Tidak semua menantu sanggup menjaga mentua yang sakit. Lebih-lebih lagi bila mana sebelum ini, diri bukanlah menatu pilihan. Jangan berkira, mentua umpama ibu dan bapa kandung sendiri. Baik daripada segi layanan, kasih sayang dan kewajipan yang harus diberikan tetap sama seperti ibu bapa kandung sendiri.

Namun, emosi mungkin terjejas sedikit sebanyak apabila menantu terpaksa menjaga mentua yang sakit. Terpaksa melayan kerenah yang kadang-kadang boleh menguji kesabaran menantu. Belum termasuk melayan kerenah anak-anak yang semakin membesar. Jadi, apakah yang harus dilakukan sebagai seorang menantu? Kita ikuti ulasan lanjut daripada Prof Madya Ts Dr Hj Mohd Nor Mamat, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM),

Usah Rasa Terbeban

Perlu diingatkan, selagi kita merasakan mentua bukan ibu bapa kita sendiri, secara tidak langsung perasaan terbeban atau stres akan menjadi lebih kuat. Sebagai menantu cubalah untuk:

  • Pujuk hati dan memperbetulkan sikap kita bahawa mentua adalah sama tarafnya dengan ibu bapa kita sendiri.
  • Ujian ini berupa peluang yang Allah lorongkan untuk anda menuju ke syurga. Hilangnya ibu bapa bererti kita kehilangan saluran keberkatan, punca doa yang makbul dan satu lorong memasuki syurga. Peluang ini sangat singkat dan terhad memandangkan usia mereka sudah lanjut.
  • Apa yang dilakukan terhadap ibu bapa dan mentua, itulah yang akan dilakukan oleh anak-anak menantu kita pada usia tua nanti. Mudah-mudahan dengan cara ini, mereka terikut untuk sedar dan melakukan perkara yang sama terhadap kita.
  • Pujuklah hati untuk menganggap semua ini sebagai peluang bukannya tekanan dan bebanan.

 Peranan Menantu Lelaki & Perempuan

1. Fahami fitrah orang tua yang ingin dihormati. Meskipun mereka tidak berupaya atau sakit, jangan sesekali memperlekehkan mereka.

2. Jagalah mereka seperti ibu bapa sendiri,malah, antara kita dengan mertua langsung tiada apa-apa sekatan mahupun halangan aurat yang membolehkan kita menjaga mereka sepenuhnya.

Ads

3. Perintah Allah dalam Al Quran perlu diterapkan dalam praktis hubungan kita dengan ibu bapa atau mertua.

Jangan buat muka yang menyakitkan hati mereka, jangan bercakap kasar atau kuat, sebaiknya sentiasa lembut dan dekat dengan  mereka, dan bercakaplah sesuatu yang manis dan perkara yang membahagiakan mereka seperti kesukaan mereka, cerita-cerita yang ssesuai dengan orang tua dan sebagainya. (Surah Al Isra’: 23-24)

  1. Layan mereka dengan bertanyakan pengalaman, nasihat dan jadikan mereka pakar rujuk untuk anda. Inilah yang lebih membahagiakan dan mereka rasa dihormati serta kewujudan mereka diperlukan.

Elak Pergaduhan Akibat Stres

Sebagai suami isteri, jangan sesekali kita memaksa pasangan mengutamakan keluarga sebelah pihak sahaja. Tetapi, kita perlu memulakan dengan mengutamakan keluarga pihak pasangan. Cara ini lebih mudah pasangan merasa dihargai dan terbuka untuk mengutamakan sebelah kita.

Jika isteri stres, sentiasalah berada di sebelah isteri, pujuklah dan ajaklah isteri ke tempat yang disukai seperti membeli belah, bersiar-siar dan sebagainyan dengan penuh kasih sayang.

Ads

Manakala, jika suami stres, isteri perlu bersedia berada di sisi suami dan memberi sokongan kepada apa jua keputusan dan tindakan suami dengan penuh hormat.

Memang sukar untuk mengalah tetapi penghujungnya, pengorbanan yang kita lakukan ini lebih bahagia dan stres pasangan akan hilang.

Kualiti Masa Suami Isteri Tetap Terjaga

Sebagai menantu, sudah tentu kita turut mengoptimakan masa dengan anak-anak. Begitu jugalah perlunya ada waktu untuk ibu bapa  terutamanya mertua yang sakit.

Ads

Dalam suasana kesibukan di bandar, sudah tentu kita tidak berupaya untuk menghabiskan sepenuh masa bersama keluarga. Jadi, dengan mengambil masa yang berkualiti, cubalah merancang aktiviti yang menggembirakan untuk ibu bapa seperti melawat saudara mara, berjalan ke tempat yang menarik dan sebagainya.

Tetapi , jika ibu bapa mengalami masalah kesihatan, barangkali inilah masa untuk menggunakan pendapatan kerja untuk menghargai ibu bapa dengan mengkhususkan pembantu rumah semasa ketiadaan anda. Sebaiknya, jangan merungut tentang masa yang dihabiskan untuk mereka

Tip Kawal Emosi & Stres

Tidak dinafikan, stres tetap wujud pada suami isteri. Namun, cara untuk tangani juga adalah berbeza.

  1. Jika suami stres – isteri jangan tunjuk pandai untuk cuba selesaikan tetapi lebih baik sediakan apa yang suami perlu dan biarkan suami selesai sendiri. Anda juga boleh cadangkan penyelesaian jika diperlukan.
  2. Jika isteri stres – Suami perlu bantu isteri melayani masalah dan sentiasa berada di sisinya. Fitrah wanita, kadang kala isteri tidak memerlukan jawapan atau penyelesaian tetapi lebih kepada sokongan dn berada di sisinya.

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI