Tidak semua menantu sanggup menjaga mentua yang sakit. Lebih-lebih lagi bila mana sebelum ini, diri bukanlah menatu pilihan. Jangan berkira, mentua umpama ibu dan bapa kandung sendiri. Baik daripada segi layanan, kasih sayang dan kewajipan yang harus diberikan tetap sama seperti ibu bapa kandung sendiri.
Namun, emosi mungkin terjejas sedikit sebanyak apabila menantu terpaksa menjaga mentua yang sakit. Terpaksa melayan kerenah yang kadang-kadang boleh menguji kesabaran menantu. Belum termasuk melayan kerenah anak-anak yang semakin membesar. Jadi, apakah yang harus dilakukan sebagai seorang menantu? Kita ikuti ulasan lanjut daripada Prof Madya Ts Dr Hj Mohd Nor Mamat, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM),
Perlu diingatkan, selagi kita merasakan mentua bukan ibu bapa kita sendiri, secara tidak langsung perasaan terbeban atau stres akan menjadi lebih kuat. Sebagai menantu cubalah untuk:
1. Fahami fitrah orang tua yang ingin dihormati. Meskipun mereka tidak berupaya atau sakit, jangan sesekali memperlekehkan mereka.
2. Jagalah mereka seperti ibu bapa sendiri,malah, antara kita dengan mertua langsung tiada apa-apa sekatan mahupun halangan aurat yang membolehkan kita menjaga mereka sepenuhnya.
3. Perintah Allah dalam Al Quran perlu diterapkan dalam praktis hubungan kita dengan ibu bapa atau mertua.
Sebagai suami isteri, jangan sesekali kita memaksa pasangan mengutamakan keluarga sebelah pihak sahaja. Tetapi, kita perlu memulakan dengan mengutamakan keluarga pihak pasangan. Cara ini lebih mudah pasangan merasa dihargai dan terbuka untuk mengutamakan sebelah kita.
Jika isteri stres, sentiasalah berada di sebelah isteri, pujuklah dan ajaklah isteri ke tempat yang disukai seperti membeli belah, bersiar-siar dan sebagainyan dengan penuh kasih sayang.
Manakala, jika suami stres, isteri perlu bersedia berada di sisi suami dan memberi sokongan kepada apa jua keputusan dan tindakan suami dengan penuh hormat.
Memang sukar untuk mengalah tetapi penghujungnya, pengorbanan yang kita lakukan ini lebih bahagia dan stres pasangan akan hilang.
Sebagai menantu, sudah tentu kita turut mengoptimakan masa dengan anak-anak. Begitu jugalah perlunya ada waktu untuk ibu bapa terutamanya mertua yang sakit.
Dalam suasana kesibukan di bandar, sudah tentu kita tidak berupaya untuk menghabiskan sepenuh masa bersama keluarga. Jadi, dengan mengambil masa yang berkualiti, cubalah merancang aktiviti yang menggembirakan untuk ibu bapa seperti melawat saudara mara, berjalan ke tempat yang menarik dan sebagainya.
Tetapi , jika ibu bapa mengalami masalah kesihatan, barangkali inilah masa untuk menggunakan pendapatan kerja untuk menghargai ibu bapa dengan mengkhususkan pembantu rumah semasa ketiadaan anda. Sebaiknya, jangan merungut tentang masa yang dihabiskan untuk mereka
Tidak dinafikan, stres tetap wujud pada suami isteri. Namun, cara untuk tangani juga adalah berbeza.