Penyanyi hebat Ramlah Ram baru sahaja menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-56 tahun pada 19 Februari lalu.
Figura yang popular dengan lagu Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu, meluahkan rasa syukur dikelilingi rakan-rakan dan peminat yang sentiasa mengambil berat terhadap dirinya.
Sempena ulang tahunnya juga penyanyi ini menyeru agar pandemik Covid-19 segera berakhir.
Malah dia juga menyeru orang ramai agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam setiap pergerakan di luar rumah.
“Alhamdulillah, syukur masih ada rakan-rakan yang sudi mengambil berat, membuat kejutan di hari jadi dan sebagainya.
“Dulu kita boleh bebas berjumpa kawan-kawan untuk melakukan aktiviti bersama termasuklah mengadakan majlis atau hadir menonton persembahan, tapi sekarang tidak lagi.
“Malah dari segi pendapatan juga ramai yang terkesan impak termasuk penggiat muzik dan penyanyi yang tidak dapat mengadakan persembahan sebagaimana lazimnya.
“Jadi jika kita ingin tamatkan segera situasi sebegini, sama-sama kita jaga diri dan patuhi SOP,” ungkap penyanyi ini.
Malah menurutnya lagi walaupun sudah lebih tiga dekad bergelar anak seni, dia tidak pernah merasa penat untuk terus mengiburkan orang ramai yang menghargai bakat nyanyiannya.
“Alhamdulillah tahun ini genaplah 36 tahun pembabitan saya dalam industri muzik tanah air.
“Saya sendiri tidak pernah menyangka mampu bertahan sejauh ini dan melewati pelbagai era dari zaman piring hitam, kaset, cakera padat (CD) sehinggalah kepada teknologi strim hari ini.
“Apa yang lebih buat saya terharu, peminat-peminat masih setia menyokong, selain penerimaan daripada generasi muda yang turut mendengar lagu nyanyian saya,” ujarnya.
Baca Disini Juga:
“Alhamdulillah Zack Selamat Dilahirkan, Moga Menjadi Anak Yang Soleh” Doa Peminat Datuk Jamal
Diana Rafar Ajak Peminat Amalkan 7 Zikir Menjemput Rezeki Tanpa Disangka-sangka
Anak kelahiran Muar, Johor itu juga berkongsi perancangannya untuk menghasilkan single baharu tidak lama lagi, selain tampil dengan sebuah lagu raya.
“InsyaALLAH jika semuanya berjalan lancar, saya akan tampil dengan single baharu tidak lama lagi, termasuk perancangan merakamkan sebuah lagu raya pada tahun ini.
“Kalau boleh saya mahu tampil dengan dua buah single baharu setiap tahun, agar dapat sentiasa kongsikan karya dengan peminat.
“Maklumlah zaman sekarang orang dah tak buat album, jadi penghasilan single inilah yang akan memastikan kita terus aktif dalam bidang nyanyian,” kongsinya.
Sumber: SinarPlus
Sumber Foto: Instagram Ramlah Ram Official & Ramlah Ram Lovers
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita