham bahayanya.

“Daripada situ, timbul rasa dia nak membantu. Mungkin juga disebabkan dia ada bapa saudara yang bekerja sebagai askar, jadi dia sedar mereka yang bertugas di barisan depan ini yang paling terkesan,”

ujar Hasnah.
Antara baju PPE yang berjaya disiapkan.

Hasnah gembira kerana sumbangan kecil dia dan anaknya dapat membantu pihak yang memerlukan dan berharap memberi inspirasi kepada anggota masyarakat untuk sama-sama memainkan peranan dalam menangani wabak COVID-19.

MW: Hebat dan tahniah buat adik Afia. Kemahiran yang ada tak disia-siakan untuk membantu golongan yang memerlukan bantuan, moga anak ini dan keluarganya dimurahkan rezeki dan menjadi contoh kepada kanak-kanak sebaya yang lain serta masyarakat.

Sumber: Astro Awani

Published by
Suhaidah Abd Wahab