Hiburan

Usia 56 Tahun Bukan Penghalang, ZIANA ZAIN Pukau 5000 Penonton

Share

Penyanyi tersohor, Ziana Zain tampil memukau 5000 penonton yang hadir menyaksikan konsert solo pertamanya ‘Ziana Zain Konsert 2024’ yang berlangsung di Megastar Arena, sabtu lalu, sekaligus  membuang jauh persepsi kesangsian dirinya meragui kemampuan diri sendiri,

Konsert yang berlangsung selama tiga jam itu menyaksikan perjalanan suka duka kehidupan seorang wanita bernama Siti Roziana Zain dan kehidupannya dalam kerjaya sepanjang bergelar anak seni.

Muncul di pentas Megastar Arena tepat jam 9 malam,  kemunculan Ziana yang menerima sorakkan  para peminat setianya sedikit terganggu dengan masalah ‘ear monitor’.

Tetapi ia tidak sedikitpun membuatkan pelantun lagu Anggapanmu ini terjejas malah berbekalkan  pengalaman lebih dua dekad bergelar penghibur, Ziana kekal tenang meneruskan persembahan dan masalah tersebut berjaya diatasi di atas pentas.

Penyuntik Semangat

Kejayaan konsert solo ini juga merupakan penyuntik semangat buat dirinya untuk meneruskan kerjaya nyanyian dan kini dia percaya usia bukanlah satu penghalang.

“Kini saya tidak sangsi lagi. Belum cuba, belum tahu. Awalnya saya sendiri kurang yakin. Boleh ke pada umur 56 saya menyanyi 20 buah lagu.

“Selepas konsert malam ini, ia menjadi booster dan memberikan semangat untuk terus buat persembahan selepas ini. Kalau ada rezeki yang Allah berikan, saya akan teruskan,” katanya kepada media usai konsert yang telah menerima 5000 orang penonton.

Pada usia 56 tahun, Ziana Zain membuktikan kemampuan menghiburkan para peminat dengan 20 buah lagu popular secara penuh tanpa medley. Antara lagu yang didendangkan termasuklah Ada Suara Ada Cinta, Sangkar Cinta, Anggapan Mu, Kasih Ku Pertahankan, Bersam Akhirnya, Puncak Kasih, Madah Berhelah, Senja Nan Merah, Lara dan sebagainya.

Sepanjang persembahan, Ziana Zain turut menyelitkan kisah istimewa tentang bapanya, Zain Abdullah yang disifatkan sebagai penyokong utama dirinya dalam kerjaya seni. Malah Pak Zain turut mencuri perhatian ramai apabila membuat panggilan video dengan anaknya ketika membuat persembahan pada Ziana Zain Konsert 2024 di Mega Star Arena.

Menurut Ziana, 56, panggilan video sebegitu bukan perkara aneh sepanjang bergelar artis kerana bapanya tidak pernah terlepas daripada mengambil berat tentang karier seni anak-anak sehingga ke hari ini.

“Boleh bayangkan pada usia sekarang, seorang ayah yang sudah berumur 83 tahun akan sentiasa ‘check‘ keadaan anaknya.

“Betapa prihatin dan risaunya ibu dan bapa pada saya,” katanya pada sidang akhbar selepas konsertnya di sini, semalam.

Ujar Ziana, bapanya sangat gembira dan teruja melihat dia membuat persembahan solo di pentas semalam.

Pada malam tersebut juga, Ziana menggayakan tiga pasang busana indah hasil rekaan pereka fesyen terkenal tempatan iaitu Rizman Ruzaini, Rizalman dan Ezuan Ismail.

Follow kami di TELEGRAM

INSTAGRAMTIKTOKFACEBOOKTWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.

Published by
Rosmah Idayu