Alhamdulillah ternyata hidayah itu milik Allah diberikan kepada hambanya yang terpilih. Lebih separuh abad mengabdikan diri dalam dunia seni, pada usia 79 tahun, pelakon veteran Margaret Gan yang sering menghiasi kaca televisyen (TV) dalam drama menyentuh hati pada era 1980-an, beroleh hidayah untuk melafazkan dua kalimah syahadah.
Pada 15 Februari lalu, dalam suasana penuh emosi, Margaret yang sudah biasa dengan kehidupan orang Melayu dan amalan umat Islam sejak zaman persekolahan, memeluk Islam di hadapan anak tunggalnya, Mohd Taufik Gan, 36.
Mohd Taufik terlebih dahulu mengucapkan dua kalimah syahadah ketika menuntut di universiti, kira-kira 20 tahun lalu.
Lama Terdetik Hati Peluk Islam
Berkongsi cerita, Margaret yang manis berhijab mengaku Mohd Taufik tidak pernah mendesak agar mengikut jejak langkahnya memeluk Islam.
“Sebenarnya, hati sudah lama terdetik memeluk Islam. Anak tidak pernah mendesak. Cuma sekali-sekala dia bertanya bila saya mahu peluk Islam.
“Minggu lalu, tiba-tiba saya terus bersetuju apabila dia bertanya lagi.
“Saya meminta dia menguruskan hal berkaitan pengislaman. Anak memang terkejut mendengarkan kata-kata yang keluar dari mulut saya hingga berkali-kali dia bertanya, apakah betul keputusan yang saya ambil.
“Taufik menangis terharu dengan keputusan ini (peluk Islam). Mungkin dia sudah lama menantikan saat cukup bermakna ini,” katanya di majlis anjuran Yayasan Artis Veteran Malaysia (YAVM) di ibu negara, baru-baru ini.
Anak Ajar Lafaz Syahadah
Margaret berkata, Taufik mengajarnya melafazkan syahadah dan merakamkan video pada detik itu di kediaman mereka.
“Taufik kemudian menghantar rakaman video kepada seorang ustaz yang tidak sempat datang ke rumah kami.
Ads
“Insya-Allah, kami akan pergi ke Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) minggu depan untuk urusan selanjutnya,” katanya.
Biasa Amalkan Cara Hidup Islam
Margaret yang dilahirkan di Batu 6, Jalan Klang Lama, Petaling, mengaku sudah biasa dengan amalan hidup orang Islam terutama sejak Taufik menjadi muslim.
Ketika anaknya menyuarakan hasrat memeluk Islam, Margaret tidak menghalang, sebaliknya, meminta dia memikirkan keputusan itu sebaik-baiknya.
Margaret menasihati Taufik agar tidak ‘hangat-hangat tahi ayam’ kerana menyedari ada ramai saudara-mara yang tidak menjalankan tanggungjawab sebagai orang Islam sebaik-baiknya selepas melafazkan syahadah.
“Saya tidak halang. Saya minta Taufik jangan buat separuh jalan. Ada saudara-mara yang masih mengamalkan cara hidup lama walaupun sudah beragama Islam.
“Walaupun anak sudah memeluk Islam, kami tinggal bersama. Soal makan dan sebagainya tidak menjadi masalah kerana apa yang anak masak, itulah yang saya makan.
“Sehinggalah apabila anak berkahwin dan memiliki dua cahaya mata, kami terus tinggal sebumbung walaupun berbeza agama, sebelum ini.
Ads
“Saya juga sudah biasa melihat mereka bersolat dan mengamalkan gaya hidup Islam. Jadi, tidak sukar untuk saya melafazkan syahadah,” katanya.
Margaret pernah menghadiri ceramah Datuk Ustaz Kazim Elias sebelum memeluk Islam.
Galakkan Berlakon Pakai Hijab
Berkongsi mengenai penampilan yang kini bertudung, pelakon filem 29 Februari itu berkata, Taufik menggalakkan agar dirinya berhijab.
“Taufik beritahu jika saya mahu berlakon, saya perlu bertudung. Jika tidak, dia tidak galakkan saya berlakon tanpa memakai hijab.
“Saya tiada masalah untuk bertudung kerana sudah biasa melihat menantu dan cucu berhijab.
“Alhamdulillah, saya rasa lebih tenang. Lagipun, umur saya menginjak 80 tahun pada 2023. Jadi, tiada apa lagi yang perlu saya tunggu,” katanya yang mengekalkan nama sama.
Nama sebenar, Gane Ee Kek dan memulakan karier lakonan secara tidak sengaja pada usia lewat 20-an apabila sebuah syarikat produksi mencari pelakon berbangsa Cina.
Drama pertama lakonan adalah Kemarau Di Hujung Daun sebagai pelakon tambahan. Ini disusuli Dengan Keringat Aku Ingat dengan peranan lebih besar.
Mingguan Wanita: Alhamdulillah di atas penghijrahan dan pengislaman ini. Ternyata hidayah itu milik Allah diberikan pada sesiapa sahaja tanpa mengira usia.
Cukup membimbangkan apabila ramai yang dijangkiti virus influenza. Ia mudah dijangkiti melalui titisan cecair pernafasan menerusi batuk dan bersin. Menurut kenyataan akhbar KKM, berdasarkan trend yang direkodkan kes influenza like-illness (ILI) dan kadar kemasukan pesakit ke wad dengan severe acute respiratory infection (SARI), terdapat peningkatan kes semenjak pertengahan bulan Disember 2019, lepas.
Seeloknya jika anak-anak mempunyai influenza, mak ayah kena lebih bersikap bertanggungjawab kuarantin mereka di rumah. Tak perlu hantar anak ke sekolah, pusat transit, nurseri mahupun berada di tempat awam.
Sekarang musim Influenza A menyerang. Jika kita orang yang sihat, tiada masalah kesihatan, kebiasaannya tidak apa-apa. Tetapi bagi mereka yang ada masalah kesihatan seperti asthma, orang tua atau kanak-kanak kecil, ia boleh mendatangkan bahaya
Influenza terbahagi 3, influenza A adalah yang lebih kuat berbanding influenza B dan C.
Virus ini berubah bentuk setiap tahun, maka digalakkan mengambil vaksin Influenza setahun sekali sebelum musimnya iaitu musim sejuk dan hujan.
Antara simptom-simptom Influenza A adalah;
– Demam dan menggigil
– Demam tinggi yang tidak surut walaupun dengan paracetamol
– Sakit kepala dan otot
– Sakit tekak dan batuk
– Selsema
Kanak-kanak kadangkala mengalami sakit perut, loya dan muntah.
Sila dapatkan rawatan di hospital jika ada simptom;
– Sesak Nafas
– Nafas Laju
– Demam Tinggi yang berpanjangan
– Kulit kelihatan kebiru-biruan
– Kanak-kanak tidak mahu makan atau minum
-Bayi Dehidrasi kerana kurang minum (Lampin kering, Menangis Tiada Air Mata)
Bagi orang dewasa pula, simptom yang menunjukkan rawatan kecemasan diperlukan segera adalah
– Sakit Dada
-Sesak Nafas
-Kebingungan
-Muntah-Muntah yang berpanjangan
-Selsema berkurang tetapi deman dan batuk datang semula
Rawatan bagi Influenza A adalah;
Rehat di rumah.
Kekalkan hidrasi badan dengan minum dengan kerap.
Makan jika rasa ada selera, sebaiknya makanan yang berkhasiat dan tidak terlalu berat.
Ambil ubat tahan sakit yang dinasihatkan doktor
Bagaimanakah cara mengelakkan virus Influenza A merebak?
Kuarantinkan diri di rumah hingga semua simptom sembuh . Jangan ke luar ke tempat awam bagi mengelakkan virus tersebar.
JANGAN MENGHANTAR ANAK-ANAK YANG SAKIT KE SEKOLAH, TASKA, TADIKA, NURSERY DAN SEBAGAINYA. KUARANTIN DI RUMAH
Tutup mulut ketika bersin dan batuk.
Cuci tangan dengan kerap.
Jika anda petugas kesihatan, pastikan anda menukar pakaian sebelum memegang anak-anak kecil anda apabila pulang dari hospital.
Galakkan anak-anak yang sudah bersekolah untuk terus mandi dan menukar pakaian apabila pulang dari sekolah , terutamanya jika ada anak yang lebih kecil di rumah.
Komplikasi Influenza A seperti jangkitan paru-paru (Pneumonia) boleh berlaku kepada golongan berisiko tinggi seperti;
– Bayi
– Kanak-kanak kecil
– Warga emas
– Wanita hamil
– Pesakit yang menghidap penyakit kronik seperti kencing manis dan sakit jantung .
Sama-sama kita cegah penularan #InfluenzaA
Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah
Pakar Mata & Pensyarah Perubatan
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat dan menjadi panduan buat mak ayah dalam mencegah jangkitan influenza serta menjaga anak-anak yang mengalami jangkitan ini.
Biarpun sudah enam tahun berlalu, tragedi kebakaran rumah teres dua tingkat di Meru Hills, Taman Meru, Ipoh tetap menjadi igauan untuk ibu ni, Datuk Seri Vida (DSV) atau nama sebenarnya Datuk Seri Dr Hajah Hasmiza Othman.
Kerana, tragedi itu mengorbankan dua orang anak lelaki usahawan kosmetik terkenal ini, Eddie Zuhdi Mohd Amin, 11 (ketika itu) dan adiknya, Edrie Zikrie, 10 (ketika itu). Yang ditemui lemas berpelukan dalam bilik mandi.
Setiap hari, ibu ini tak putus doa untuk arwah anak-anaknya; ‘Moga anak-anak menantinya di syurga tertinggi’. Catatan terbaru, Datuk Seri Vida ketika ziarah kubur anak-anaknya di Tanah Perkuburan Islam Meru Raya, Ipoh mengundang sebak di hati.
Tulisnya,
Al Fatihah kepada 2 putera saya. Yang sentiasa saya rindui..
Lately sangat terkenangkan mereka.
Kalau masih ada di dunia ni, Abang Eddie umur 17 Adik Edrie umur 16
Dah 6 tahun mereka pergi Dalam tragedi kebakaran rumah staff saya. Bulan Ramadan. Mereka tak terbakar.. lemas asap. Berbaring kaku berpelukan dalam tandas. Bawah sinki.. lemas asap.
Masa tu.. nyawa saya juga terasa di hujung tanduk. Terkejut.. sedih.. sampai ke akhir saya tak tengok wajah mereka dalam kain kapan. Tak boleh.. cukuplah.. memori bersama mereka masa masih hidup.. pakai baju baru.. baju raya..
Tunggu Mama Di Syurga.. – DSV
Kalaulah mereka masih hidup Dah boleh tolong Mama niaga.
Masa tulis captions ni, Tekak rasa cekik. Terlalu sayu..
Saham Mama di akhirat. Tunggu Mama di syurga tertinggi ye sayang.. seperti yang selalu didoakan.
Betapa bertuahnya keluarga yang punya semua ahli keluarga di dunia ini.
MW : Al Fatihah.. semoga arwah Eddie dan Edrie ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Dan Allah makbulkan doa ibu yang tidak pernah putus itu. Amin.
6 hari terperangkap dalam kontena dari Bangladesh, kanak-kanak ditemui lembik tak bermaya. Gara-gara tertidur di dalam kontena, seorang kanak-kanak dari Bangladesh tidak menyangka akan menempuh perjalanan sejauh ini.
Tanpa makan dan minum dipercayai enam hari, dirinya sudah lembik saat diselamatkan oleh anggota Polis Bantuan Pelabuhan.
Memetik laporan Berita Harian, seorang kanak-kanak lelaki warga Bangladesh ditemui dalam kontena yang baru tiba di Pelabuhan Barat (Westport), Pelabuhan Klang, malam semalam.
Kapal berkenaan dilaporkan berlepas dari sebuah pelabuhan di Bangladesh pada 13 Januari lalu.
Beginilah keadaannya ketika diselamatkan
Video mengenai penemuan kanak-kanak ini dikesan tular di media sosial selepas terkunci dalam kontena berkenaan selama lebih kurang enam hari.
Kandungan video berdurasi 56 saat itu memaparkan kanak-kanak berkenaan dalam keadaan lemah tidak bermaya keluar dari kontena sebaik pintunya dibuka oleh anggota Polis Bantuan Pelabuhan.
Berdasarkan maklumat sumber, seorang daripada kakitangan pelabuhan dikatakan terdengar bunyi ketukan dari dalam kontena itu.
Dipercayai siasatan awal kanak-kanak itu dipercayai tertidur di dalam kontena dan tidak menyedari ia diangkut ke dalam kapal dan berlepas dari pelabuhan.
Kanak-kanak terbabit kemudian dibawa ke hospital untuk pemeriksaan dan turut menjalani proses dokumentasi.
Sumber turut memaklumkan bahawa kanak-kanak itu akan dihantar pulang ke negara asal menggunakan kapal sama Sabtu ini.
Gula-gula gummy bebas dijual di pasaran, jelly berisiko tercekik bagi kanak-kanak. Kejadian tragis melibatkan adik Mohamad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin, seorang kanak-kanak berusia 10...